Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Setakat ini, belum ada sebarang karya sastera Sabah yang membawa gagasan Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya.
Kekhuatiran ini ditimbulkan oleh Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah sewaktu berucap dalam Seminar Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya sempena Festival Kesusasteraan, Kesenian dan Puisi Esei Antarabangsa Sabah ke-3 di Hotel Promenade, Kota Kinabalu pagi semalam.
Menurutnya, karya sastera merupakan salah satu bentuk komunikasi yang berkesan dalam menyampaikan usaha pembangunan kerajaan.
Oleh itu, masyarakat Sabah dapat memahami dan menghayati Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya sebagai suatu gagasan yang berkesan apabila diterapkan dalam bidang kesusasteraan.
Menurut Ramzah lagi, penulis Sabah wajar mengambil kira untuk mengaplikasikan slogan kerajaan tersebut dalam karya seperti sajak, pantun dan lagu agar kefahaman yang lebih jelas dapat disampaikan kepada masyakat.
Beliau turut mengambil contoh penerimaan masyarakat yang positif dengan slogan Wawasan 2020 melalui penjelmaan karya seperti lagu dan puisi.
Selain itu, Datuk Dr. Ramzah Dambul turut mencadangkan satu tawaran geran khas diwujudkan kepada golongan penggiat sastera untuk mengangkat gagasan Sabah Maju Jaya dalam karya mereka.
Seminar yang dianjurkan oleh Badan Bahasa dan Sastera (BAHASA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah ini turut menampilkan Tuan Mustaffa Kamil Ayub, Pengerusi Lembaga Amanah Institut Keusahawanan Negara.
Menurut Tuan Mustaffa, konsep Malaysia MADANI bukanlah sekadar retorik semata-mata tetapi mempunyai peranan untuk membina semula maruah, integriti, tatakelola dan kegemilangan Malaysia.
“Konsep ini berlandaskan enam prinsip utama, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan bagi membentuk masyarakat yang manusiawi dan maju dalam pelbagai aspek.
“Aspek-aspek ini juga merupakan antara matlamat penting dalam kesusasteraan untuk membangunkan masyarakat melalui penghasilan karya.”
Seminar yang diadakan julung-julung kalinya ini bertujuan bagi memperkukuh slogan Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri dan Sabah Maju Jaya oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui kesusasteraan, khususnya di Sabah.
Seminar ini dirasmikan oleh YBhg. Datuk Haji Jamawi Jaafar, Pengerusi Sabah Urban Development Corporation merangkap Penasihat BAHASA.
Kredit Foto: Mohd Hafizee Affiq Japar