18 Ogos 2023, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Fadzil Yusof menulis tentang kepentingan menemui kembali jati diri yang makin terhakis dalam kalangan masyarakat kontemporari.

Penulis terfikir bahawa dalam situasi negara yang sangat rancak dengan keghairahan berpolitik dan mahu meraikan sambutan Hari Kemerdekaan, kita terlupa untuk melihat sudut yang agak penting dan agak meruncing sedikit mutakhir ini.

Sudah berlalu Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk enam negeri di Semenanjung dan keputusannya juga sudah tersurat, seperti yang disimpulkan oleh Perdana Menteri, “Ini adalah keputusan rakyat, selepas ini, kita kembali bekerja lebih kuat dan keras.” Dalam masa yang sama, kita sedang meraikan bulan kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan negara yang sudah masuk tahun ke-66, yang sudah tentu sangat bermakna dan harus disyukuri.

Setiap peristiwa yang dilalui dapat dipelajari. Cuma, pada sudut atau perspektif bagaimana yang dapat dilihat untuk menimbang pengajarannya? Penulis terfikir bahawa dalam situasi negara yang sangat rancak dengan keghairahan berpolitik dan mahu meraikan sambutan Hari Kemerdekaan, kita terlupa untuk melihat sudut yang agak penting dan agak meruncing sedikit mutakhir ini.

Seruan merdeka sangat signifikan untuk masa sekarang yang sesuai dengan musimnya, mengheret kita mengimbau sejarahnya yang beraneka warna itu. Sepertimana sekarang, program-program yang diadakan di sekolah-sekolah atau di jabatan-jabatan kerajaan, iaitu perasmian, aktiviti dan majlis penutupan bulan kemerdekaan begitu meriah berlangsung, dapat diikuti melalui media sosial. Di kaca televisyen pula, sering dihidangkan lagu-lagu berunsurkan patriotisme, sama ada yang lama atau yang baharu. Diri berasa megah dan bangga apabila dapat mendengar dan menghayati lagu-lagu tersebut. Malahan, diri berasa senang apabila menyaksikan bendera yang disayangi, Jalur Gemilang yang beraneka saiznya, dipasang dan dikibarkan oleh yang kanak-kanak hingga yang dewasa.

Sambutan Hari Kemerdekaan agak besar belanjanya, dan diharapkan membekaskan banyak erti kepada diri, sama ada kita menyedarinya atau tidak. Secara sambil lewa atau serius, diri perlu menerima bahawa kita masih bergelut dengan masalah jati diri yang melanda rakyat atau “bangsa Malaysia”, daripada peringkat individu kepada peringkat negara.

Senario baru-baru ini memaparkan, apabila keputusan PRK baru-baru ini diumumkan, riuh rendah suara para penyokong yang menyambutnya sebagai suatu tanda kegembiraan. Tidak kurang juga, ada yang berasa sedih, bungkam atau sekadar berasa cemas suam-suam kuku. Apa-apa pun, PRK kali ini banyak membekaskan makna, sekurang-kurangnya kepada parti yang dianggap beban dan begitu kritikal sekarang. Kertas keputusan bersama-sama analisis sudah tentu membuatkan pemimpin parti tersebut sedang memikirkan apakah langkah yang harus diambil selepas ini.

Namun begitu, daripada PRK kali ini, penulis tidak melihat dari sudut politik semata-mata. Sebenarnya, agak jelas dalam keputusan PRK yang lalu ini memberikan tanda kepada kita suatu hal yang agak penting dalam penentuan agenda kemajuan sebuah masyarakat, dan salah satunya ialah isu jati diri. Isu jati diri yang semakin tidak diendahkan oleh pihak wewenang, namun bisikan dan racaunya begitu ketara di lapisan bawahan, dan mungkin juga agak rumit perbincangannya dalam kalangan rakyat biasa.

Maka, isu jati diri sangat penting, tidak sekadar omongan dan catatan tidak rasmi. Kepentingan puak sendiri atau soal rasisme juga mungkin tampak ketara di sana sini. Namun begitu, sudut jati diri yang jelas kelihatan daripada aura keputusan PRK, memberikan makna yang signifikan untuk sastera.

Kebetulan pula, soal jati diri yang menjadi kerisauan mungkin sejajar secara tidak langsung dengan sambutan Hari Kemerdekaan, dan pilihan rakyat sudah jelas, sedikit memihak kepada isu penting. Justeru, kepentingan jati diri, yang tersirat sebalik keputusan sebenarnya harus ditanggapi secara cakna oleh pihak wewenang dan dapat dipanjangkan kepada perbincangan yang lebih rapi untuk rencana mendatang.

