Diterbitkan pada 30 Jun 2024, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu Siri ketiga program Aroma Meja Bulat yang membicarakan dua naskhah buku puisi telah dijayakan pada pagi semalam di Ruang Legar Utama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP ke-68.

Dua naskhah buku tersebut ialah Melawan Kebiasaan, karya Tuan Haji Sukor Usin atau lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi, Sasterawan Negeri Sabah yang ketiga dan Tetamu Musim Hujan, karya YBrs. Dr. Norawi Haji Kata, penggiat seni yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kesapang, Kota Belud.

Kedua-dua naskhah buku ini merupakan terbitan DBP yang telah dilancarkan pada tahun 2023.

Menurut Hasyuda Abadi, penggiat seni khususnya penulis muda perlu terus memperkasakan penulisan genre puisi sementara YBrs. Dr. Norawi Haji Kata pula mahu para tetamu yang hadir membaca terlebih dahulu proses kreatif yang terkandung dalam bukunya sebelum menjiwai 70 rangkap puisi yang ada.

Buku Melawan Kebiasaan, karya Hasyuda Abadi dan buku Tetamu Musim Hujan pula merupakan karya YBrs. Dr. Norawi Haji Kata.

 

Pengarah DBP Cawangan Sabah, YBrs. Puan Aminah Awang Basar menyampaikan cenderamata kepada ahli panel dan moderator pada penghujung program.

Sementara itu, Encik Hassan Jaidin selaku penilai dua naskhah buku tersebut menyatakan bahawa kedua-dua buku ini mempunyai gaya penulisan dan keistimewaan yang tersendiri.

Jelas beliau, “Untuk menghasilkan karya terbaik yang mampu dibuat, kita mestilah meningkatkan diri kita untuk mampu memahami struktur terbaik dalam menghasilkan sesuatu karya, dan seterusnya menggunakan laras bahasa yang baik.”

Program yang dikendalikan oleh moderator, iaitu Puan Lailah Elok turut diserikan dengan iringan muzik daripada Kumpulan Persembahan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain turut dihadiri oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, iaitu YBrs. Puan Aminah Awang Basar, sebanyak 70 orang peserta menghadiri program tersebut yang melibatkan beberapa buah persatuan penulis di Sabah seperti Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS), Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan Kelab Penulis Kadazan Dusun Murut Sabah Malaysia (MOMOGUNSIA), para pelajar dan pensyarah daripada Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, serta ASTiF, UMS.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi