Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlang – Penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan (SPDK) ke-38 berpotensi dijadikan sebagai suatu resipi yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak dalam menghayati tema kemerdekaan tahun ini, iaitu “Jiwa Merdeka”.
Demikian ucapan YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor dalam majlis perasmian dan penyampaian hadiah SPDK baru-baru ini di Hotel Wyndham Acmar.
Program bersempena dengan bulan kemerdekaan ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurut beliau, jiwa merdeka mestilah difahami oleh seluruh rakyat negara ini sebagai satu titik penting kepada perubahan rupa diri dan rupa bentuk rakyat dalam sebuah negara bangsa yang merdeka.
Katanya,
Bangsa jiwa merdeka bukanlah semata-mata diukur melalui tersergamnya binaan bangunan agam yang megah, barisan soldadu yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, pencapaian kemajuan teknologi yang semata-mata diukur dari aspek fizikal dan jasmani sahaja, akan tetapi meliputi aspek luaran, sosial serta pemahaman jiwa yang ditonjolkan atau diserlahkan melalui budi pekerti dan kemanusiaan.
Sementara itu, Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anwar Rethwan mengucapkan tahniah kepada GAPENA dan UPEN Selangor khususnya YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dalam usaha melaksanakan program ini.
Beliau turut mendedikasikan ucapan tahniah kepada para peserta SDPK dan menyatakan bahawa kualiti persembahan para peserta telah mencapai standard yang unggul.
“Melalui SDPK ini, semangat nasionalisme dan patriotisme akan dapat terus disuburkan dan disebarluaskan kepada seluruh rakyat di negara ini,” ujarnya.
Sayembara pada kali ini disertai oleh lebih 500 orang peserta dari seluruh negara dan hanya 17 orang yang layak bertanding pada peringkat kebangsaan termasuk wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Peserta yang mewakili PDRM, iaitu SI Yusuf Ramji telah mengungguli SDPK pada kali ini dengan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00, Piala Pusingan YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, hadiah iringan dan watikah penghargaan.

Ardiansyah Wayang yang merupakan anggota di Ibu Pejabat Kontigen (IPK), Kota Kinabalu, Sabah menyandang naib johan dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.00, hadiah iringan dan watikah penghargaan.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Adharye Johari yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.00, hadiah iringan dan watikah penghargaan.

Turut hadir dalam majlis perasmian dan penyampaian hadiah SDPK ini ialah YBhg. Datin Seri Masdiana Muhammad, isteri kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor; YB Dato’ Borhan Aman Shah, Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor; YB Dr. Mohamad Fahmi Ngah, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor; YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Haji Muhammad Taib; YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed mewakili Ketua Pengarah DBP; dan YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Pengarah SDPK ke-38.
Kredit Foto: Fotolawa