Oleh Fauzi Naeim
16 November 2023, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam sinema, terdapat beberapa pengarah filem yang dianggap sebagai adiguru atau setaraf dengan Sasterawan Negara dalam kalangan penulis. Andrei Tarkovsky merupakan salah satunya. Fauzi Naeim memperkenalkan Tarkovsky dan mengapa beliau jawapan pada kemuncak seni perfileman.

Setiap filemnya memerihalkan pengembaraan manusia menjelajah alam sekitarnya, dan memandangkan pengembaraan ini perlu supaya manusia dapat bertembung dengan jiwanya yang sentiasa terlindung …

Dalam bukunya yang bertajuk Sculpting in Time (1987), pemikir dan pembikin filem Rusia Andrei Tarkovsky (1932–1986) memberitahu pembacanya: “Penciptaan kesenian, lagipun, tidak tertakluk dengan undang-undang mutlak, sah dari zaman ke zaman; kerana ia berkaitan dengan matlamat penguasaan dunia yang lebih umum, ia mempunyai bilangan aspek yang tidak terhingga, urat yang menghubungkan manusia dengan aktiviti pentingnya; dan walaupun jalan menuju ilmu tidak berkesudahan, tiada langkah yang membawa manusia lebih dekat pada pemahaman penuh tentang makna kewujudannya yang boleh dikira terlalu kecil untuk dikira” (hlm.13).

Tarkovsky melihat sinema bukan sahaja sebagai satu penceritaan seni tanpa had, tetapi juga melihat seni sebagai sesuatu ciptaan yang ada zamannya, yang mampu melangkaui zamannya, berkuasa mempengaruhi zaman-zaman kemudiannya. Sinema memperkasa manusia tentang makna kehidupannya, dan lebih daripada ini semua, menjadi salah satu jalan kepada bumi estetika. Pemaknaan manusia tidak akan mudah difahami, dikecapi, selagi mana manusia itu tidak mahu bertanya tentang inti pati kewujudannya di bumi.

Ada tujuh filem panjang penting yang diarahkan oleh Tarkovsky: Ivanovo detstvo/Ivan’s Childhood (1962), Andrei Rublev (1966), Solaris (1972), Zerkalo/Mirror (1975), Stalker (1979), Nostalghia (1983), dan Offret/The Sacrifice (1986).

Setiap filemnya memerihalkan pengembaraan manusia menjelajah alam sekitarnya, dan memandangkan pengembaraan ini perlu supaya manusia dapat bertembung dengan jiwanya yang sentiasa terlindung, maka filemnya penuh dengan syot manusia merenung jauh, dibingkaikan pula dalam keadaan syot panjang dan tangkapan lama (long take). Dalam keadaan begini, masa menjadi lebih terasa, kontemplasi turut sama dapat dipelihara, diserasikan dan dilaungkan bersama.

Apakah yang menyebabkan filem-filem Tarkovsky begitu bergema dengan bagus sekali kepada jiwa saya? Izinkan saya menulis terlebih dahulu perkenalan pertama saya terhadap filemnya.

Filem pertama Tarkovsky yang saya alami ialah Nostalghia. Pada waktu itu, saya kira, saya masih sedang berjinak-jinak dengan seni apresiasi dan falsafah sinema. Walaupun begitu, asas kesenian saya sudah pun ada sebarang sekelumit, termasuklah pembacaan kesusasteraan dunia Barat semenjak zaman persekolahan, yang kemudiannya berterusan dalam pembelajaran seni di universiti.

Nostalghia (1983)

Saya akur saya terlebih dahulu menatap pengarah filem tersohor seperti Ingmar Bergman, Pier Paolo Pasolini, Akira Kurosawa, Yasujiro Ozu, dan sebagainya sebelum menemui Tarkovsky. Pengalaman menempuhi sinema art house membantu memberi akar dan tanah pada apresiasi sinema Tarkovsky.

Saya juga teringat pada masa saya mula-mula menonton Nostalghia, bagaimana pada awalnya, saya berasa agak bosan menatapnya, tetapi atas dasar usaha ingin memahami gaya Tarkovsky (beliau merupakan nama yang disyorkan oleh beberapa pengkritik dan pembikin filem), ditambah lagi pada waktu itu saya sudah punyai pengalaman (sedikit!) filem-filem perlahan sebegini (dan dibantu oleh perasaan ingin tahu), saya benamkan perasaan mengantuk, perasaan jemu, terus menonton, dan menghabiskannya sampai larut malam.

Seusai mengalami Nostalghia, tiba-tiba saya terasa keindahan kepuisian yang tersembunyi, yang hanya kuasa sinema sahaja yang bisa jelmakan.

