Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Mertajam – Hampir 80 ahli persatuan penulis dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang menyertai Program Tautan Tinta Penulis Utara II 2023 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang di sini hari ini.
Puan Fauzilahyatun Mustafa, iaitu Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP yang mewakili YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP menerusi ucapan perasmian penutupan majlis tersebut berkata bahawa kerjasama antara penulis dengan pihak DBP amat dialu-alukan dalam merancakkan lagi industri penerbitan di negara ini. Tambah beliau,
Banyak ruang dan peluang dalam penerbitan buku dan majalah yang disediakan oleh DBP kepada penulis. DBP sentiasa berusaha menjaga hak penulis. Dalam hal ini, perlunya ada kesedaran dalam kalangan penulis terhadap hak cipta bagi melancarkan urusan penerbitan DBP agar tidak menimbulkan isu pada hari kemudian.
Pada masa yang sama, Puan Fauzilahyatun mengajak penulis untuk menghantar manuskrip kepada DBP bagi tujuan penerbitan sama ada buku ilmiah, buku umum, buku bahasa, buku kanak-kanak dan remaja atau buku sokongan pendidikan yang sesuai dengan sasaran pembaca. Bagi memastikan buku yang dihasilkan sesuai dengan golongan sasaran, penulis diharapkan dapat memahami tujuan penulisan dan kategori buku yang ingin diterbitkan.
Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh dalam taklimat yang diberikan olehnya pula berkata bahawa program yang diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan baik antara penulis di negeri berkenaan dengan staf DBP.
Melalui aktiviti begini, sedikit sebanyak masalah yang dihadapi oleh penulis utara untuk menghasilkan buku ilmiah dan umum dapat diselesaikan.
“Melalui maklumat yang diberikan, semua penulis akan lebih mengetahui tentang kehendak DBP dalam menghasilkan buku menarik yang bakal diterbitkan nanti,” jelas Encik Armin Azhari Saleh lagi.
Presiden Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia, YBhg. Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin turut diundang menyampaikan ceramah dalam program tersebut.
Jelas YBhg. Dato’ Ahmad Redza, sebanyak 83 buah negara di dunia masih ternanti-nanti dan ingin melihat buku menarik, termasuklah kisah cerita dari kampung yang dihasilkan oleh kumpulan penulis negara ini agar berada dalam perpustakaan di negara mereka.
Misalnya, di Gaza, Palestin. dua buah perpustakaan awam akhirnya ranap kesan daripada serangan oleh tentera Zionis Israel baru-baru ini hingga menyebabkan banyak guru dan kanak-kanak berada di situ turut terkorban. Hal ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan.
Dalam program tersebut juga, peserta turut berpeluang mendengar penerangan daripada Ketua Unit Sains dan Teknologi Bahagian Buku Umum DBP, Puan Filzah Ibrahim dan Ketua Bahagian Harta Intelek DBP, Puan Hanifah Mohamed.