Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabuan – Program Aroma Meja Bulat Siri 2/2024 yang merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2024 dan Pesta Buku Labuan telah berlangsung di Pentas Anggerik, Ujana Kewangan, Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini.
Objektif program ini adalah untuk mengangkat karya penulis Sabah melalui medium bual bicara yang bersifat santai.
Buku pertama yang dibicarakan ialah novel kanak-kanak yang bertajuk Tekad Sumayyah, hasil karya Puan Lailah Elok, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Buku kedua ialah kumpulan sajak Bilik Istimewa, hasil karya Encik Gabriel Kimjuan, terbitan e-Sastera Enterprise.
Pengunjung Pesta Buku Labuan yang berada di sekitar ruang pameran turut teruja mendengar bual bicara buku dalam program ini yang dikemudikan dengan jayanya oleh moderator, iaitu Encik Yahya Ahmed Puteh.
Sementara itu, Puan Noor Ainna Abd Hamid selaku penilai buku yang dibicarakan menjelaskan bahawa kedua-dua buku mempunyai keistimewaan masing-masing.
Penilai mengaplikasikan teori Bronfenbrenner dalam penilaian buku Tekad Sumayyah untuk melihat bagaimana pengaruh persekitaran mempengaruhi perkembangan psikologi kanak-kanak dalam novel ini.
Selain itu, hampir kesemua puisi yang terdapat dalam buku Bilik Istimewa pula dikatakan mempunyai isi yang sangat mudah difahami, menampilkan 61 buah sajak pelbagai tema.
Sebanyak 60 orang peserta telah menghadiri program ini yang melibatkan ahli Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), pelajar dan guru pengiring daripada Sekolah Menengah Sains Labuan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha.
Program ini turut diserikan dengan iringan muzik daripada Sadau Busker, yang diketuai oleh Encik Muhammad Firdaus Martan.