Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Pengarang novel Bumi, Benz Ali bersedia untuk berdiskusi dengan mana-mana pihak berhubung isu yang mendakwa karya tersebut mengandungi unsur atau bersifat lucah.
Menerusi satu program bicara mengenai isu berkenaan, beliau berkata novel tersebut merupakan sebuah karya fiksyen sains yang mengangkat tema utamanya berkaitan xenofobia.
“Kalau kita baca secara penggalan, memang kita nampak yang tidak baiklah, sedangkan temanya ialah tema xenofobia sebagai tema utama. Tema kepada imigran, antiimigran.
“Mengenai dakwaan atau tuduhan yang menjadi isu sekarang sebenarnya bukanlah perkara teras dalam novel ini,” katanya menerusi program tersebut yang disiarkan melalui Facebook Kuliah Buku – KUBU, baru-baru ini.
Benz Ali berkata, tindakan terbaik sebelum menghukum sesuatu adalah dengan cara berdiskusi, bukan terus menuduh secara melulu sehingga menyebabkan timbul pelbagai persepsi yang tidak baik.
“Mereka boleh bagi apa-apa jua alasan, dan saya juga tidak semestinya betul. Tapi kita kena berhujah untuk mencari titik kebenaran. Sebab saya rasa ini persoalan sastera, seni, budaya,” katanya.
Bumi ialah sebuah novel politik fiksyen sains yang mengisahkan watak protagonis Pisarev dan kumpulan di bawah tanahnya yang subversif, juga tentang kehadiran alien yang semakin lama semakin membiak, membuatkan warga bumi berasa semak.
Novel yang mengandungi 347 halaman itu diterbitkan oleh Gerakbudaya Enterprise dan dilancarkan pada bulan Januari tahun ini.
Terdahulu, dalam satu kenyataan, pihak Grakbudaya menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab sekali gus menyarankan pembaca agar menilai karya tersebut berdasarkan keseluruhan teks, bukannya melalui petikan bab yang terpilih.
“Sebuah karya fiksyen perlu dinilai berdasarkan keseluruhan teks; memahami konteks ialah langkah pertama penilaian sebelum tergopoh-gapah menjatuhkan hukum bahawa sesebuah karya itu tidak bermoral.
“Sastera yang tidak dapat menggambarkan kejahatan, keganasan, seksualiti, pelanggaran —sastera yang dipaksa untuk kekal ‘selamat’ — bukanlah sastera sama sekali.
“Ia adalah propaganda. Ia hanyalah pengulangan nilai sedia ada tanpa kerja pemberanian,” kata kenyataan tersebut, yang dimuat naik menerusi laman Facebook Gerakbudaya pada bulan lepas.