Oleh Suyuthi Yusuf
16 September 2023, 22:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Mohamad Shafiq Dulamid, wakil negeri Sabah dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan ke-37 Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, petang tadi.

YB Tuan Khairudin Abu Hanipah menyampaikan hadiah kemenangan kepada Mohamad Syafiq Dulamit, Johan SDPK ke-37.

Beliau berentap bersama-sama 16 peserta lain yang masing-masing menampilkan bakat kreatif dan menunjukkan kesungguhan semasa mendeklamasikan puisi.

Semua peserta SDPK ke-37 bergambar kenang-kenangan dengan tetamu kehormat.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5000, hadiah iringan dan watikah penghargaan.

Naib Johan pula menjadi milik Khalid Husseine Tuah yang mewakili Sarawak dan membawa pulang hadiah RM3000, hadiah iringan dan watikah penghargaan, manakala Sani La Bise yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan meraih tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000, hadiah iringan serta watikah penghargaan.

Naib Johan, Khalid Husseine Tuah (Sarawak) menerima hadiah kemenangan daripada YB Tuan Khairudin Abu Hanipah.

 

Pemenang tempat ketiga, Sani La Bise (Wilayah Persekutuan Labuan) menerima hadiah kemenangan daripada YB Tuan Khairudin Abu Hanipah.

SDPK merupakan program tahunan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan. Sayembara ini telah diadakan sejak tahun 1987 dan diangkat menjadi acara rasmi perayaan bulan kemerdekaan Malaysia.

Sayembara pada kali ini merupakan anjuran bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan GAPENA, manakala pada peringkat negeri, sayembara ini dikelolakan oleh DBP cawangan dan wilayah dengan kerjasama badan gabungan GAPENA.

SDPK ke-37 Peringkat Kebangsaan pada kali ini mengumpulkan kesemua johan SDPK pada peringkat negeri, termasuklah Johan SDPK Peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yang Berhormat (YB) Tuan Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan yang mewakili Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Perak semasa menyampaikan ucapan penutupan program menyatakan bahawa:

Kerajaan Negeri Perak merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sayembara ini. Sayembara ini membuktikan bahawa semangat cinta akan negara harus diteruskan dalam menyemai jiwa kebangsaan.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa karya penulisan sememangnya berperanan penting dalam mengukuhkan patriotisme dan membakar semangat jiwa merdeka.

Sementara itu, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan yang merupakan Presiden GAPENA menerusi ucapan alu-aluannya mengatakan bahawa sayembara ini bukanlah suatu temasya semata-mata, tetapi sumbangan GAPENA dalam menghargai bakti para pejuang kemerdekaan. Jelasnya lagi,

Sayembara ini secara tidak langsung memberikan makna kepada kemerdekaan itu sendiri. Generasi muda yang merupakan pelapis kepimpinan bangsa tidak harus alpa dan lalai kepada perjuangan menegakkan bahasa, sastera dan kebudayaan.

Panel hakim bagi sayembara pada kali ini terdiri daripada Tuan Haji Hamzah Hamdani (Ketua Hakim), Datuk Dr. Lim Swee Tin, Encik Marzuki Ali, Encik Saifullizan Yahaya, dan ACP Rose Baini Kasim.

Sayembara tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi puisi oleh mantan para juara SDPK Negeri Perak dan Johan SDPK Peringkat Kebangsaan ke-36, Muhammad Suffian Khirham serta nyanyian lagu rakyat oleh Hidayah Halim, Vokalis Kombo Muzik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Timbalan Presiden GAPENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.