3 Januari 2022, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Bangsa Melayu merupakan satu bangsa yang menyimpan kehebatan intelektual,” ujar Nisah Haron, ahli tetap Persatuan Sastera Lisan Malaysia sewaktu membentangkan kajiannya tentang “Fiksyen Sains dalam Cerita-cerita Lipur Lara” di laman Facebook Persatuan Sastera Lisan Malaysia pada 25 Disember lalu.

“Sastera satu disiplin. Menjadi penulis tidak menjadikan kita orang yang sangat berpengetahuan dalam disiplin sastera. Oleh sebab itu, menjadi penulis dan mengkaji sastera ialah dua hal yang berbeza,” jelas Nisah.

Bagi Nisah, kita tidak boleh membuat tanggapan bahawa orang yang boleh menulis sudah hebat sasteranya. Dia perlukan disiplin, bimbingan, bacaan, dan cara melihat secara akademik yang tidak dilalui ketika menjadi penulis. Nisah sendiri sudah mendekati sastera lisan sejak kanak-kanak lagi.

Oleh sebab bahan bacaan agak terhad pada ketika itu, Nisah telah mencari dan membaca teks-teks bacaan lama. Namun begitu, pada ketika itu beliau tidak tahu pun sama ada bacaan teks lama tersebut merupakan sastera lisan atau cerita rakyat. Oleh sebab pengalaman bacaan tersebut, tanpa sedar, menjadi benih-benih yang ditanam dalam dunia pencerekaannya. Lantaran itu, tidak hairanlah pada awal penulisan beliau sewaktu remaja, beliau banyak menghasilkan karya fantasi.

Menurut beliau, cerita lipur lara mempunyai keanehan dan sisi menarik jika hendak dibandingkan dengan sastera lisan yang lain, seperti teka-teki, pantun dan gurindam.

“Sastera lisan yang kita peroleh pada hari ini merupakan hasil daripada transkripsi yang telah dilakukan oleh R.O Winstedt, pakar pengkaji sejarah dan sastera Melayu yang pada ketika itu ialah Pegawai Daerah Kuala Pilah. Beliau sanggup berulang-alik dari Kuala Pilah ke Perak semata-mata mahu mendengar cerita-cerita lisan yang disampaikan oleh Pawang Ana.

“Memandangkan pada ketika itu hiburan adalah amat terhad, maka Winstedt sanggup berbuat demikian untuk mencari hiburan dalam hidupnya. Cuma, sedikit kekeliruan pada tulisan Winstedt kerana menulis tajuk-tajuk cerita lipur raya itu menjadi hikayat, seperti Hikayat Anggun Che Tunggal, Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman. Sedangkan maksud hikayat itu sendiri asalnya ialah cerita bertulis, sedangkan ia sebenarnya cerita yang diperoleh secara lisan. Maka tidak perlu pun menulis perkataan ‘hikayat’. Memadai menulis Anggun Chik Tunggal, Malim Dewa dan Malim Deman sahaja,” jelas Nisah.

Winstedt yang begitu banyak mengumpul sastera lisan pernah berkata bahawa cerita lipur lara “is the cream of Malay fiction.” Jelas di sini bahawa orang Melayu sangat kaya dengan khazanah intelektual. Keanehan yang terdapat dalam sastera lisan Melayu berlaku kerana orang Melayu mencari eskapisme dan sumber hiburan. Pada ketika itu, hiburan datang daripada para penglipur lara. Justeru, penglipur lara ialah tokoh besar yang diangkat pada zaman tersebut kerana peranan besarnya menyampaikan cerita dan berita, sehingga dapat menarik minat pendengar selain menghiburkan.

Dalam hal ini, Nisah melihat pula sisi kajian fiksyen sains dengan membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu konsep dan hasil. Dengan cara ini, dapatlah dikupas konsep-konsep yang menunjangi reka bentuk sesuatu gagasan yang dibawa oleh setiap cerita lipur lara dan kesan yang dapat dilihat selepasnya.

