Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharap Lintasan Deasoka terus dipilih menjadi lokasi penganjuran program sastera kerana amat sesuai dijadikan tempat acara kerana lokasinya yang ‘ramah sastera’ untuk merayakan pelbagai sastera.
Beliau menyatakan hal ini dalam ucapan penutupan Majlis Baca Puisi Bandaraya sempena Festival Sastera Antarabangsa Malaysia Madani 2024 yang telah diadakan di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu semalam.
Datuk Jasni Matlani juga menyatakan festival ini tidak akan terhenti dan akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan sasaran program dilaksanakan setiap tiga bulan sekali untuk menghidupkan Kota Kinabalu sebagai ‘Kota Sastera.’
Tuan Karim Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan yang mewakili Datuk Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam ucapan turut menyatakan bahawa Lintasan Deasoka merupakan lokasi tumpuan pelancong dan masyarakat tempatan di Kota Kinabalu.
“Lintasan Deasoka berpotensi untuk dijadikan sebagai ‘Kota Literasi’ dengan mewujudkan pelbagai aktiviti-aktiviti sastera, khususnya baca puisi yang menjadi daya tarikan pelancong bagi negeri ini”
“Hal ini menampakkan keunikan Sabah yang memiliki warisan sastera dan kepelbagaian budaya yang kaya dengan kearifan tempatan”
“Perkara sebegini mampu menjadikan kuasa utama bagi tujuan promosi kepada masyarakat luar”. Ujar Tuan Karim Rahim lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa DBKK akan sentiasa komited bekerjasama dengan BAHASA dan DBPCS untuk mendapatkan pengiktirafan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai Kota Literasi oleh UNESCO seperti Jakarta.
Terdahulu, Festival Sastera Antarabangsa Malaysia Madani 2024 merupakan anjuran BAHASA dan DBKK serta melibatkan DBP Cawangan Sabah (DBPCS) sebagai rakan kerjasama.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi puisi dan nyanyian lagu patriotik oleh beberapa individu termasuk wakil dari Sarawak dan Brunei.
DBPCS turut menghantar wakil, iaitu Puan Hadine Yunus Gadong untuk menyampaikan persembahan deklamasi sajak yang bertajuk “Tanah Airku”.