14 Julai 2024, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Muhammad Zamratur Rahman Yusri, atau lebih dikenali sebagai Zamratur Rahman telah menempah tiket ke peringkat akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan Ke-38 yang akan diadakan di Selangor, kelak.

Beliau telah dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan Ke-38 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung di Dewan Usman Awang, Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), pada pagi tadi.

Dalam pertandingan tersebut, beliau telah mendeklamasikan puisi berjudul, “Wujud yang Menipis” karya Mohd Ghazali Taib, iaitu puisi yang telah dimuatkan dalam Antologi Puisi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan: Ke Sarang Cenderawasih.

Dengan kemenangan ini, beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000.00 dan hadiah iringan dengan menewaskan 28 peserta lain dalam pertandingan pada kali ini.

Naib Johan pula menjadi milik Nuruladibah Azhar dengan membawa pulang RM700.00 serta hadiah iringan, manakala tempat ketiga pula berjaya diraih oleh Nor Hafuza Muhammad Arif dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.00 dan hadiah iringan.

Mereka berdua mendeklamasikan puisi “Tawarikh Terindah” karya Raja Rajeswari Seetha Raman dan “Potret Silam di Muzium Bangsa” nukilan Sani La Bise.

Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan Ke-38 ini dikelolakan oleh PENA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.