7 September 2024, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – YBhg. Datuk Jasni Matlani diangkat sebagai Sasterawan Negeri Sabah Keempat dalam majlis Malam Anugerah Pena Kinabalu yang berlangsung di Hotel The Pasific Sutera, malam tadi.

Seiring dengan penganugerahan tersebut, beliau menerima wang tunai berjumlah RM30 ribu, warkah penghormatan kerajaan negeri, kemudahan penerbitan karya dan penterjemahan karya kepada bahasa asing.

Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar.

Anak kelahiran Beaufort ini telah berkecimpung dalam dunia penulisan selama hampir lebih 45 tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau telah menghasilkan karya dalam pelbagai genre termasuklah puisi, novel, cerpen, drama, rencana, esei kritikan dan biografi.

Antara karya Datuk Jasni Matlani yang dipamerkan dalam majlis Malam Anugerah Pena Kinabalu.

Selain itu, karya beliau juga telah banyak diterbitkan dalam pelbagai media, antaranya termasuklah Dewan Sastera, Wadah, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Perisa, Malay Literature, New Sabah Times, Daily Express, Borneo Mail, Utusan Borneo, Harian Mercu, Berita Sabah dan Watan Sabah.

Sasterawan Negeri Sabah Keempat, Datuk Jasni Matlani ketika menyampaikan ucapannya.

Dalam ucapannya sempena penganugerahan tersebut, beliau merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana banyak membantu dan menyokongnya dalam dunia penulisan selama ini.

DBP bukan sahaja membuka pintu laluan, malah memberikan saya bimbingan demi bimbingan melalui bengkel penulisan kreatif yang dianjurkan oleh mereka.

Seterusnya, beliau juga menyatakan bahawa sastera akan sentiasa menjadi perhiasan jiwa yang membentuk manusia dan nilai kemanusiaan.

Sastera ini seumpama berlian, yang berkeupayaan memancarkan dan menyerakkan cahaya kehidupan kepada para pembacanya, terutama sekali melalui keindahan bahasa, keteguhan nilai murni dan plot cerita yang dijalin dengan daya kreativiti yang tinggi.

Kredit Foto: Hafizee (DBP Sabah)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.