Oleh Fauzi Naeim
14 Disember 2023, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam sinema, terdapat beberapa pengarah filem yang dianggap sebagai adiguru atau setaraf dengan Sasterawan Negara dalam kalangan penulis. Andrei Tarkovsky merupakan salah satunya. Fauzi Naeim memperkenalkan Tarkovsky dan mengapa beliau jawapan pada kemuncak seni perfileman.

Bapa Tarkovsky, Arseny Tarkovsky, merupakan seorang penyajak Rusia terkenal dan penterjemah beberapa buku. Maka, tidak pelik apabila kekuatan puisi mengalir kepada anaknya, Andrei Tarkovsky yang sering memikirkan persoalan estetika sinema.

Antara syot yang sering dipamerkan dalam sinema perlahan Tarkovsky boleh diperhatikan pada filem Mirror (1975), yakni syot panjang, digarapkan dalam durasi yang agak lama, seseorang yang sedang merenung jauh. Ada beberapa sebab yang kita boleh interpretasikan mengapa syot sebegini banyak berlangsung dalam filemografi Tarkovsky.

Pertama, syot panjang ini memberikan kesan kesunyian dan keterpencilan pada watak. Apabila landskap begitu luas, hal ini seperti menunjukkan watak ini ialah insan yang kecil di pandangan kosmos.

Kedua, dengan menunjukkan satu aksi yang kaku atau diam, hal ini mengganggu kesediaan penonton yang begitu terbiasa menunggu aksi lakonan, lantas mencabar kesabaran penonton.

Mirror (1975)

Ketiga, dengan meletakkan satu insan dalam landskap yang besar, hal in dapat memberikan pemakuan perhatian yang lebih kukuh atau lagi intim pada mata penonton. Sekecil gerakan menyapu debu di dahi, atau apabila rambut tiba-tiba berterbangan kerana tiupan angin, memberikan kita kesedaran yang lebih ekstasi tentang gestur manusia.

Keempat, dengan menunjukkan imej seseorang sedang merenung jauh, maka hal ini juga memberi ruang dalam sinema untuk penonton turut sama termagnet untuk merenung dan berkongsi kontemplasi pada ufuk yang misteri.

Filem-filem Tarkovsky – termasuk juga daripada Michelangelo Antonioni, Robert Bresson, Miklós Janscó, Abbas Kiarostami, dan Chantal Akerman merupakan antara pengaruh awal bagi estetika sinema perlahan, dan ideologi sinema perlahan kontemporari boleh tahan juga pengikutnya.

Sudi saya memberi beberapa contoh pembikin sinema perlahan moden: Lisandro Alonso, Sharunas Bartas, Tsai Ming-liang, Nuri Bilge Ceylan, Bela Tarr, Aleksandr Sokurov, Bruno Dumont, Apichatpong Weerasethakul, Lav Diaz, Semih Kaplanoğlu, dan Michelangelo Frammartino (sekadar menyebut beberapa nama). Setiap pembikin sinema yang disebutkan di sini meraikan keletihan kuasa kehidupan dalam berhadapan dengan masa dan ruang, serta keampuhan manusia untuk hidup bersemuka dengan kegelisahan yang tiada penamat. Maka sebab inilah, sinematografi tangkapan lama dipakai dan disematkan dalam roh sinema perlahan. Pengarah sebegini tidak berminat dengan naratif popular, dengan aksi cepat dan plot yang mendebarkan, tetapi menghasilkan seni yang “bosan” lagi perlahan, agar menggalakkan renungan yang dalam demi melawan kecepatan masa yang semakin hari semakin terasa kerana buakan teknologi dan media massa.

Bapa Tarkovsky, Arseny Tarkovsky, merupakan seorang penyajak Rusia terkenal dan penterjemah beberapa buku. Maka, tidak pelik apabila kekuatan puisi mengalir kepada anaknya, Andrei Tarkovsky yang sering memikirkan persoalan estetika sinema, yang mana jawapannya, boleh difahami dan dirasai sebagai komposisi puisi. Tarkovsky beranggapan bahawa menjadi satu kerugian bagi seni sinema untuk mempamerkan naratif yang lurus semata-mata, tetapi mesti menghalakan sinema sebagai satu kuasa yang berupaya menterjemahkan mimpi sebagai realiti dan sebaliknya.

Antara pengarah Rusia lain yang sering mementingkan sinema sebagai puisi ialah Sergei Parajanov dan Aleksandr Sokurov. Kedua-duanya juga mengakui amat dipengaruhi oleh falsafah Tarkovsky. Kata-kata Andrei Tarkovsky tentang perhubungan puisi dengan sinema terlalu banyak untuk disebut satu per satu di sini. Saya terjemahkan beberapa: “Tetapi sinema ialah seni yang tinggi, seni yang sangat puitis: ia tidak memerlukan sebarang skema untuk mencabuli potensinya” (2006:66). “Aku dapati rantaian puitis, logik puisi sinema begitu luar biasa sekali gus memuaskan. Bagiku, mereka nampaknya sangat sesuai dengan potensi sinema sebagai bentuk seni yang paling benar dan puitis” (1987:18).