“Kita sering membaca kisah-kisah fiksyen barat tentang Unicorn, iaitu sejenis kuda bertanduk yang tidak boleh terbang, manakala istilah Pegasus pula digunakan untuk kuda yang boleh terbang. Kedua-dua istilah ini dieja dengan huruf besar, menunjukkan kata nama khas. Sedangkan dalam cerita-cerita sastera lisan Melayu kita, ada istilah umum, iaitu ‘semberani’, seekor kuda bersayap yang boleh terbang. Sehinggakan dalam kisah Anggun Che Tunggal, semberani digambarkan sebagai ‘berbulukan jarum berekorkan pedang’. “Demikian begitu lunak dan cantiknya orang-orang Melayu berkias semata-mata mahu menggambarkan kehebatan semberani sebagai alat pengangkutan yang berperisai pada zaman tersebut. Namun sayangnya, cerita-cerita fiksyen sains Melayu yang dijadikan buku kanak-kanak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri, khususnya pada awal 1980-an sering mengambil acuan Barat. Tidak terlihat pun gabungan fiksyen sains dari dunia Melayu. Maka ia kelihatan kosong seperti tidak ada apa-apa dan menjadi kisah dongeng semata-mata.” ujar Nisah.

Setelah melihat dan mengkaji beberapa buah cerita lipur lara hasil transkripsi Winstedt, seperti Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Anggun Che Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Raja Muda, dan Hikayat Terung Pipit, maka Nisah mendapati bahawa elemen fiksyen sains Melayu mengandungi tiga unsur, iaitu aneh, novum (baharu) dan proto. Hal ini jelas membuktikan kehebatan penglipur lara yang berdaya kreatif menggunakan pandangan alam dan mampu berfikir di luar batas. Hasilnya juga membuktikan bahawa pemikiran masyarakat Melayu sangat kreatif kerana mampu menjana idea dengan begitu baik dan daya fikir orang Melayu sangat maju dan genius dari segi aspirasinya melangkaui zaman.

Bentuk-bentuk atau unsur-unsur sains dan teknologi yang terkandung dalam cerita lipur lara juga menggunakan kaedah komunikasi, alat kawalan minda berserta nujuman atau ramalan, hingga akhirnya dapat dipadankan istilah-istilah sains pada masa kini yang sebenarnya telah pun muncul pada zaman dahulu, meskipun ketika itu istilah ini belum wujud.

Konsep wayarles misalnya, sudah ada dalam cerita lipur lara Hikayat Parang Puting, iaitu kisah sejenis parang yang tiada hulu, akan mengikut cakap tuannya apabila diarahkan terbang dan menebas. Inilah konsep moden yang kita lihat pada hari ini tetapi telah pun digunakan oleh orang-orang pada zaman dahulu. Lantaran itu, ia bukanlah kisah dongeng. Inilah yang dikatakan sains fiksyen, iaitu bersifat aneh bagi dunia orang pada zaman ini tetapi tidak bagi orang-orang pada zaman tersebut. Hanya perkara ini bergantung pada cara kita membawa dan merelevankan cara pemikirannya sahaja.

“Rambutnya cantik bak ikal mayang dan hidungnya cantik bak seludang. Peribahasa ini digunakan pada zaman dahulu berasaskan pada pandangan alam yang wujud pada ketika itu. Generasi kini mungkin tidak faham akan perbandingan ini kerana mereka tidak pernah pun melihat bagaimana rupanya mayang dan seludang kelapa. Mereka tidak dapat membayangkan bagaimanakah rupa bentuk rambut yang ikal mayang. Namun barangkali apabila disebut rambut ikal seperti Maggi maka barulah mereka jelas dan faham maksud perbandingan itu kerana remaja kini tahu apa itu Maggi. Tahap ilmu sains pada ketika itu mungkin rendah tetapi mampu berfikir di luar batas dan mampu mencipta konsep,” ujar beliau.

Inilah yang dilakukan oleh Nisah dalam kajian sarjananya, iaitu mengubah cara pandang saintifik dan menganalisis simbol-simbol aneh dalam karya fiksyen sains Melayu. Pengamatan terhadap fiksyen sains Melayu bukan bergantung pada soal logik atau tidak, tetapi lebih terhadap persoalan konsep.

“Kita pernah mendengar cerita orang-orang hebat bersembahyang subuh di rumah dan di Mekah secara serentak. Ia normal dan tidak mustahil bagi orang-orang yang menguasai ilmu masa atau portal. Tetapi dilihat aneh bagi dunia kita pada zaman ini sedangkan pada suatu masa terkehadapan, ia mungkin menjadi relevan. Inilah bangsa Melayu yang sering tidak menyimpan kehebatan dari segi material, tetapi menyimpan kehebatan dari segi intelektual.”

Tonton pembentangan penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.