Untungnya, di negara ini, suasana begitu subur dengan penulisan karya baharu yang dihasilkan oleh penulis muda.

Timbul soalan yang agak sensasi, adakah sastera kita masih mahu mencari jati diri? Malahan, barangkali secara umum, kita memerlukan sedikit masa untuk berjalan dan mencari di manakah jati diri ini dapat dibentuk dengan begitu utuh dan kukuh. Hakikatnya, mencari identiti dan jati diri makin penting, terutamanya pada era globalisasi, seperti yang dibicarakan dalam beberapa jurnal sastera asing. Penulis-penulis mutakhir agak kurang melihat jati diri, yang sangat membantu takdir perjalanan sastera kerana hal ini merupakan semacam teras yang perlu ada sebalik setiap karya.

Barisan Sasterawan Negara sekarang, iaitu Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Baha Zain, Siti Zainon Ismail, Rahman Shaari, A. Samad Said, Nordin Hasaan, dan Zurinah Hassan, merupakan antara pengarang yang kerap mengangkat isu identiti dan jati diri dalam karya mereka, meskipun tidak jelas disebutkan. Bayangan atau isyarat persoalan ini ditemukan dalam karya mereka, lantaran lewat penulisan saja mesej sebegini dapat dihantar. Justeru, kita tidak pelik misalnya, karya Naratif Ogonshoto yang berlatarkan sebuah pulau di negara Jepun, namun isu-isu yang dibangkitkan amat dekat dengan sosiopolitik tempatan. Muhammad Haji Salleh turut menggelisahkan soal bangsanya, walaupun menulis Salju Shibuya, berlatarkan kembaranya di Jepun pada masa itu. Atau Zurinah Hassan, dengan karya Salasilah, atau dalam sebuah novel Pulau Renik Ungu oleh Siti Zainon Ismail.

Mencari tapak kukuh identiti dan jati diri menjadi begitu penting hari ini, baik untuk penulis yang baru menulis atau yang telah menulis lebih daripada dua dekad. Hakikatnya, mesej yang ketara tampaknya ini diperlukan untuk dijadikan titik tolak pada kemajuan sastera yang lebih matang dan tidak lagi bertaut pada citra-citra nostalgia yang barangkali tidak berapa dapat membawa perubahan. Untungnya, di negara ini, suasana begitu subur dengan penulisan karya baharu yang dihasilkan oleh penulis muda. Masing-masing menawarkan warna dan gaya tersendiri daripada sajak kepada novel. Kesemuanya satu petanda pada positifnya produktiviti karya sastera yang tampak semakin meriah untuk dekad ini, walaupun masih dibayangi oleh kondisi ekonomi yang sedikit suram.

Begitu besar pengajaran jati diri yang menonjol lewat keputusan undi PRK lalu, tidak saja membekaskan rasa mencukupi atau sudah selesa dengan tahap sastera yang sudah ada. Sekiranya tidak diberikan perhatian, sastera kita juga mungkin menghadapi masalah jati diri yang agak terlupa. Dan suatu masa dulu, para pemikir dan ahli bahasa kita begitu resah dengan soal bahasa mendapat tempat yang kedua dalam beberapa hal. Namun begitu, mungkin tidak sekadar soal bahasa yang makin merosot, kerana karya sastera yang baik semakin dicari dan diintai tampaknya pada era gergasi sastera tempatan semakin berlalu. Maka kita memerlukan lapisan generasi yang dapat menggantikannya, demi kerancakan sastera yang hidup.

Sastera tidak saja menekankan suatu ucapan yang berseni, namun yang menarik lagi sastera ialah wakil dan suara masyarakat. Mencari-cari sastera yang patriotik, barangkali menjadi keutamaan pihak wewenang kini, namun secara dasarnya, yang lebih serius ialah usaha mencari sastera yang berjati diri, kerana sastera bentuk begini saja yang dapat mengekalkan sastera tempatan dan menjadi cermin bagi eranya, sebagai tatapan renungan pada masa akan datang.

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney   

_________________________

Mohd Fadzil Yusof merupakan seorang penulis bebas yang menulis dalam genre puisi, rencana dan cerpen. Karyanya pernah disiarkan dalam Berita Harian, Mingguan Wasilah, Mingguan Utusan Melayu, Majalah Nur, Siasah, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Harian Metro, dan Dewan Sastera. Sudah menghasilkan novel dan kumpulan cerpen selain puisi, termasuk novel Berahi Sukma (ITBM, 2015), Nuansa Cita (ITBM, 2013) dan terkini, kumpulan puisi Buku Kenangan Kala Permukiman (DBP, 2019).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.