Oleh M. Emir
28 November 2023, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

M. Emir menyampaikan sepatah dua kata tentang pemilihan para penilai dalam sastera.

Jadi, siapakah, siapakah yang berdosa besar dalam sastera??! Siapakah yang teraniaya? Siapakah yang salah?

Kali ini, penulisan saya akan menjadi lebih serius dan mungkin saya tidak akan bermain dengan retorik semata-mata. Hal ini demikian kerana isu yang akan saya kupas pada kali ini amatlah serius (dan berat sekurang-kurangnya bagi saya). Akan tetapi, saya pasti, tanah haram untuk sekalian penulis, iaitu sastera juga sedang meronta-ronta untuk memanggil seseorang supaya isu ini diselesaikan. Saya terpanggil oleh seruan itu.

“Karya penulisan akulah yang paling sedap.”

“Kau ada pengiktirafan apa? Aku ada sijil tau. Aku juara menulis sajak tau kat sekolah ini.”

Setelah tiga tahun berkaki ayam dalam sastera, saya baru perasan yang di sini ada “duri”. Polemik tentang “sajak sedap” terapung-apung di cakerawala sastera tanpa kita sedar. Ramai yang mengaku dirinya telah menulis sajak dengan sedap persis ikan patin tempoyak Temerloh. Dengan menjadikan kejayaan mereka merebut piala dengan gelaran “johan” pada pertandingan menulis sajak peringkat sekolah sebagai piawaian untuk menyatakan sajaknya enak, rangup, lazat, serta wajar diberikan pujian oleh semua orang. Sedangkan, masalah timbul apabila stigma masyarakat yang menganggap karya daripada penulis tanpa sijil ini tidak sedap persis petai yang berulat. Jika diteruskan begini, akan berlakulah perang dingin antara penulis tanpa sijil dengan penulis kelahiran sajak sekolah.

Saya berikan satu analogi mudah. Amylia menulis sebuah sajak berkaitan faedah membaca. Dia menggunakan metafora. Amir pula menulis sajak tentang semut yang terhimpit antara halaman 76 dengan 77, sebuah buku puisi hasil karangan Jack Malik. Dia tiada metafora tetapi bermain dengan personifikasi menarik serta segar. Penilai pula bukan terdiri daripada kalangan penulis yang berpengalaman. Penilai memilih Amylia sebagai johan kerana dalam kriteria penjurian ada tertulis gaya bahasa. Persoalannya, adakah hal ini adil, saksama lagi sahih?

Jawapannya, tanpa syak atau dalam bahasa Arabnya, shaz, TIDAK! Hal ini demikian kerana, penilainya bukan dalam kalangan yang mahir. Kedua, adakah puisi tanpa metafora itu tidak sedap. Metafora yang dimaksudkan ialah gabungan kata konkrit dan abstrak. Tambahan pula, puisi Amylia tadi belum tentu metaforanya sesuai digunakan dalam sajak. Jika Amylia hanya menulis metafora hanya untuk memenuhi kriteria penjurian, adakah Amylia sudah menulis sajak yang bagus? Sedangkan dalam hal ini, Amir ialah orang yang teraniaya. Amir telah menulis sajak dengan bersungguh-sungguh. Dia mahu memesongkan sajak daripada pemikiran konvensional, tetapi penjurian meletakkan ketetapan gaya bahasa sebagai markah.

Setelah itu, Amir kalah. Inilah bahayanya jika penilai pun tidak tahu menilai. Maka, Amylia, penulis yang menang tadi pun dihantar ke peringkat daerah untuk bertanding. Adakah penjurian di sana dilakukan oleh orang yang benar-benar tahu sastera? Jika tidak, bagaimana hendak melahirkan penulis berkualiti? Akhir sekali, setelah dibiarkan berlarutan, mereka yang memenangi sajak sekolah/daerah tadi tidak dapat menempa nama dalam industri penulisan.

Mereka mengadu domba.

“Media arus perdana mengamalkan kronisme!”

“Media arus perdana tidak mengikut aturan puisi!”

“Sastera dah hancur lebur!”

Jadi, siapakah, siapakah yang berdosa besar dalam sastera??! Siapakah yang teraniaya? Siapakah yang salah? Sila jawab dengan esei balas kepada penulis muda yang sedang marah ini. Siapa?!

Tidak habis di situ, mereka yang “tidak dihargai” tadi melakukan mogok dengan memusuhi penulis yang tidak pernah memenangi apa-apa anugerah di sekolah dahulu. Kemudian, perbalahan bermula. Mereka yang “tidak dihargai” terus mencetuskan polemik terhadap para penulis yang memenangi anugerah di luar sekolah, seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Selangor dan sebagainya.

Jadi, wahai penulis muda bernama M. Emir, apakah penyelesaiannya? Kita bukanlah hendak menuding jari kepada sesiapa. Namun begitu, kita perlu cari cara untuk menyelesaikannya. Bagaimana? Dengan memilih penilai dalam kalangan yang pandai menilai. Mungkin juga dalam kalangan penulis. Saya yakin dan percaya, penulis seperti kami ini masih boleh membantu untuk menilai dengan lebih baik. Hal ini penting kerana kita perlu segera menyelesaikan polemik ini atas beberapa faktor yang mendesak.

Antaranya, kita mahu membersihkan pemikiran orang awam terhadap sastera. Kedua, kita mahu mengelakkan stigma masyarakat tentang hanya penulis yang ada sijil sahaja yang betul.

Saya menanti balasan anda semua. Kalau tidak bersetuju, saya mohon anda sampaikan dalam sebuah esei. Kalau setuju, berikan tanda suka pada hantaran Facebook dan ikuti Instagram @memirwriter. Terima kasih.

Kredit Foto: Sergey Vinogradov/Unsplash

_________________________

M. Emir merupakan penulis yang berasal dari Kuantan, Pahang. Beliau telah menghasilkan beberapa buah puisi eceran yang tersiar dalam Tukang Puisi dan Selangorkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.