Oleh Azrin Eddy
Diterbitkan pada 7 Julai 2024, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tuaran – Sebuah buku berkenaan sastera etnik hasil usaha Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah berjaya diterbitkan.

Buku Analisis Teka-teki Etnik di Sabah (Dusun Liwan, Dusun Kimaragang, Lundayeh dan Rungus) ini merupakan projek penyelidikan sastera yang dilaksanakan oleh DBPCS sejak tahun 2021.

Kehadiran buku ini tersebut diterbitkan pada waktu yang tepat apabila dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Tuaran bersempena dengan Karnival Popoimagon Koubasanan Kadazandusun zon Kiulu, baru-baru ini.

Dalam ucapan tersebut, beliau menjelaskan sastera etnik di Sabah seperti teka-teki, peribahasa, cerita-cerita rakyat merupakan khazanah warisan yang sangat berharga di negeri ini.

“Sastera lisan pelbagai etnik di Sabah memperlihatkan sosiobudaya yang pelbagai, kearifan tempatan yang unik, selain mempunyai nilai estetika yang tidak ternilai”

“Walaupun setiap etnik ini mempunyai teka-teki masing-masing tetapi masih lagi dapat dibezakan daripada pelbagai aspek yang dimiliki oleh masyarakatnya.”

Oleh itu, sekiranya khazanah ini tidak didokumentasikan, maka keadaan ini menjadi perkara yang merugikan untuk diangkat sebagai bahan promosi negeri Sabah.

Terdahulu, buku ini memuatkan hasil kajian analisis teka-teki empat etnik yang berbeza dan ditulis oleh empat orang penyelidik mewakili etnik masing-masing.

Bab 1 buku ini berkenaan teka-teki etnik Dusun Liwan ditulis oleh Dr. Rosliah Kiting, bab 2 berkenaan teka-teki etnik Dusun Kimaragang ditulis oleh Puan Rasimi Linggang.

Seterusnyanya, Encik Ricky Yakub Ganang menulis bab 3 berkenaan teka-teki etnik Lundayeh dan bab 4 pula ditulis oleh Dr. Azlan Shafie@Raymond Majumah berkenaan teka-teki etnik Rungus.

Keempat-empat penulis ini merupakan penyelidik yang sangat berpengalaman, arif dalam bidang berkenaan dan sering menjadi pakar rujuk.

Projek penyelidikan ini merupakan projek rintis bagi kategori kajian analisis bahasa sukuan Sabah dan sebuah lagi buku yang bakal terbit pada tahun ini adalah berkenaan analisis peribahasa etnik di Sabah.

Dalam majlis tersebut juga, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBPCS telah menyerahkan buku sebagai simbolik kepada masyarakat sambil disaksikan oleh panel penulis buku berkenaan.

YB  Datuk  SeriPanglima Wilfred Madius Tangau dan Puan Aminah Awang Basar melihat kandungan buku baharu berkenaan empat etnik dalam analisis teka-teki, baru-baru ini.

Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah Dr. Rosalyn Gelunu, Presiden Komuniti Penggiat Dalai Sabah (KPDS), Dr. Bitty Ansawi pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dan para guru di zon Kiulu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi