Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Majlis Pelancaran Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah Ke-2 (SILA) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) telah diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, baru-baru ini.
Festival ini turut diadakan dengan kerjasama beberapa pihak, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS), Insitut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Komunitas Puisi Esei ASEAN.
Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBPCS melihat penganjuran festival ini memberi sumbangan yang besar dalam pemikiran siswa terutamanya di Sabah.
Menurut beliau lagi pengisian sebegini melahirkan siswa yang berbudaya tinggi, di samping menyuburkan kesedaran terhadap kepentingan seni dan sastera dalam kehidupan.
Manakala Tuan Haji Jamawi Ja’afar selaku Penasihat BAHASA berharap program ini tidak akan berhenti setakat ini sahaja. Beliau berkata;
Para penulis melakukan pekerjaan ini dengan ikhlas demi menghasilkan karya yang mampu memanusiakan manusia.
Oleh itu saya amat berharap dan menyeru kepada para siswa yang bakal mendidik pada masa hadapan, ambillah pengalaman penulis dan seniman yang hadir sebagai modal untuk di bawa ke sekolah dan menyebarluaskan minat mendalam kepada generasi kita.
Selain itu, turut dilancarkan lima buah buku termasuk novel dan puisi, iaitu Puteri Bestari, Dayang Masniah, Roh Cincin Emas Putih dan Surat Jibril.