Oleh Fauzi Naeim
17 Januari 2024, 08:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam sinema, terdapat beberapa pengarah filem yang dianggap sebagai adiguru atau setaraf dengan Sasterawan Negara dalam kalangan penulis. Andrei Tarkovsky merupakan salah satunya. Fauzi Naeim memperkenalkan Tarkovsky dan mengapa beliau jawapan pada kemuncak seni perfileman.

Memori ialah konsep spiritual!

Stalker (1979) yang digarap daripada novel Roadside Picnic oleh adik-beradik Strugatsky, boleh juga dianggap sebagai sebuah filem fiksyen sains. Pada suatu masa akan datang, muncul satu zon yang boleh mengurniakan keinginan sejati orang yang masuk ke dalamnya. Apabila saya sebutkan fiksyen sains, para pembaca mesti memahami bahawa gambaran yang dipaparkan oleh Tarkovsky adalah lain daripada genre filem fiksyen sains yang biasa diperhatikan oleh umum, seperti Star Wars, Terminator II, Avatar, dan Edge of Tomorrow. Tiada aksi lawan, robot, laser, atau kesan khas berlebihan dalam fiksyen sains Tarkovsky. Stalker sama seperti Solaris, dunia kebarangkalian yang diimaginasikan oleh Tarkovsky; bahawasanya tidak kira apa-apa bentuk dan matlamat obsesi manusia, pada mana-mana zaman, manusia akan terus dihantui dengan kehidupan berkeseorangan.

Pada hemat saya, Mirror (1975) merupakan karya Tarkovsky yang paling tidak linear sekali yang pernah beliau hasilkan. Struktur naratif dan susunan imejnya lebih merapati pada keadaan memori. Semangat yang diseru oleh Tarkovsky ialah raut nostalgia dan mimpi, dan tidak dinafikan mise-en-scene sinema yang begitu perkasa daripada teks sastera dalam usaha menyeru dan mempamerkan imejan abstrak. “Tiada seni lain yang dapat dibandingkan dengan sinema dalam kekuatan, ketepatan dan ketegasan menyampaikan kesedaran tentang fakta dan struktur estetika yang wujud dan berubah dalam masa” (1987:69). “Memori,” kata Tarkovsky, “ialah konsep spiritual!” (ibid.:57).

Stalker (1979)

Dengan menyamakan memori kepada darjat rohaniah, sang pengarah Rusia ini terus meletakkan betapa pentingnya dan rapatnya pengalaman zaman kanak-kanak sebagai asas dalam menenggelamkan tenaga rasional lagi logik. Inilah sebabnya Mirror kaya dengan senario kanak-kanak sedang bermain; bukankah zaman kanak-kanak ialah simbol terbaik lagi naif? Untuk menerangkan zat visual filem ini adalah satu laluan yang agak sukar; terdapat limitasi bahasa dalam menghuraikan keabstrakan imej dan perasaan. Mirror adalah lebih kepada siri-siri gambar, yang disusun tanpa benar-benar mengikuti jalinan peristiwa biasa, yang rangsangan benangnya ialah pertembungan kedinginan emosi dengan keinginan yang sayu.

Hal ini seperti Tarkovsky mahu mengingatkan kita tentang metafizik sejarah kejadian manusia yang berasal daripada tanah liat.

Andrei Tarkovsky merupakan satu-satunya pengarah filem, bagi saya, yang menghasilkan filem panjang yang kesemuanya capai pada tahap adikarya atau masterpiece. Pembikin sinema tersohor Sweden, Ingmar Bergman, pernah berkata: “Penemuan saya terhadap filem pertama Tarkovsky adalah seperti satu keajaiban. Tiba-tiba saya mendapati diri saya berdiri di depan pintu bilik, kunci yang, sebelum ini, tidak pernah diberikan kepada saya. Ia sebuah bilik yang saya selalu ingin masuk dan boleh bergerak dengan bebas dan penuh selesa. Saya berasa terdorong dan terangsang: seseorang telah meluahkan apa yang saya selalu ingin katakan tanpa mengetahui caranya. Tarkovsky bagi saya adalah yang terhebat, yang mencipta bahasa baharu, sesuai dengan sifat filem, kerana ia menangkap kehidupan sebagai refleksi, kehidupan sebagai mimpi.”

Walaupun kesemua filem Tarkovsky hebat belaka, namun ada kemuncaknya dan filem tersebut, bagi saya, tidak lain tidak bukan ialah Andrei Rublev (1966). Menyaksikan Andrei Rublev adalah seperti mengalami dunia hitam putih yang terasing, yang usang, kadangkala dingin – ia terpegun dalam ekstasi antara kekuatan roh, kepercayaan agama dengan kemistikan alam. Bukan saya seorang sahaja yang akur dengan kehebatan dalam kesederhanaan Andrei Rublev. Akhbar The Guardian pada tahun 2010 meletakkan Andrei Rublev sebagai tempat pertama dalam senarai The 25 Best Arthouse Films of All Time.

