8 September 2023, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Nur Sharina Cik Ibrahim dijulang sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) kali ke-37 peringkat negeri Selangor. Beliau mengekalkan kejuaraannya untuk dua tahun berturut-turut.

Kali ini, beliau memberikan persembahan yang memukau penonton dan juri sekali gus meraih takhta johan menerusi deklamasi puisi karya Mohd Radzi Haji Abdul Hamid bertajuk “Menjulang Bahtera Madani”.

SDPK kali ke-37 tersebut diadakan pada 3 September lepas dan berlangsung dengan jayanya di Dewan Auditorium, Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.

SDPK kali ini diadakan dengan kerjasama Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) bersama-sama pihak Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah sebagai penaja utama dan rakan kolaboratif, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu (PENILAM).

Nur Sharina Cik Ibrahim ketika sedang mendeklamasikan puisi bertajuk “Menjulang Bahtera Madani”.

Seramai 36 orang peserta berentap bagi merebut gelaran juara sekali gus mewakili Selangor ke pentas kebangsaan. Sajak “Menjulang Bahtera Madani” karya Mohd Radzi Haji Abdul Hamid daripada buku Antologi Puisi Ke Sarang Cenderawasih terbitan GAPENA menjadi karya pilihan beberapa orang peserta dalam sayembara kali ini.

Naib johan pula menjadi milik Ahmad Syawal Hafriz Abdullah yang membawakan sajak bertajuk “Perjuangan Kudus” karya Borhan Md Zain dan tempat ketiga menjadi milik Nur Dini Safiya Amin yang mendeklamasikan sajak yang sama dengan Nur Sharina bertajuk “Menjulang Bahtera Madani”.

Pemenang tempat ketiga, Nur Dini Safiya Amin sedang mendeklamasikan sajak.

Hadiah sagu hati menjadi milik Hasniza Mat Diah dengan sajak “Menjulang Bahtera Madani”, Nasrin Afrina Afzanizam Amiza dengan sajak bertajuk “Peneguh Bumi Berdaulat” karya Abdul Karim Gullam dan Intan Nor Saina Fazilawati Md Sani dengan sajak berjudul “Usah Disembunyikan Mentari Menyinar” karya Norazimah Abu Bakar.

Nur Sharina pulang dengan wang tunai bernilai RM1000, trofi dan hadiah iringan, manakala Ahmad Syawal sebagai naib johan pula membawa pulang wang tunai RM700 bersama-sama trofi dan hadiah iringan. Nur Dini Safiya selaku pemenang tempat ketiga menerima wang tunai RM500 bersama-sama trofi dan hadiah iringan serta pemenang sagu hati pula menerima RM200 setiap seorang bersama-sama trofi dan hadiah iringan.

Reruai pameran busana tradisional.

Penganjur juga menganjurkan pertandingan busana terbaik kepada para peserta dengan hadiah tajaan PENILAM. Busana Terbaik Lelaki dimenangi oleh Raja Muhamad Haiqal Haqimi Raja dan membawa pulang hadiah destar songket. Nur Atiqah Othman pula mendapat hadiah Busana Terbaik Wanita dan membawa pulang selendang songket.

Nur Sharina akan mendapat tajaan busana untuk dipakai ketika di pentas kebangsaan yang akan berlangsung pada 16 September 2023 di Ipoh, Perak. Selain itu, PENILAM juga membuka reruai pameran busana tradisional semasa SDPK berlangsung.

Majlis tersebut dirasmikan oleh YB Borhan Aman Shah, Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor. Turut hadir ialah YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Dato’ Wira Haji Borhan (GAPENA), Puan Nurul Julia Alany Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Hikmah Hassan wakil PPAS, SN Anwar Ridhwan dan SN Zurinah Hassan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.