Oleh Lokman Hakim
18 Mac 2024, 19:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lokman Hakim yang prolifik menghasilkan karya fiksyen sains, meneliti cabaran baharu menulis fiksyen sains pada era serba merusuh jiwa dan membimbangkan sekarang.

Saya cuba bermuhasabah diri dan melihat sisi positif terhadap kehidupan semasa. Namun begitu, saya yakin penerimaan atas setiap aspek yang membentuk kehidupan semasa itu penting.

Mutakhir ini, distopia itu suatu kenyataan. Bahkan distopia kini landskap kehidupan semasa. Rasuah melata pada hampir setiap hierarki masyarakat. Ekonomi global meleset. Taraf hidup merosot. Pembunuhan beramai-ramai suatu paparan yang lazim kelihatan di media sosial. Depresi memuncak tinggi dalam kalangan ahli masyarakat. Hal ini diiringi oleh teknologi yang menuntut perhatian masyarakat. Anak-anak ralit dengan media sosial dan juga permainan dalam talian.

Saya cuba bermuhasabah diri dan melihat sisi positif terhadap kehidupan semasa. Namun begitu, saya yakin penerimaan atas setiap aspek yang membentuk kehidupan semasa itu penting. Memahami realiti semasa dan menyesuaikan diri ialah salah satu ciri sepunya manusia secara tuntas. Dengan cara itu sahajalah baru hidup dapat dinikmati kelazatannya seadil mungkin.

Fiksyen sains menuntut penulis untuk membayangkan apakah realiti pada masa akan datang. Dalam erti kata lain, menulis fiksyen sains dalam landskap distopia menjurus pada persoalan, sesudah distopia apa lagi yang menanti?

Suatu ketika dahulu, penulis fiksyen sains sering dikaitkan perihal menulis tentang masa hadapan. Saya sendiri tidak terkecuali. Novel Simulasi dan Eksistensi berpegang teguh pada pendirian ini. Saya sengaja menggunakan latar tahun 2032 untuk novel Simulasi kerana saya ingin melihat bagaimana tahun itu hadir kelak dengan segala bentuk jangkaan saya yang meleset. Saya teruja membaca novel Manuklon apabila penulisnya, Rahmat Haroun, langsung tidak menjangka pembinaan KLCC sama sekali dalam novel tersebut. Dalam siri Space Odyssey, Arthur C. Clarke pula memilih untuk mengekalkan ambiguiti – pada tahun 2001 dan 2010, pengembaraan angkasa itu tetap berlaku tetapi dalam kerangka yang agak realistik. Angkasawan tidak mengenakan teknologi yang terlalu aneh ataupun garda depan. Meskipun mutakhir ini, kembara angkasa sudah berlaku – ia masih gagal membawa manusia melangkaui bulan.

2024. Saya memandu ke tempat kerja mendepani kesesakan jalan raya Lembah Klang setiap hari dengan telefon bimbit terletak kemas di papan pemuka sepanjang perjalanan, menyalurkan maklumat-maklumat yang boleh ditatal tanpa merampas fokus pemanduan. Saya menulis cerpen-cerpen kritikan masyarakat berdasarkan lambakan maklumat yang disajikan kepada saya saban waktu sambil mempersoalkan kebenaran apakah yang tersembunyi di setiap paparan yang dimunculkan silih ganti.

Sebaik tiba di pejabat, saya singgah ke kedai makan yang menggunakan transaksi digital sebelum memulakan jam-jam bekerja. Selera muzik saya pula sering berubah-ubah – saya fikir hal ini menuntut selambak esei untuk menceritakan perihal trend perubahan selera muzik masyarakat waktu ini di mana tahun 2024, tiada apa-apa muzik baharu diperkenalkan melainkan para pengkarya memilih untuk mengenakan gaya muzik era terdahulu dengan imej baharu. Hal ini mengagumkan kerana muzik tidak lagi berevolusi.