Andrei Rublev bukan untuk semua, tetapi bagi seorang yang bersedia untuk melihat, mendengar dan bersabar mempercayai, filem ini akan menjadi tiang pada asasi estetika sinema anda. Filem ini menceritakan kisah seorang paderi dan juga seorang artis bernama Andrei Rublev pada kurun ke-14 Rusia, tetapi strukturnya tidak seperti biografi biasa. Dalam kisah hidup Rublev, kita juga dapat merasakan pengalaman kehidupan yang ditindas oleh hegemoni Gereja Katolik pada kurun ke-15, yang rakyatnya turut tertekan dengan perbalahan antara kaum bangsawan dengan bangsa Tatar.

Cerita Rublev terbahagi kepada lapan bab, sarat dengan metafora dan simbol Kitab Injil, tetapi Andrei Rublev, walaupun tegak sebagai watak utama, diperlihatkan seperti seorang pemerhati yang memerhati konflik dan kegelisahan eranya dengan senyap.

Andrei Rublev (1966)

Tarkovsky pernah menyebut: “Elemen asas sinema yang menusuknya daripada sel terkecil, ialah pemerhatian.” Memerhati sebenarnya juga mencanakkan kasta kesabaran. Pada satu ketika, selepas berasa bersalah membunuh seorang askar Rusia, Rublev mengangkat sumpah untuk tidak lagi bersuara. Hanya selepas bertembung dengan seorang remaja lelaki – yang berjaya memandu sekumpulan penduduk kampung menyiapkan sebuah loceng yang besar – barulah Andrei memutuskan sumpahnya dan bersuara selepas mengagumi semangat dan kesenian remaja tersebut.

Andrei Rublev ialah satu dunia yang berakar umbi daripada keringat dan peluh memori Rusia pada awal kurun ke-15. Filem ini penuh dengan warna kelabu, penuh juga dengan pemandangan yang lembap, renyai dan berlecah. Hal ini seperti Tarkovsky mahu mengingatkan kita tentang metafizik sejarah kejadian manusia yang berasal daripada tanah liat. Tarkovsky sendiri pernah menggelarkan filem Andrei Rublev sebagai “filem daripada tanah.”

Dalam satu temu ramah bersama Tarkovsky oleh Leonid Kozlov pada tahun 1972, ketika beliau diminta untuk menyusun sepuluh filem terbaik, Tarkovsky, setelah berfikir beberapa minit, meletakkan Diary of a Country Priest (1951) oleh Robert Bresson sebagai yang pertama. Sememangnya, ada sedikit persamaan antara Bresson dengan Tarkovsky; mereka berminat untuk merakam satu dunia yang mempunyai konflik kerohanian dalam kenikmatan beragama, atau ya juga, kenikmatan rohani dalam konflik beragama. Begitulah jati diri sinema Tarkovsky yang ditemui.

Setiap filem yang disebutkan dalam penulisan ini mengisarkan secara am bagaimana watak-watak utama menjelajah landskap di sekeliling mereka, bertembung dengan rintangan, mendakap rintangan, merenung jauh, bermeditasi, dan menyedari bahawa masalah mereka tidak lain datangnya daripada dalaman mereka; bahawasanya ruang landskap mereka direka bentuk oleh geografi jiwa, maka untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan kegelisahan, mesti pasrah terhadap identiti sendiri. Maka itu, sinema Tarkovsky sentiasa menonjolkan penggambaran kesepian. Bagi mereka yang sering tercari-cari medium sinema untuk berkontemplasi, mempunyai kesabaran terhadap keheningan visual, saya amat galakkan anda mengalami sendiri sinema Andrei Tarkovsky.

Rujukan

Gianvito, John (peny.), 2006. Andrei Tarkovsky Interviews. Mississippi: University Press of Mississippi.

Tarkovsky, Andrei. 1987. Sculpting in Time. Diterjemahkan oleh Kitty Hunter-Blair. Austin: University of Texas Press. (Teks asal dalam bahasa Rusia).

Baca Bahagian Pertama dan Kedua Estetika dan Kesenian |

Nota Editor: Beberapa filem Tarkovsky boleh ditonton secara percuma di platform YouTube. Studio filem Rusia terkemuka Mosfilm, turut membariskan beberapa filem beliau di YouTube untuk tayangan masyarakat umum.

Kredit Foto: Pera Museum

_________________________

Dr. Fauzi Naeim merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Information Technology. Sekarang, beliau asyik dengan pembacaan manga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.