Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSalman Sulaiman sanggup mengongsi catatan rahsianya tentang impiannya untuk mendekati tiga orang pengarang dalam ruang dan kewujudan yang berbeza.
Keinginan itu datang tiba-tiba, selepas aku mendengar dari mulutnya sendiri ketika kami bertemu dalam satu program di Kota Bharu …
Sebetulnya ada keinginanku melibatkan pengarang tanah air kita yang menjadi rahsia sendiri sejak bertahun-tahun, hinggalah aku duduk menaip tulisan ini. Duduk diam-diam, bertenang, aku ingin menceritakannya sekarang.
Sebenarnya, seminggu sebelum Abang Rahimidin rebah di rumahnya dan dimasukkan ke wad pada tahun 2015 yang akhirnya membawa kepada pengakhiran hayatnya; aku terfikir untuk ikut Abang Rahimidin bermalam di rumahnya di Bechah Keranji, Peringat, Kota Bharu. Aku ingin tidur di Bechah Keranji, melihat kebun dan tanam-tanaman di sekeliling rumahnya. Tanam tanaman yang berbagai jenis itu, seperti yang diceritakannya dalam sajak-sajaknya – mawar, cempaka, kunyit, halia, lengkuas, dan peria.
Keinginan itu datang tiba-tiba, selepas aku mendengar dari mulutnya sendiri ketika kami bertemu dalam satu program di Kota Bharu kalau tidak silap, bahawa dia kerap balik ke Bechah Keranji, rumah ibunya di kampung, untuk memikat burung. Ya, aku ingin ikut dia pergi memikat burung. Sangat menarik suasana memikat burung di kampung, itulah yang aku bayangkan. Begitulah rancanganku dalam kepala.
Masih jelas kuingat apa yang kubayangkan pada tahun 2015 itu. Aku ingin duduk bersama-samanya di beranda luar rumahnya di kampung – di atas jemuran, atau di atas gelegar menghadap halaman, melihat dia mencipta sajak-sajaknya secara langsung di depan mataku. Aku ingin benar-benar menghayati saat itu. Aku ingin merasai kehidupan dan sekali gus proses kepengarangan seorang penyair yang kukagumi sebenarnya – Rahimidin Zahari. Kuingat juga, satu lagi sebab yang menerbitkan ilham di fikiran untuk aku masuk ke dalam kehidupan Abang Rahimidin ialah dia beberapa kali ada mengirim sajak yang ditulisnya di kampung ke akhbar Berita Harian. Di bawah sajak itu jelas ditulis, selepas namanya, tertera kampung Bechah Keranji. Membaca sajak-sajaknya yang bercerita kisah di kampung itulah yang menjadi salah satu punca membuahnya ilham untuk aku mengikutinya ke kampung halamannya menyelusup masuk ke dalam kehidupan kepenyairannya. Namun sayang, hasratku itu tak sempat kusampaikan kepada yang empunya badan, kerana dia telah terlebih dahulu dipanggil mengadap Tuhan.
Pada masa yang sama, selain Rahimidin, seorang lagi penulis yang kubayangkan dan ingin sangat masuk ke dalam kehidupannya sebagai pengarang ialah Wan Nor Azriq. Sasterawan muda Kedah yang menulis cerita-cerita kompleks ini juga ingin kuhayati kehidupannya, sebetulnya masuk ke dalam proses kepengarangannya. Aku ingin sangat ikut dia berjalan kaki, sejauh yang mungkin, ke mana saja. Terserahlah ke mana saja dia ingin pergi, aku akan ikut. Keinginan ini terbenih selepas aku membaca novelnya D.U.B.L.I.N. Hal ini kerana novel tersebut bercerita tentang kisah para pejalan kaki, pengarang yang berjalan kaki. Salah seorang pengarang yang berjalan kaki itu ialah Azriq sendiri, kerana di lipatan kulit novel itu jelas ditulis kerjanya sebagai pejalan kaki sepenuh masa. Unik dan sangat berbeza di situ. Adakah di atas muka bumi ini orang yang dibayar untuk bekerja sebagai pejalan kaki sepenuh masa?
Sebab keunikannya itulah yang membuatkan aku ingin sangat ikut dia berjalan kaki. Kerana “berjalan kaki” itu begitu ditekankan dalam cerita yang ditulisnya dan ditulis pula dalam biodatanya sebagai pekerjaan sepenuh masa. Hal ini menarik, sangat menarik. Tentu banyak ilham karyanya juga didapati hasil daripada pengalaman berjalan kaki itu. Makin lama kupendamkan hasrat ini, sampai sekarang, khayalanku merayau makin jauh lagi. Aku mahu ajak Azriq bawa aku ke rumah Doktor Salgari, menyelongkar artifak purba, dan bertemu Soleha; dan merungkai misteri Doktor Salgari itu sendiri. Ingin sekali agar dia temukan aku dengan Chairil Gibran dan Poe Mahadi di Alor Setar, bukan di Kuala Lumpur.
Namun sayangnya, setelah hampir enam tahun kupendamkan hasrat itu, sampai kini tidak pernah kunyatakan keinginan tersebut kepadanya. Aku segan. Mahukah dia melayan permintaanku untuk masuk ke dalam kehidupan peribadinya sebagai pengarang? Kalau pun dibacanya tulisanku ini sekarang, hal ini sudah terlambat untuk ditunaikan kerana dunia kini dilanda wabak yang menjadi pandemik yang mengurung segalanya – termasuk aku, pencipta karya sastera yang ingin mencari pengalaman dalam kehidupan orang lain.
Manakala Kawabata pula hidup dalam khayalanku sahaja, imaginasiku semata-mata. Kubayangkan aku berjalan kaki mengekorinya dari belakang, perlahan, dengan gaya dan sopan orang Jepun. Dia memakai baju kebangsaan Jepun, menuju pulang ke rumahnya di perbukitan di desa salji. Ingin kuikutinya dari siang ke malam, melihatnya menghayati bulan menerbitkan ilham. Ingin kutulis sajak-sajakku bersama-sama Kawabata, biar sajak-sajakku itu jadi sehalus ungkapan Kawabata dalam karangan-karangan agungnya. Ingin benar kulihat cara dia mencipta, gayanya melayani ilham dan gelagatnya memerhati alam. Aku ingin menghirup teh panas bersama-sama Kawabata sambil menyaksikan indahnya kilauan salji yang dibias sinaran cahaya bulan, pada malam sepi yang mencengkam di daerah pergunungan.
Kawabata, wajahnya yang tajam cengkung itu kuhayati. Yang juga ada bersama-sama kami menekuni alam barangkali Kikuji, atau mungkin Shimamura. Atau kedua-duanya sekali. Bertemu Yasunari Kawabata hanya mampu kubayangkan, ini kerana dia telah lama mati, lebih ironis lagi – mati bunuh diri dengan menghisap gas beracun.
Kuala Lumpur
Mei – Jun 2021
_________________________
Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.