Diterbitkan pada 19 Julai 2024, 11:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Membakut – Mahrajan Persuratan Islam Nusantara Sabah ke-14 membuka panggung perbincangan Nadwah Sastera Islam dengan menampilkan Dr. Panji Partama, Dr. Nurhamizah Hashim dan Datuk Jasni Matlani sebagai panel undangan bercakap mengenai “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI”.

Sebagai pembentang pertama, Dr. Panji Partama yang juga merupakan guru Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) membawakan tajuk perbincangan; “Ekranisasi Prosa Islam Klasik dalam Permainan (Game)”.

Beliau melihat limpahan novel atau karya sastera yang telah diangkat menjadi filem, mampu diolah kepada satu bentuk baharu, iaitu permainan video.

“Permainan video ini telah berkembang menjadi media baharu yang popular dan digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat”

“Perkembangan teknologi membolehkan permainan video dapat memberikan pengalaman yang lebih interaktif kepada pemain.”

Menurut Dr. Panji Partama, dengan pemilihan karya sastera yang bagus, permainan video ini tidak hanya berfungsi sebagai hiburan, tetapi juga dapat menarik minat pemain untuk lebih mendalami karya sastera tersebut, sekali gus dapat membuka ruang diskusi dan analisis yang lebih mendalam.

Seterusnya, Dr. Nurhamizah Hashim membentangkan kertas kerja kedua yang bertajuk “Ibrah Keagamaan dalam Kumpulan Cerpen Mencari Warna Daun”.

Menurut Dr. Nurhamizah, pengajaran, pembelajaran atau dalam perspektif Islam, “Ibrah” sangat diperlukan dalam sesebuah karya yang dihasilkan oleh seorang pengarang sebagai suatu kaitan dan perhubungan dalam menjalani kehidupan.

Sebagai contoh, beliau telah memetik beberapa buah cerpen hasil tulisan pengarang Sabah, Juri Durabi melalui Kumpulan Cerpen Mencari Warna Daun, iaitu “Mencari Cinta, Mencari Ramadan dan Kemboja di Pusara”.

Melalui kajiannya, beliau menyimpulkan bahawa jika kita hendak mencapai Al-Falah, kejayaan, kesejahteraan atau keselamatan serta keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat, maka ambillah Ibrah di setiap kejadian yang pernah berlaku.

Ibrah keagamaan ini jelas dapat dilihat dalam cerpen berdasarkan watak dan perwatakan yang telah dibangunkan sebagai pengajaran dalam memantapkan ilmu agama bagi membentuk keperibadian seseorang individu.

Pembentang yang terakhir, Datuk Jasni Matlani pula membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Bicara Menyapa Aqsa: Sastera untuk Pengabdian.

Datuk Jasni memetik kitab Al-Wasit Fi al-Adabi wa al-Tarikh (1967) tulisan Ahmad Iskandar menyatakan bahawa ada dua tujuan penting yang terkandung dalam pengertian “Seni untuk Pengabdian”, iaitu untuk menguatkan akidah dan untuk meninggikan akhlak.

Datuk Jasni menggunakan Kumpulan Puisi Menyapa Aqsa karya Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah sebagai bahan kajian beliau.

Buku tersebut merupakan satu manifestasi pernyataan Datuk Dr. Mohd Arifin terhadap kekejaman Yahudi dan tragedi kemanusiaan yang berlaku di Gaza, pada waktu sama bagi memperkukuhkan iman, kepercayaan dan akidah umat Islam, seterusnya meninggikan akhlak umat Islam.

Menurut Datuk Jasni lagi, pengarang menggunakan puisi untuk meneroka ke dalam persoalan manusia, sisi kemanusiaan, dan hubungannya dengan Khalik hanya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Terdahulu, Nadwah Sastera Islam Sabah 2024 anjuran antara Kerajaan Negeri Sabah melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Majelis Ugama Islam Sabah (MUIS), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Pada tahun ini, program tersebut telah mengangkat tema “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI”, yang selaras dengan visi untuk membangun Malaysia yang maju dan sejahtera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi