Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Datuk Jasni Matlani dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah (ASNS) Keempat apabila Panel Penilai sebulat suara memilih beliau berdasarkan pencapaian dan kepengarangannya yang banyak memberikan kesan kepada pembaca.
Anak kelahiran Beufort ini dikenali sebagai satu daripada tokoh yang memperkenalkan genre “Puisi Esei” yakni satu genre baharu di negara ini, mahupun rantau ASEAN dan global.
Menerusi komitmen dan ketokohannya telah melayakkan beliau dipilih sebagai Presiden Pertubuhan Komunitas Puisi Esei ASEAN yang berpusat di Jakarta dan bertanggungjawab menyebarluaskan genre puisi esei ke peringkat global.
Dalam dunia kepengarangan, beliau telah menghasilkan lebih daripada 40 buah buku dalam pelbagai genre dan telah memenangi pelbagai hadiah yang berprestij di negara ini, antaranya termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Kategori Buku Kumpulan Cerpen 2015/2016.
Pada HSPM 2020, tiga buah buku beliau, Angin Perubahan Memperkasakan Sastera Melayu di Sabah (DBP); Angin Perubahan Memoir Jasni Matlani (DBP); dan cerpen Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di Dalam Gelas terbitan Iris Publishing & Distributor berjaya menangi kategori utama, sekali gus melayakkannya menerima ASNS.
Pada tahun 2015, Datuk Jasni Matlani merangkul Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) dan beliau juga merupakan Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), serta Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sebagai penerima ASNS Keempat, beliau bakal menerima wang tunai sebanyak RM30000.00, berserta dengan hadiah iringan, kemudahan untuk penerbitan karya dan penterjemahan karya ke bahasa asing.
Majlis penganugerahan ASNS akan disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah, pada 6 September 2024 (Jumaat), di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu dalam Majlis Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA).