Oleh Karmila Azmi
15 Februari 2024, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Novel Герой нашего времени atau A Hero of Our Time, naskhah klasik tulisan pengarang terkemuka Rusia, Mikhail Lermontov akhirnya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Naskhah terjemahan dengan judul Wira Zaman Kita itu diterjemahkan oleh Dr. Victor A. Pogadaev dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Novel itu pertama kali diterbitkan dalam bahasa Rusia pada tahun 1840, dianggap sebagai novel moden Rusia yang pertama. Novel itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh ramai penterjemah, antara yang terawal pada tahun 1916 oleh J.S. Wisdom dan Marr Murray terbitan Alfred A. Knopf.

Wira Zaman Kita ialah naskhah yang sangat berpengaruh dalam sastera Rusia kerana kritikannya terhadap golongan aristokrat Rusia pada zaman itu serta wacana psikologi yang dibawanya.

Versi asal naskhah ini ditulis dalam dua bahagian, iaitu bahagian pertama ialah pencerita yang tidak dinamakan yang menceritakan pengembaraannya di banjaran gunung. Hanya pada bahagian kedua, watak itu dinamakan sebagai Grigori Aleksandrovich Pechorin yang digambarkan sinis dan individualistik.

Pechorin juga gemar mempermainkan wanita tetapi dalam masa sama suka melakukan pengembaraan yang bahaya sekali gus merisikokan nyawa ala wira Byron, dinamakan sebegitu daripada penampilan penyair Romantis Inggeris Lord Byron (1788–1824).

Naskhah setebal 200 halaman ini mula ditulis oleh Lermontov pada tahun 1938 ketika dalam perkhidmatan tentera di Petersburg.

Untuk rekod Lermontov ialah penyair Rusia yang terpenting selepas Alexander Pushkin. Beliau meninggal dunia setahun selepas novel ini diterbitkan, dalam usia 26 tahun.

Karya prosanya amat mempengaruhi penulisan Dostoyevsky, Tolstoy dan Chekov.

Wira Zaman Kita turut tersenarai dalam karya agung klasik dari Rusia oleh rumah penerbitan berprestij, Penguin Classics.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.