Diterbitkan pada 3 Jun 2025, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman, dengan berbekalkan anekdot dan puisi, mengenang pemergian penyair yang cukup dekat dengan jiwanya, Allahyarham Rahimidin Zahari.

Bermula dari situ, saya berkali-kali menyampaikan sajak Rahimidin dalam pelbagai program di banyak tempat.

Seingat saya, perkenalan pertama kami berlangsung pada awal tahun 2002, semasa satu ekspo di Padang Perdana, Kota Bharu. Ketika itu, malam. Ada persembahan Ramli Sarip. Rahimidin kebetulan bertemu saya pada malam tersebut. Dia beli buku pertama saya, Pemain Bahasa di situ. Rahimidin beri RM10, katanya, “Tak payah pulangkan bakinya.” Sebab jelas tertera harga pada buku tersebut RM6. Jadi, saya dapat hadiah RM4 daripadanya pada malam itu.

Rahimidin Zahari

Saya pada masa itu masih naif, mentah dan sangat baru sebagai penulis muda. Dapat bertemu dengannya sudah sangat mengujakan, tambah lagi dia membeli buku pertama saya dengan bayaran lebih pula. Sebelumnya, kami sudah pernah berutus surat. Sekali. Saya ambil maklumat dan alamatnya dalam majalah Dewan Sastera di perpustakaan sekolah yang menyiarkan laporan khas kemenangan besarnya untuk buku Sekepal Tanah. Beliau balas surat itu ringkas sahaja dan dikepilkan satu salinan tulisannya dalam majalah Dewan Sastera berupa proses kreatifnya sebagai penyair muda berbakat besar yang baru saja menggondol Hadiah Utama Anugerah Sastera Darul Iman III (ASDI III) (Puisi) 1995.

Saya masih ingat esei proses kreatif tersebut disertakan dengan sebuah sajaknya yang sangat saya suka – “Aku di Perkebunan Akhir” (Matahari Berdoa, 1998). Begitu menyentuh dan kagum saya membaca sajak tersebut pada waktu itu.

Elok saya perturunkan keseluruhan sajak tersebut di sini agar dapat pembaca juga mendalami emosi dan perasaan saya pada masa itu.

Sajak ini ditulisnya pada 30 Ramadan 1406 (setepatnya pada akhir bulan puasa tahun 1985 ketika usianya baru 17 tahun) di Tanah Perkuburan Tok Canggah, tanah perkuburan yang akhirnya menjadi tempat dia disemadikan buat selama-lamanya pada Mei 2015. Tanah perkuburan yang saya kunjungi bersama Lutfi Ishak dan M. Arif akhir tahun lalu. Sajak yang disiarkan oleh Dewan Sastera pada keluaran Januari 1997 ini ditulis dengan jelas bahawa kaum keluarganya disemadikan di sini dan dia sendiri pun akan dibawa menuju ke sini setelah mati nanti. Hayati sendiri sajak tersebut untuk benar-benar memahami apa yang saya maksudkan:

……….aku di perkebunan akhir – tempat seluruh margaku
……….meninggalkan nama dan sebaris ingat

……….setiap jejak akan sampai ke halaman
……….setiap tapak akan terhakis jua oleh hujan

……….barangkali ilalang lebih mengerti akan dengus angin
……….barangkali nisan lebih mengerti akan sifat kejadian

……….sepertikan makam menanti pasangan
……….sepertikan wakaf menanti kunjungan

……….kubaca usia ia meluncur masa seperti maghrib menggelapkan
………………………tabir hari
……….kubaca petanda – ia telah tumbuh dirambutku sendiri

……….dengan kunjungan ini, kukenal tanah asalku
……….dengan kunjungan ini, kukenal arah tujuku.

Sajak yang ditulis 30 tahun sebelum kematiannya ini saya baca berkali-kali. Ketika mula-mula membacanya pada waktu itu saya sangat teruja. Sajak ini sangat indah bagi saya pada masa tersebut. Sangat sedap dan mengagumkan sebagai sebuah sajak Islam yang begitu indah dan menawan, menceritakan hakikat kematian yang bakal ditempuh oleh semua insan. Lebih-lebih lagi sebagai anak muda yang baru saja menjejakkan kaki ke dunia puisi. Sangat memikat dan sungguh mengesankan apabila membaca proses kreatif Rahimidin bersekali dengan sajak yang begitu syahdu dan indah ini.

Saya sempat sama-sama sebagai pelajar universiti dengan Rahimidin semasa di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, pada tahun 2003. Ketika itu, saya baru masuk sebagai pelajar junior sedangkan dia lebih awal mendahului sebagai abang junior.

