Oleh Aninah Janang
28 September 2023, 22:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bermula esok hingga 30 Oktober 2023, Sabah akan menghimpunkan  pejuang dan peminat sastera, bahasa dan budaya dari seluruh Malaysia bagi menjayakan Hari Sastera Ke-19. Bertemakan “Maju Jaya dalam Sastera Kebangsaan”, sambutan Hari Sastera pada kali ini akan dilengkapkan dengan pelbagai program, antaranya termasuklah forum, seminar dan pembentangan kertas kerja oleh barisan tokoh sastera dan bahasa yang berpengaruh di negara ini.

Kemuncak sambutan Hari Sastera Ke-19 akan diserikan dengan Majlis Perasmian oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang bakal berlangsung esok, di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, Sabah. Penganjuran Hari Sastera Ke-19 di Kota Kinabalu pada tahun ini dilihat lebih siginifikan apabila acara ini diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-60 Sabah merdeka dan sebagai memperingati 50 tahun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di negeri Sabah.

Hari Sastera di sambut sejak tahun tahun 1972 dan Sabah pernah menjadi tuan rumah pada penganjuran kali kedua, iaitu pada tahun 1973.  Yang berikut negeri yang pernah menjadi tuan rumah sambutan Hari Sastera, iaitu Kota Bharu, Kelantan (1972), Kota Kinabalu, Sabah(1973), Kuching, Sarawak (1974), Alor Setar-Langkawi, Kedah (1976), Kuala Terengganu, Terengganu (1978), Ipoh, Perak (1980), Johor Bahru, Johor (1983), Pulau Pinang (1985), Kuantan, Pahang (1987), Shah Alam, Selangor (1993), Melaka (1995), Santubong, Sarawak (2001), Ipoh-Kuala Kangsar, Perak (2005), Kuantan, Pahang (2007), Melaka (2012), Kuching (2013), Wilayah Persekutuan Labuan (2017), dan Kota Bharu, Kelantan (2022). Kesemua acara Hari Sastera dianjurkan ole kerajaan negeri dan diselenggarakan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersama-sama badan gabunga lain dan dengan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara tujuan penganjuran Hari Sastera termasuklah menghimpunkan para pengarang, sarjana dan peminat bahasa, sastera dan budaya untuk membincangkan persoalan bahasa, sastera dan budaya dalam tema tertentu yang bersesuaian dengan keadaan semasa; menyediakan ruang kepada para pengarang dan sarjana untuk bertemu dan membincangkan karya mereka; memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang perkembangan sastera mutakhir; dan membuat  rumusan dan cadangan untuk meningkatkan kualiti karya sastera dalam konteks membina peradaban bangsa Melayu di Malaysia dan serantau Asia Tenggara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.