Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Semangat cintakan negara selalunya diitiup melalui luahan pemikiran dan perasaan dalam puisi.”
“ … bukannya dibina dengan setinggi-tinggi menara mahupun seluas-luas kompleks beli belah.”
Demikian luahan Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika menyempurnakan perasmian Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan (SDPK) Ke-38 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung di Dewan Usman Awang, Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), pada pagi tadi.
Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menjelaskan SDPK yang telah masuk ke usia 38 memperlihatkan usaha PENA, GAPENA dan DBP yang sentiasa komited dalam menjayakan majlis seperti ini. Menurut beliau, PENA dan GAPENA:
“Sejak 1986 hingga kini, tanpa gagal menjayakan SDPK, dan telah melahirkan 37 deklamator terbaik negara.”
“Bukan hanya wang ringgit atau gelaran juara digenggam, tetapi lebih daripada itu, yakni para pemenang telah menggunakan puisi sebagai alat penyatuan bangsa dan hal ini telah mewujudkan keharmonian.”
Menerusi sayembara tersebut, Muhammad Zamratur Rahman Yusri, telah dinobatkan sebagai Johan SDPK Peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, sekali gus melayakkan beliau ke peringkat akhir SDPK.
Naib Johan pula menjadi milik Nuruladibah Azhar, manakala tempat ketiga pula berjaya diraih oleh Nor Hafuza Muhammad Arif.
Ketika merasmikan SDPK Peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, beliau juga telah mengumumkan Dr. Ibrahim Ghaffar sebagai Tokoh Penyair Puisi Kuala Lumpur 2024.
SDPK Ke-38 ini dikelolakan oleh PENA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Perbadanan Putrajaya.