31 Ogos 2022, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dokumentari “Pejuang Mata Pena” yang diterbitkan bersempena Hari Kemerdekaan ditayangkan pada 31 Ogos ini. Dokumentari tersebut memerihalkan pelibatan dan peranan pengarang dalam kerja penulisan bagi menguatkan daya pemikiran bangsa dan menanam semangat kemerdekaan. Menerusi rancangan “Selamat Pagi Malaysia” di RTM baru-baru ini, SN Anwar Ridhwan bersama-sama Faizal Hilmi Yusof dan Wan Nor Azriq dijemput untuk membicarakan inti pati dokumentari tersebut.

Melalui rancangan itu Anwar Ridhwan telah menggunakan istilah “digital-native” merujuk kepada generasi sekarang yang menggunakan teknologi seluruhnya dalam kehidupan. Susulan itu Wan Nor Azriq menegaskan bahawa zaman memang telah berubah. Dahulunya media penerbitan bercetak yang menjadi bacaan utama, tetapi kini masyarakat telah bergerak seiring dan hampir terkejar-kejar dengan media berbentuk digital. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa dahulunya perjuangan kemerdekaan tertumpu kepada pembebasan negara daripada penjajah, tetapi sekarang konteks itu meliputi pengisian kemerdekaan daripada pelbagai aspek kehidupan seperti kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan. Ujarnya,

Perubahan atau perkembangan itu dilalui dalam tempoh yang lama serta melibatkan pelbagai generasi. Setiap generasi pula menempuh perjuangan masing-masing yang unik dan pelbagai.

Beliau mengambil peluang melalui penampilannya dalam rancangan RTM itu untuk menerangkan peranan dokumentari, konteks penulisan dengan kemerdekaan serta makna kemerdekaan yang selari dengan zaman.

Ujarnya, penerbitan dokumentari sebegini penting untuk menceritakan pengetahuan dan perspektif yang kompleks.

Sebagai contoh, dokumentari membolehkan kita melihat bagaimana reaksi dan kenyataan oleh pelbagai pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk mendalamkan lagi pemahaman kita terhadap sesuatu isu. Dengan dokumentari juga penelitian maklumat terhadap sesuatu isu akan dapat dihadam penonton melalui gabungan disiplin seni seperti pemaparan gambar, naratif penceritaan, skor muzik dan pelbagai lagi.

Seterusnya, persoalan kemerdekaan dalam konteks zaman sekarang turut disentuh oleh beliau. Menurutnya, dokumentari “Pejuang Mata Pena” ini cuba untuk menyampaikan juga bahawa konsep kemerdekaan tidak hanya terbatas kepada sesebuah peristiwa sejarah atau satu tempoh khusus sahaja. Jelasnya,

Semangat kemerdekaan berlaku pada banyak peringkat, dan akan sentiasa berterusan dan berkobar sepanjang zaman sama ada kemerdekaan itu diletakkan dalam konteks merdeka dalam berfikir, merdeka untuk melontarkan suara, atau merdeka untuk bercakap mewakili komuniti masing-masing tanpa ada rasa takut atau dikongkong. Itulah erti kemerdekaan yang perlu diterokai oleh masyarakat.

Pengarang D.U.B.L.I.N dan Mana Dadu Darjeeling itu percaya bahawa melalui dokumentari ini, mesej dan makna semangat kemerdekaan yang luas itu boleh dicapai oleh setiap lapisan masyarakat. Namun yang pentingnya, lebih-lebih lagi buat generasi Malaysia yang lahir era pascakemerdekaan, beliau menuturkan bahawa semangat merdeka itu tidak harus padam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.