Ketika saya mula masuk mendaftar di USM pada pertengahan 2003, dia sudah berada di semester akhir pada waktu tersebut. Jadi, kami sempat berselisih di universiti dalam taman itu hanya untuk satu semester sahaja. Saya di semester satu, dan dia di semester akhir. Dia pernah ajak saya pergi minum di Lebuh Kuliah ketika kebetulan kami berjumpa di situ. Baik dan bagusnya Rahimidin, sebagai abang senior yang sudah arif sangat dengan selok-belok di universiti tersebut; beliau bagaikan memimpin saya, memberikan tunjuk ajar dan mahu melorongkan jalan.

Rahimidin perkenalkan saya dengan Prof. Muhammad Haji Salleh. Dia bawa saya pergi jumpa Prof. Muhammad di biliknya di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Saya teruja campur berdebar. Dia perkenalkan saya kepada Prof. Muhammad dan memang saya gugup ketika itu. Maklum saja budak baru kenal alam universiti terus dibawa jumpa seorang profesor yang juga sarjana sastera terkemuka. Sasterawan Negara pula.

Setahun setelah habis saja dari USM, saya ikut serta satu bengkel Penulisan Kreatif selama tiga hari dua malam pada tahun 2007 anjuran Kementerian Pelancongan di sebuah resort terkenal di Cherating. Saya tidak lepaskan peluang sebagai peserta setelah mendapat tahu bahawa Rahimidin, S.M. Zakir dan Wak Khalid Salleh pembimbingnya. Semasa program itulah, saya ingat benar pernah sekali, sehabis bengkel, Rahimidin jemput saya bersama-sama Iwan Wakaf Bharu (Rizuan Abdul Kadir) mengunjungi biliknya di resort berkenaan untuk bersantai-santai dan berbual. Saya rasakan diri ini sebagai seorang adik kepada seorang abang yang baik.

Sajaknya yang sangat dekat dengan jiwa saya, “Tok Janggut”, telah saya sampaikan entah berapa kali dan di banyak tempat yang berbeza – dalam pertandingan deklamasi dan juga persembahan biasa. Hinggakan sajak “Tok Janggut” itu sudah seperti mengalir dalam jiwa raga saya kerana telah banyak kali saya ulang menghafalnya setiap kali ingin masuk pertandingan dan buat persembahan. Juga, sebenarnya, sudah lebih 20 tahun saya ulang mendeklamasikan sajak itu.

Rahimidin pernah menggunakan porfail dirinya sebagai kulit dalam sebuah kumpulan puisinya.

Saya pertama kali mendeklamasikan sajak “Tok Janggut” semasa menyertai satu pertandingan deklamasi sajak secara berkumpulan sekitar tahun 2005/2006 ketika masih di USM. Allahyarhamah Dr. Rahimah A. Hamid yang jadi pembimbing kami pada waktu tersebut. Salah seorang juri pertandingan ialah Puzi Hadi. Walaupun kumpulan kami tidak menang, namun kenangan indah bersama-sama sajak arwah memang tidak pernah saya lupa.

Bermula dari situ, saya berkali-kali menyampaikan sajak Rahimidin dalam pelbagai program di banyak tempat. Sebab itulah saya katakan, sajaknya seperti sudah mengalir dalam darah dan jiwa saya. Tambahan lagi, latar kehidupan dan kampung halaman Tok Janggut sebagai tokoh penting dalam sajak tersebut dekat dengan rumah saya di Machang. Kampung Jeram di Pasir Puteh cuma sekitar 25 minit sahaja perjalanan dengan kereta dari rumah dan kampung halaman tempat saya dibesarkan. Itu yang lebih membuatkan saya merasakan watak Tok Janggut itu sendiri sangat dekat dengan jiwa saya.

Namun ingatan terhadapnya tidak akan pernah hilang dalam diri kami, para penulis generasi baharu yang banyak belajar, serta membesar dan menjadi matang dengan sajak-sajaknya …

Satu ketika pada tahun 2014, sebelum berlangsungnya Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) yang diadakan di Jitra pada masa itu, Lutfi selaku urus setia menefon agar saya mendeklamasikan sebuah sajak pada program berkenaan. Maka saya pun tidak teragak-agak mencadangkan sajak “Tok Janggut” untuk dideklamasikan nanti. Lutfi setuju, dan kebetulan Rahimidin sedang ada bersama-samanya.

Arwah juga bersetuju untuk saya deklamasikan sajaknya itu semasa SKPM nanti. Saya pun berlatih dan sangat berkobar-kobar untuk menyampaikan sajak tersebut untuk pertama kalinya di hadapan penulisnya sendiri. Kerana sebelum ini, Rahimidin tidak pernah mendengar saya mendeklamasikan sajaknya yang begitu popular dalam kalangan deklamator itu.