Syot akhir Nostalghia amat memberikan kesan kepada memori saya sehingga sekarang; seorang lelaki dewasa cuba membawa satu lilin dari satu poin ke satu poin, di dalam kolam air yang cetek. Namun begitu, apabila dia bergerak ke lokasi objektifnya, api lilinnya terpadam kerana hembusan angin, dan dia terpaksa kembali balik ke poin asal. Berulang kali juga lelaki ini mahu mara ke hadapan, berlawan dengan arus angin yang mahu memadamkan api di tangannya.

Pada ketika itulah saya tersedar kuasa tangkapan lama dalam sinema, bagaimana ia menaikkan debaran masa, serta betapa pentingnya lautan masa disedari dalam riwayat menonton filem. Menonton filem bukannya untuk menghabiskan masa, atau dalam bahasa Inggeris biasanya, “to kill time”, tetapi menambahkan masa sebagai salah satu sumber sanubari terpenting; menyedari selalunya masa sedang mengalir, membuak dan bergema tanpa henti.

Saya terjemahkan kata-kata Tarkovsky tentang filem Nostalghia:

Aku sentiasa berminat dengan dunia dalaman seseorang. Aku berminat dengan manusia, kerana dia mengandungi satu alam semesta dalam dirinya; dan untuk mencari ungkapan bagi idea, untuk erti kehidupan manusia, tidak perlu menebar di belakangnya, seolah-olah, ia kanvas yang penuh dengan kejadian. Aku mahu Nostalghia bebas daripada apa-apa yang tidak relevan atau sampingan yang akan menghalang objektif utamaku: gambaran seseorang dalam keadaan terasing yang begitu mendalam daripada dunia dan dirinya sendiri, tidak dapat mencari keseimbangan antara realiti dengan harmoni yang dia kepingin, dalam keadaan nostalgia yang diprovokasi bukan sahaja oleh kejauhan dari rumahnya tetapi juga oleh kerinduan sejagat kepada keutuhan kewujudan …

Apakah bahasa Melayu terbaik untuk menterjemahkan austere? Kesederhanaan? Kejimatan? Bagaimana pula mahu menyampaikan maksud bagi austere shot? Adakah sesuai menyebut “syot yang sederhana”? Tarkovsky mahu membentuk penghargaan pada masa, yang saya sebutkan di sini sebagai “kemasaan”, maka filemnya dilakarkan dalam bentuk bersederhana, dipenuhi watak-watak yang kesunyian, lantas menjadikan filemnya juga serasi dengan semangat spiritual.

Tema-tema keagamaan yang dibawanya, yang selalunya pertembungan antara kepercayaan Kristian dengan paganisme, turut menambahkan seri kesederhanaannya.

Bukan itu sahaja, filem Tarkovsky bersederhana kerana rumpunan simbol yang dihimpunkannya sering berkisarkan kegelisahan yang membelitkan, memakukan dan meleburkan kewujudan.

Kita boleh kategorikan sinema Tarkovsky sebagai “sinema perlahan”. Tema ini merupakan terjemahan langsung daripada bahasa Inggeris – slow cinema. Maksud sinema perlahan merujuk satu keadaan apabila kesenian itu tidak banyak menunjukkan aksi lakonan yang keterlaluan atau babak aksi yang banyak lawan-lawan atau adegan kejar-mengejar seperti biasa dilihat dalam filem popular Hollywood dan Bollywood.

Malah, dalam sinema perlahan kontemporari, lebih banyak menunjukkan watak yang kurang berdialog, dirakamkan selalunya dalam suasana syot panjang. Audio lagu juga kurang dimainkan, tetapi bunyi-bunyi semula jadi lebih diraikan. Tiada plot yang mendebarkan, malah struktur cerita selalunya bersifat mendatar.

Tidak hairan kalau ada yang mengkritik sinema perlahan begitu membosankan! Memandangkan sinema perlahan banyak syot panjang, maka banyaklah senario landskap ditayangkan, sehinggalah landskap sekeliling menjadi seakan-akan sebagai watak utama.

Homo Sapiens (2016) oleh Nikolaus Geyrhalter ialah contoh yang lebih ekstrem; langsung tiada manusia ditunjukkan, malah hanya dipenuhi oleh syot-syot alam dan tinggalan binaan manusia yang usang lagi terpencil. Perkara ini juga menyebabkan ada suara sinis yang mengatakan bahawa sinema perlahan adalah seperti menonton filem dokumentari yang tiada objektif.

Baca Bahagian Kedua dan Ketiga Estetika dan Kesenian |

Nota Editor: Beberapa filem Tarkovsky boleh ditonton secara percuma di platform YouTube. Studio filem Rusia terkemuka Mosfilm, turut membariskan beberapa filem beliau di YouTube untuk tayangan masyarakat umum.

Kredit Foto: Pera Museum

_________________________

Dr. Fauzi Naeim merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Information Technology. Sekarang, beliau asyik dengan pembacaan manga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.