Oleh Orked Una
20 September 2021, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cerita lipur lara selalunya dianggap sebagai kisah dongeng yang kosong dan hanya bercerita tentang pengembaraan dan peristiwa aneh. Namun begitu, cerita lipur lara juga merupakan sastera lisan Melayu yang menarik perhatian orang Barat, sejak kurun ke-19 lagi.

R.O. Winstedt mendakwa bahawa cerita lipur lara ialah fiksyen Melayu yang paling indah dan mengangkatnya sebagai “the cream of Malay fiction, because in them local colour takes the place of the tedious conventional description.

Dalam Anjung Kak Long ke-10 dengan tajuk “Fiksyen Sains dalam Cerita Lipur Lara”, Nisah Haron membawa pelayar media sosial mengagumi kebijaksanaan orang Melayu yang sudah pun mewujudkan dunia fiksyen sains dalam cerita lipur lara. Hal ini menunjukkan cerita lipur lara bukan dongeng kosong tetapi sarat dengan pemikiran. Cerita lipur lara menjadi penanda aras bahawa orang Melayu itu genius, sepertimana pantun yang menjadi petunjuk keintelektualan.

Nisah Haron menekankan, pentingnya memahami fiksyen sains yang sebenar dan bagaimana fiksyen sains akhirnya menjadi satu penanda aras untuk melihat kehebatan orang Melayu. Dalam fiksyen sains, mesti ada novum (pembaharuan), sesuatu yang menjadi petunjuk yang belum wujud pada zaman semasa, namun tidak mustahil untuk berlaku. Novum membentuk tiang keanehan dalam cerita dan sesuatu yang harus dikesan dalam karya-karya fiksyen sains. Kehadirannya perlu dinilai untuk memberikan makna kepada pembaca. Novum menjadi garis penentu sama ada sesebuah karya itu fiksyen sains atau fantasi.

Fiksyen sains-proto Melayu terletak pada keanehan dalam cerita-cerita lipur lara yang mengandungi lapis makna yang tidak boleh ditafsirkan secara literal, kerana ceritanya sarat dengan pemikiran saintifik yang lebih terkehadapan daripada zamannya. Keanehan dalam cerita lipur lara berkait dengan latar zamannya kerana konsep-konsep jentera yang diperihalkan belum wujud, maka kesemuanya tidak mempunyai nama atau istilah khusus kerana kekurangan teknologi dan ilmu. Namun begitu, keinginan dan aspirasi untuk menciptanya berlaku, dan direalisasikan dalam cerita lipur lara yang menjadi asas pada fiksyen sains Melayu yang terawal.

Keanehan-keanehan dalam cerita lipur lara yang dikaji membuktikan wujudnya konsep penerbangan, perubahan jisim dan atom, klon, aplikasi tanpa wayar, penunjuk laser, teropong, ledakan sonik, pencetak tiga dimensi, muat turun maklumat, dan kalis bunyi. Penglipur lara menggunakan alam atau binatang untuk memberi deskripsi kelajuan dan kepantasan objek dan manusia, seperti “selaju burung terbang”, “bagai pucuk yang dilancarkan”, “bagai kumbang putus tali”, atau “seperti belut diketil ekor”.

Padanan demikian amat sesuai dalam konteks zamannya, yang memerlukan perbandingan pada objek-objek yang berada di dunia sekeliling orang-orang Melayu itu sendiri. Contohnya:

Sa-tělah itu, sauh di-bongkar; layar pun di-tarěk; bělayar-lah gěliong panjang itu: Bagai puchok di-lancharkan Bagai kumbang putus tali, Gěmuroh ayer di-linggi, Gěmuroh ayer di-sěkat, Sěmbor-menyěmbor liang kumbang, Tiang agong těranggok-anggok Tiang topang imbas-měngimbas, Gada-gada lilit-mělilit, Tidak těrpada laju-nya gěliong, Kalau tidak sama yang burong, Burong běrsayap gěliong běrlayar.

(Hikayat Awang Sulung Merah Muda:75)

Dalam cerita lipur lara, pengangkutan udara untuk ke kayangan sudah ada beberapa jenis konsep penerbangan, seperti kain layang (kegunaan individu untuk tujuan peribadi), kuda semberani (kegunaan individu untuk tujuan profesional), dan balai berjentera (kegunaan lebih daripada seorang). Konsep ini jika dipadankan dengan teknologi semasa, boleh dikatakan sebagai pesawat ringan, pesawat pejuang dan pesawat komersial. Dari segi pemikiran saintifik, masyarakat tradisi dalam cerita lipur lara digambarkan telah mengakui fungsi graviti kerana mereka perlukan sejenis “kuasa” untuk menolak manusia ke udara.

Contoh lain mengenai pengangkutan adalah dalam Hikayat Anggun Che Tunggal, kapal Petolo kapal Petolai dikatakan “siang berbaju layang, malam berbaju rantai” yang memberi gambaran sebuah kapal yang sangat laju dan mempunyai medan kuasa. Contoh-contoh ini menunjukkan fiksyen sains bukanlah suatu entiti asing yang wujud begitu sahaja, tetapi cerminan pada impian masyarakat zamannya.

Pesan Nisah Haron, “Bacalah dengan minda yang lebih terbuka dan hargailah kehebatan orang-orang tua kita, leluhur kita yang sebenarnya sedang menyampaikan sesuatu.

“Ada mesej yang begitu rahsia dan misteri barangkali dalam mesej-mesej ini. Orang Melayu tidak suka membesar-besarkan diri, banyak yang diselindungkan.”

Beliau juga berharap agar pembaca dapat membaca cerita lipur lara dengan perspektif yang berbeza, bukan lagi melihatnya hanya cerita-cerita biasa.

Anjung Kak Long ke-10 disiarkan secara langsung menerusi Twitter dan Facebook Nisah Haron pada 17 September 2021, pukul 9.30 malam.

Tonton Anjung Kak Long “Fiksyen Sains dalam Cerita Lipur Lara” di sini.

Beli Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Anggun Cik Tunggal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.