Diterbitkan pada 10 Mei 2024, 19:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar bersama-sama sebahagian daripada kumpulan yang bertanggungjawab memasang papan tanda pantun di Gunung Kinabalu.

Gunung Kinabalu Program Pemerkasaan Pantun di Taman Kinabalu berjaya melakar sejarah tersendiri apabila papan tanda yang merakamkan keunikan pantun Melayu selesai dipasang oleh karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  Cawangan Sabah di sepanjang laluan Gunung Kinabalu, pada 8 Mei lalu.

Selaras dengan Pelan Strategik DBP 2021 — 2025, iaitu mengadaptasi program DBP menerusi kegiatan bersifat sohor kini, antaranya termasuklah program ekopelancongan dan rekreasi, kegiatan berimpak tinggi ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan Taman-Taman Sabah (TTS).

Sebanyak 10 buah papan tanda dipasang di hentian strategik sepanjang laluan pendakian, iaitu Pondok Timpohon, Pondok Kandis, Pondok Ubah, Pondok Lowii, Pondok Mempening, Pondok Vilosa, Restoran Panalaban, Pelantar Ranau View Point dan Stesen Sayat-sayat.

Untuk rekod, pemasangan papan tanda di Stesen Sayat-sayat yang berketinggian 3,653 meter dari aras laut menjadikan papan tanda pantun tersebut sebagai papan tanda yang dipasang di hentian yang  tertinggi di Malaysia.

Proses pemasangan papan tanda ini bermula pada 7 Mei 2024 — bermula dari Pondok Timpohon hingga Pondok Vilosa. Kerja pemasangan sepenuhnya selesai  pada 8 Mei 2024 yang merangkumi  Stesen Sayat-sayat hingga Restoran Panalaban.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, yang turut terlibat dalam ekspedisi pendakian ini turut berbesar hati menyempurnakan pemasangan papan tanda terakhir di Restoran Panalaban.

Kegiatan yang julung-julung kalinya diadakan ini adalah bertepatan dengan harapan DBP dan TTS, iaitu usaha pemasangan papan tanda pantun yang bercirikan warisan tempatan yang pastinya akan dapat mempromosikan pantun sebagai warisan negara dan khazanah puisi Melayu tradisional yang mampu  memberikan nilai tambah terhadap industri pelancongan tempatan. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi