24 Julai 2023, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Seramai 25 orang peserta yang mewakili seluruh daerah di negeri Sabah telah menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan (SDPK) Ke-37 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan pada 21 Julai 2023, di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Sepuluh orang peserta terbaik kemudiannya dipilih untuk bersaing dalam peringkat akhir pada 22 Julai 2023.

Sayembara tahunan ini merupakan program anjuran bersama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), DBP Cawangan Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Penyertaan yang menggalakkan pada tahun 2023 membuktikan masih ramai penggiat sastera dan budaya, khususnya dalam kalangan generasi muda.

SDPK diadakan bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia melalui kegiatan kesusasteraan. Selain itu, program ini  juga diadakan bagi memillih calon terbaik yang akan mewakili negeri Sabah ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2023 pada bulan September nanti.

Mohamad Shafiq Dulamid, johan SDPK Sabah sedang menggayakan aksinya dalam mendeklamasikan sajak.

Mohamad Shafiq Dulamid yang mendeklamasikan sajak “Potret Silam di Muzium Bangsa” nukilan Sani La Bise telah dinobatkan sebagai johan sayembara ini. Mohamad Hilmi Ismail yang mendeklamasikan sajak “Pelataran Jagat” karya Akmal Aizat Abdul Aziz memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nurirfeney E Hairoland Fredo yang mendeklamasikan sajak “Wujud Yang Menipis” karya Mohd Ghazali Taib.

Selaku johan, Mohd Shafiq merangkul hadiah wang sejumlah RM1000.00, piala pusingan, buku terbitan DBP dan sijil penghargaan. Pemenang tempat kedua seterusnya menerima wang berjumlah RM700.00, buku terbitan DBP dan sijil penghargaan manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang wang berjumlah RM500.00, buku terbitan DBP dan sijil penghargaan. Pemenang sagu hati pula menerima wang tunai RM200.00 setiap seorang, buku terbitan DBP dan sijil penghargaan.

Majlis perasmian sayembara tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Jasni Matlani yang merupakan Presiden BAHASA. Turut hadir sama ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah II dan Puan Sitti Rahmah Ibrahim, Timbalan Presiden BAHASA.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.