Tadarus al-Quran yang tidak formal semisalnya anjuran syarikat sewaktu bulan Ramadan di pejabat tidak lagi dilengkapi naskhah-naskhah fizikal al-Quran; setiap al-Quran ada dalam telefon bimbit masing-masing. Kepintaran buatan menguliti kehidupan setiap warga kota agak ganas, tetapi keterbukaan manusia terhadap lambakan informasi yang berterusan setiap waktu membuatkan keganasan itu diterima pakai selaku kelaziman baharu.

Dalam keadaan sebegini, bagaimanakah penulis fiksyen sains beradaptasi?

Pengarang fiksyen sains tidak boleh lagi secara semberono menulis mengikut kehendak hatinya jika mahu karyanya diterbitkan. Swaterbit suatu pilihan tetapi tanpa sambutan pembaca, tindakan swaterbit hanya suatu perkara yang merugikan.

Pertama sekali, selaku warga distopia, fiksyen sains ditulis dengan harapan eskapisme. Namun begitu, eskapisme juga harus disulami dengan elemen “berpijak-di-bumi-nyata”. Dalam dunia lambakan data sebegini, setiap orang ada akses untuk mendapatkan karya terbaik dari seluruh dunia lantas mewujudkan suatu takah kualiti untuk setiap perkara. Fiksyen sains juga tidak terkecuali.

Kedua, fenomena lambakan data membuatkan para pembaca jadi lebih cerewet. Kita tidak lagi berada dalam zaman Atlas Shrugged ditulis, apabila para pembaca punya banyak masa untuk menelaah karya seribu muka surat yang sarat ayat-ayat lewah yang tidak membantu cerita. Tiga ayat pertama ialah penentu sesebuah novel untuk dibaca terus atau tidak. Tanpa sentuhan persona pengarang di media sosial untuk mempromosi karyanya sendiri – kemungkinan karyanya dipinggirkan langsung daripada bualan para pembaca itu kian melebar. Untuk memastikan karya yang ditulis itu mendapat sambutan, pengarang fiksyen sains harus menerapkan watak-watak yang sinonim dengan keadaan semasa (meskipun latar cerita beribu tahun ke hadapan).

Justeru, pengarang fiksyen sains tidak boleh lagi secara semberono menulis mengikut kehendak hatinya jika mahu karyanya diterbitkan. Swaterbit suatu pilihan tetapi tanpa sambutan pembaca, tindakan swaterbit hanya suatu perkara yang merugikan.

Oleh demikian, pengarang fiksyen sains harus meletakkan dirinya (ataupun watak-wataknya) dalam kerangka emosi dan permasalahan masyarakat mutakhir ini. Golongan pembaca pada waktu ini sangat mementingkan elemen keterdekatan watak pada diri sendiri untuk meneruskan pembacaan. Apa yang nyata, pengarang fiksyen sains boleh sahaja memilih genre opera angkasa atau apa-apa sahaja latar penceritaan asalkan watak-wataknya punya elemen keterdekatan pada diri pembaca.

Namun begitu, pada waktu yang sama, terdapat suatu intuisi yang sepatutnya ada pada setiap pengarang fiksyen sains yang serius, yakni, menyampaikan idea-idea luar biasa yang barangkali mencetuskan perdebatan dalam kalangan para saintis demi menemukan ilmu baharu. Sepertimana China mewujudkan matahari artifisial yang sebelum itu pernah ditulis oleh Cixin Liu, seorang pengarang fiksyen sains tersohor negara itu dalam salah sebuah karyanya, hal ini tidaklah janggal untuk para saintis melazimi fiksyen sains sekali gus menerapkan idea-idea yang cuba disampaikan dalam fiksyen menjadi realiti.

Maka, di situlah terletaknya cabaran menerbitkan sebuah fiksyen sains dalam landskap distopia pada waktu ini. Hal ini harus kekal dalam tradisi fiksyen sains apabila sains ialah penggerak utama cerita secara teknikal dan rinciannya. Penulisannya juga harus dekat di hati pembaca untuk memastikan para penerbit tidak keberatan menjelmakan sebuah manuskrip fiksyen sains menjadi buku.

Kredit Foto: Redd F/Unsplash

_________________________

Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.