Pada perenggan lain, beliau menulis, “Melalui hubungan puitis perasaan meningkat dan penonton menjadi lebih aktif. Dia menjadi peserta dalam proses mencari kehidupan, tidak disokong oleh kesimpulan sedia daripada plot atau petunjuk yang tidak dapat dielakkan oleh pengarang. Dia hanya mempunyai apa yang boleh membantu untuk menembusi makna yang lebih mendalam daripada fenomena kompleks yang di hadapannya” (1987:20).

Filem Tarkovsky The Sacrifice (1986), yang lokasi penggambarannya di Sweden, merupakan karyanya yang terakhir sebelum beliau meninggal dunia kerana kanser. (Ada juga teori yang mengatakan bahawa beliau dan isterinya meninggal dunia setelah diracuni secara perlahan oleh kerajaan Rusia, tetapi penyataan ini tidak boleh dikenal pasti kebenarannya).

The Sacrifice (1986)

The Sacrifice merupakan kisah terpencil di sebuah kampung apabila manusia berhadapan dengan Perang Dunia Ketiga, yang bencananya akan mengkiamatkan dunia. Alexander (lakonan pelakon Sweden, Erland Josephson), watak utama dan seorang intelektual menyedari krisis ini, lantas cuba membuat perjanjian dengan Tuhannya; seluruh isi rumahnya dan nyawa anaknya – sebagai pengganti untuk keselamatan dunia.

Babak akhir The Sacrifice merupakan antara syot tangkapan lama tercantik dalam sejarah sinema: Alexander berlari-lari di padang yang berlecak sambil memerhatikan dari jauh rumahnya yang sedang terbakar. Alexander sedar bahawa dia tidak boleh lagi menyelamatkan rumahnya, kerana rumahnya bukan lagi miliknya, tetapi sudah menjadi tebusan alam yang tiada tandingan.

Sinema ialah seni yang tinggi, seni yang sangat puitis: ia tidak memerlukan sebarang skema untuk mencabuli potensinya.

Wacana kegelisahan rohaniah sering menjadi tema utama kesemua filem Tarkovsky. Perkara ini juga menyebabkan saya melihat Tarkovsky sebagai antara pemikir eksistensialis yang terkemuka, yang sebaris dengan Friedrich Nietzsche, Jean-Paul Sartre, Albert Camus, dan Rainer Maria Rilke. Ivan’s Childhood (1962), karya pertama Tarkovsky merupakan sebuah filem perang. Heronya seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang ditugaskan menghendap untuk mendapatkan informasi di barisan hadapan. Maka, berlakulah polemik dalaman pada kanak-kanak ini, antara keinginan untuk menjadi berguna kepada orang yang dihormatinya dengan perasaan mahu bebas daripada neraka peperangan.

Pada tahun 1972, pada ketika hangat rundingan antara Kesatuan Soviet dengan Amerika untuk perjanjian gencatan senjata peluru berpandu, Bobby Fischer (Amerika) mengalahkan Boris Spassky (Rusia) dalam pertandingan catur di Reykjavík. Pada tahun yang sama, Tarkovsky menerbitkan Solaris, sebuah filem fiksyen sains yang diinspirasikan daripada karya penulis Poland bernama Stanislaw Lem.

Filem ini mengisahkan seorang ahli psikologi bernama Kris Kelvin yang bertugas di sebuah stesen angkasa berusia puluhan tahun – yang objektifnya adalah untuk mengkaji sebuah planet bernama Solaris. Kelvin kemudiannya terkejut apabila mendapati isterinya, Hari, muncul di sebelahnya.

Rupa-rupanya, planet Solaris mempunyai kuasa misteri yang boleh membaca tenaga mental anak kapal, sehingga boleh mewujudkan tubuh manusia yang boleh berinteraksi.

Tarkosky menulis: “Solaris adalah tentang orang-orang yang tersesat di dalam kosmos dan terpaksa, sama ada mereka suka atau tidak, untuk mengambil satu langkah lagi ke atas tangga pengetahuan. Pencarian manusia yang tidak berkesudahan untuk pengetahuan, yang diberikan kepadanya secara percuma, merupakan sumber ketegangan yang besar, kerana ia membawa bersamanya kegelisahan, kesusahan, kesedihan, dan kekecewaan yang berterusan kerana kebenaran terakhir tidak akan dapat diketahui” (hlm. 198).

Solaris (1972)

Filem ini penuh dengan syot-syot panjang watak merenung ke luar bingkai sinema. Untuk menjanggalkan lagi suasana sunyi di ruang angkasa, Tarkosvky meminta Edward Artemiev untuk mereka bentuk bunyi menggunakan ANS Synthesizer, satu instrumen muzik foto-elekronik yang dicipta oleh Alexander Nikolayevich Scriabin. Artemiev juga turut menyumbangkan reka bunyi untuk filem Mirror dan Stalker.

Baca Bahagian Pertama dan Ketiga Estetika dan Kesenian |

Nota Editor: Beberapa filem Tarkovsky boleh ditonton secara percuma di platform YouTube. Studio filem Rusia terkemuka Mosfilm, turut membariskan beberapa filem beliau di YouTube untuk tayangan masyarakat umum.

Kredit Foto: Pera Museum

_________________________

Dr. Fauzi Naeim merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Information Technology. Sekarang, beliau asyik dengan pembacaan manga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.