19 Jun 2023, 19:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Khadijah Ishak, peserta pertama Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2023 yang diadakan di Muzium Petaling Jaya, Seksyen 10, Taman Jaya, pada 17 Jun lalu, beroleh kejayaan berganda apabila meraih tempat ketiga kategori Terbuka dan memenangi kategori Pakaian Terbaik, dengan membawa pulang hadiah wang tunai, masing-masing berjumlah RM400, dan RM100.

Pemenang tempat ketiga kategori Terbuka Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2023, Khadijah Ishak (dua dari kiri), bersama-sama Tuan Mohamad Azhan Md. Azmir (dua dari kanan), Encik Mohamad Rosnani Hj. Hamid, dan Encik Samsul Bahari Hj. Nonchi.

 

Johan kategori Terbuka Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2023, Khairil Amir Ahmad (dua dari kiri) bersama-sama Tuan Mohamad Azhan Md. Azmir (dua dari kanan), Encik Mohamad Rosnani Hj. Hamid, dan Encik Samsul Bahari Hj. Nonchi.

Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2023 anjuran Muzium Petaling Jaya bersama-sama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini merupakan sebahagian daripada acara yang diadakan bersempena dengan sambutan 17 tahun Petaling Jaya sebagai bandar raya.

Petaling Jaya Bandar Pembelajaran dipilih sebagai tema pertandingan ini untuk mengingati anugerah Petaling Jaya Bandar Pembelajaran oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO pada tahun 2019.

Antara objektif pertandingan ini termasuklah memberikan kemahiran dan pengalaman kepada para peserta supaya lebih menghargai, serta memartabatkan budaya seni bangsa, mengasah bakat dan kreativiti pelajar dan orang awam dalam penciptaan sajak di samping memupuk minat mereka dalam mendeklamasikan sajak berbentuk patriotik, dan mempromosikan jenama Muzium Petaling Jaya sebagai destinasi pelancongan utama mesti singgah di Selangor.

Naib Johan kategori Terbuka Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2023, Arif Iswandy Sazali (dua dari kiri), bersama-sama Tuan Mohamad Azhan Md. Azmir (dua dari kanan), Encik Mohamad Rosnani Hj. Hamid, dan Encik Samsul Bahari Hj. Nonchi.

Kategori Terbuka Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2023 dimenangi Khairil Amir Ahmad. Sebagai johan, Khairil yang kerap menyertai Sayembara Deklamasi Sajak Kemerdekaan, dan pernah menjadi juri pertandingan genre ini membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Naib johan dimenangi seorang anak muda yang segak berbaju Melayu berwarna putih, Arif Iswandy Sazali, dengan hadiah wang tunai RM450.

Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2023 turut menghargai kesungguhan peserta berpakaian yang sesuai untuk beraksi di pentas dengan mengadakan kategori Pakaian Terbaik, dan hadiah wang tunai RM100 bagi setiap kategori.

Sebahagian daripada peserta dan penonton Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2023 pada 17 Jun lalu di Muzium Petaling Jaya.

 

Setiap kategori menampilkan 12 orang peserta yang dipilih menyertai berdasarkan “siapa cepat dia dapat” menerusi pendaftaran secara atas talian. Selain kategori Terbuka, pertandingan ini turut membuka penyertaan dalam kategori Pelajar Sekolah Rendah dan Pelajar Sekolah Menengah.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Azmir. Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MBPJ, Encik Mohamad Rosnani Hj. Hamid, dan Ketua Thematik Learning City MBPJ, Encik Samsul Bahari Hj. Nonchi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.