8 September 2023, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Bengkel Penyelidikan Kajian Karya Fiksyen Sains dalam Sastera Kanak-kanak dan Remaja pada 5 September lepas di Bilik Rahim Kajai, DBP.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa meskipun banyak karya sastera genre fiksyen sains diterbitkan oleh DBP, namun kajian dan penelitian secara tuntas terhadap karya tersebut belum pernah dilakukan. Oleh itu, bengkel ini diadakan bertujuan untuk meneliti kandungan dan kesesuaian karya dengan norma dan nilai masyarakat Malaysia.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan (duduk di hadapan, tengah) Sastera ketika memperkatakan tentang kepentingan kajian fiksyen sains dalam dunia kritikan sastera.

Kajian ini juga secara tidak langsung dapat membantu DBP ke arah menerbitkan lebih banyak lagi karya bergenre sedemikian yang mengandungi nilai dan pemikiran tempatan dalam dimensi sains dan teknologi. Ujarnya lagi,

Hasil kajian ini juga akan diterbitkan sebagai korpus penyelidikan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja yang akan menjadi rujukan kepada penulis, sarjana dan masyarakat.

Sebanyak tujuh kertas kerja telah dibentangkan oleh para penyelidik dalam bengkel penyelidikan ini. Antara para pembentang ialah iaitu Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi (Universiti Putra Malaysia), Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud (Universiti Putra Malaysia), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi (Universiti Malaya), Dr. Rosnani Md Zain (Universiti Putra Malaysia), Dr. Faezah Muhayat (DBP) dan Puan Nor Adilah Abu Bakar (DBP).

Prof. Madya Dr. Nik Rafidah menerusi dua kertas kerjanya bertajuk “Novel Fiksyen Sains Kanak-kanak dan Remaja: Manusia dan Dunia Era Sains dan Teknologi” dan “Gaya Penyelesaian Konflik dalam Novel Fiksyen Sains Pilihan” menyatakan bahawa karya fiksyen sains penting kepada kanak-kanak dan remaja untuk membentuk daya imaginasi mereka.

Jelasnya, melalui karya fiksyen sains, mereka akan mendapat pengalaman baharu dan lebih optimis untuk mengetahui tentang pembangunan sains dan teknologi dalam kehidupan manusia. Baginya, karya fiksyen sains yang berkualiti mengandungi beberapa fakta sains yang diolah untuk menimbulkan konflik, mengembangkannya dan akhirnya menyelesaikan konflik tersebut.

Prof. Madya Dr. Nik Rafidah (bertudung ungu, kiri) memperkatakan pentingnya karya fiksyen sains dalam memberi pengetahuan tentang hal-hal seputar sains dan teknologi selain membentuk imaginasi pembaca.

Dr. Rosnani Md Zain dengan pembentangannya bertajuk “Fungsi Unsur Fantasi dalam Novel Fiksyen Sains Pilihan” pula menjelaskan bahawa unsur fantasi dalam karya sastera bukanlah sesuatu yang merosakkan pemikiran pembaca, malah menggalakkan pembentukan pemikiran saintifik, kreatif, serta memberikan teladan yang baik kepada pembaca.

Novel Nadim karya Wan Mohd Rosdi Wan Dolah yang menjadi kajian Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi.

Seterusnya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi menerangkan bahawa kepengarangan novel Nadim karya Wan Mohd Rosdi Wan Dolah berjaya mengetengahkan dunia sains dan teknologi kepada pembaca menerusi pembentangannya bertajuk “Teknologi, Pembangunan dan Masyarakat: Perspektif Kemanusiaan dalam Teks Sastera Terpilih”. Menurutnya lagi, segala fakta berkaitan dengan teknologi digembleng dengan penuh teliti oleh pengarang bagi menyedarkan khalayak pembaca terhadap kepentingan dunia siber.

Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud melihat aspek interpretasi konflik dalam novel ………Namanya Solstis karya Crystal Ng Mun Caeng. Di sebelahnya ialah Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi.

Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud pula mengkaji novel ………Namanya Solstis karya Crystal Ng Mun Caeng menerusi pembentangan kertas kerja bertajuk “Interpretasi Konflik sebagai Refleksi Pemikiran dalam Novel  Berasaskan Pendekatan Konflik”. Beliau menyatakan bahawa menerusi penelitian terhadap novel fiksyen sains yang dikaji, pembaca dapat mengesan peristiwa-peristiwa yang melibatkan watak-watak telah mewujudkan konflik sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 

Tambah beliau lagi, konflik penting dalam memastikan cerita berkembang. Tanpa konflik, cerita akan mudah menemui jalan akhirnya dan memungkinkan pembaca berasa tidak puas dengan cerita yang disajikan. Novel ………Namanya Solstis mencerminkan sikap manusia yang sentiasa berhadapan dengan konflik, namun akan mampu ditangani secara bijaksana sekiranya fungsi akal dan emosi dapat digunakan secara seimbang.

Puan Nor Adilah Abu Bakar sedang membentangkan kajiannya bertajuk “Penerapan Elemen Fantasi dalam Novel Remaja Fiksyen Sains”.

Dr. Faezah Muhayat pula membentangkan kertas kerja bertajuk “Penerapan Pendidikan Sains dalam Cerita Kanak-kanak”. Beliau berpandangan bahawa fiksyen sains merupakan salah satu genre sastera yang dapat memberikan ruang dan peluang kepada para penulis sama ada yang berlatarbelakangkan pendidikan sains atau bidang lain untuk menghasilkan karya kreatif mereka. Tambah beliau, penulisan fiksyen sains dapat menarik minat pembaca kanak-kanak terhadap dunia sains.

Para pembentang kertas kerja bergambar kenang-kenangan.

Seterusnya, pembentangan kertas kerja bertajuk “Penerapan Elemen Fantasi dalam Novel Remaja Fiksyen Sains” telah dibentangkan oleh Puan Nor Adilah Abu Bakar. Beliau menyatakan bahawa kehadiran elemen fantasi dalam karya sebenarnya membantu pembaca merangsang daya fokus dalam menjana pemikiran.

Walaupun hanya sekadar karya fantasi, namun peranannya mampu membentuk ketajaman berfikir mengikut logik akal, merangsang minat membaca dan seterusnya meningkatkan daya kreatif berfikir. Kenyataan ini disokong oleh Prof. Madya Dr. Nik Rafidah yang menyatakan bahawa elemen fantasi masih relevan untuk diterapkan dalam karya fiksyen sains dalam era kini.

Kajian-kajian ini juga boleh menjadi rujukan penting dalam membuat penambahbaikan terhadap penerbitan karya fiksyen sains kanak-kanak dan remaja. Selain itu, ia juga boleh menyumbang dimensi baharu terhadap kesusasteraan selain membantu meningkatkan pembangunan insan, pembinaan karakter serta kreativiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.