Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlang – SI Yusuf Ramji, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan ke-38 Tahun 2024 yang diadakan di Hotel Wyndham Acmar pada 29 Ogos 2024 yang lalu.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5000, Piala Pusingan YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, hadiah iringan dan watikah penghargaan.
Ketika ditemui usai majlis penyampaian hadiah, SI Yusuf Ramji berkata, program ini dapat memartabatkan seni puisi serta mampu menyuntik semangat nasionalisme dan patriotisme bukan sahaja dalam kalangan peserta yang menyertai SDPK, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama menyaksikan sayembara yang berprestij ini.
Bait-bait puisi yang dideklamasikan oleh para peserta SDPK perlu dihayati dan setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan negara kekal aman dan harmoni.
Beliau berharap anggota keselamatan dan seluruh rakyat Malaysia terus berganding bahu bagi memastikan kemerdekaan serta perpaduan dan keharmonian negara dapat dikekalkan dan dipertahankan.

SI Yusuf Ramji juga berharap Antologi Puisi Ke Sarang Cenderawasih terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) akan dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia dan mesej nasionalisme dan patriotisme oleh penulis puisi antologi ini akan dapat disebarluaskan dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat. Dalam SDPK ke-38, beliau telah mendeklamasikan puisi bertajuk “Tawarikh Terindah” karya Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman.
Sayembara pada kali ini merupakan anjuran bersama oleh GAPENA dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala pada peringkat negeri, sayembara ini dikelolakan oleh DBP cawangan dan wilayah dengan kerjasama badan gabungan GAPENA.