Namun saya kecewa juga akhirnya, kerana Rahimidin tidak dapat hadir di Jitra semasa SKPM berlangsung. Jadi, tidak dapat jugalah saya nak sampaikan sajak “Tok Janggut” itu di hadapan penulisnya sendiri. Sebuah cita-cita yang tidak kesampaian untuk saya lunaskan sepanjang usianya.

Saya sebenarnya teringin sangat hendak lihat dan dengar reaksi arwah terhadap deklamasi saya menggunakan sajak tersebut. Bagus atau tidak. Menjadi atau kurang memuaskan. Tercapai atau tidak maksud sebenar penulisnya melalui persembahan saya itu? Semua itu saya ingin sekali dengar dari sudut pandang penulisnya sendiri, Rahimidin Zahari. Namun apakan daya, itulah takdir yang perlu saya terima dan sudah pun tertulis lama dalam buku-Nya.

Malah, selepas Rahimidin meninggal pun saya masih mendeklamasikan sajak “Tok Janggut”nya itu, iaitu dalam satu program sastera di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, pada tahun 2017 ketika arwah sudah tidak dapat mendengar atau melihatnya lagi. Saya simpan video rakaman persembahan di KIAS itu hingga ke hari ini, hanya untuk tatapan sendiri – kerana Rahimidin sebagai penulis sajak itu tidak akan dapat menatapnya lagi sampai bila-bila.

Masih jelas dalam ingatan, semasa saya mengirim mesej (SMS) kepadanya untuk membeli bukunya yang baru diterbitkan oleh Sindiket Soljah berjudul Perahu Fansuri. Saya minta hendak beli beberapa belas buah buku itu untuk dijual. Namun balasnya, dia tidak memiliki naskhah yang banyak, hanya ada sebuah sahaja sebagai hadiah. Jadi, saya pun mintalah dia tuliskan sesuatu seperti autograf istimewa untuk saya pada buku yang mahu dihadiahkan itu. Namun sayangnya apabila saya terima buku Perahu Fansuri yang dia poskan; hanya kosong – langsung tiada apa-apa tulisan yang dicoretkan. Malah tandatangannya juga tiada. Apabila saya mesej semula bertanya. “Tak tahu nak tulis apa sebenarnya,” jawabnya.

Sebenarnya, saya tak pernah mohon (request) untuk jadi rakan (friend) Facebook arwah semasa hayatnya. Kami tak pernah menjadi rakan di Facebook sampailah ke hari kematiannya.

Entah kenapa, saya punya rasa segan yang amat tinggi kepada arwah hinggakan jadi demikian malu untuk meminta menjadi rakan Facebooknya.

Semua kenangan itu jauh, amat jauh. Malah akan makin jauh pergi, sehari demi sehari. Namun ingatan terhadapnya tidak akan pernah hilang dalam diri kami, para penulis generasi baharu yang banyak belajar, serta membesar dan menjadi matang dengan sajak-sajaknya. Karya-karyanya tetap akan saya baca sampai bila-bila.

Sebuah coretan tandatangan arwah pada tahun 2009.

Banyak lagi sebenarnya kenangan bersama-sama Allahyarham Rahimidin Zahari semasa hayatnya. Namun biarlah beberapa kenangan indah itu saya simpan sebahagiannya untuk diabadikan kemas kejap dalam memori peribadi juga, tanpa perlu diceritakan semua.

Apabila mengingatkan hubungan guru murid antara Rosli dengan Rahimidin, dan mengenang Rahimidin yang meninggal pada usia 47 tahun, saya segera teringat akan gurauan Abdul Hadi Yusoff kepada Rosli K. Matari. Katanya, “Tak nak aku jadi anak murid dia (merujuk Rosli), nanti cepat mati.” Di hadapan saya dan beberapa orang penulis lain, Abdul Hadi sengaja mengusik begitu.

Kita pernah mendengar bahawa masyarakat Melayu takut benar hendak menyebut tentang kematian sendiri, bimbang akan pendek umur. Risau ajal segera datang menjemput kalau selalu disebut-sebut. Namun Rahimidin menyebut tentang ajalnya sendiri dengan sangat jelas dalam sajak “Kalau Aku Berangkat” (juga dimuatkan dalam buku Matahari Berdoa) yang telah ditulisnya 26 tahun lebih awal sebelum dia meninggal dunia.

Sajak ini dihasilkan oleh Rahimidin di Kota Bharu pada bulan Disember 1989. Walaupun mungkin ramai juga yang mempercayai demikian, iaitu takut untuk menyebut perihal kematian, ternyata Rahimidin tidaklah meninggal dunia serta-merta sejurus sajaknya itu mendapat siaran di akhbar Berita Minggu pada 1 Mac 1998. Tetapi Allah menunda kematian arwah berbelas tahun lamanya, sehinggalah menjelang 14 Mei 2015, barulah Izrail datang menjemputnya ke negeri jauh.

Sebagai mengakhiri catatan istimewa ini yang sengaja mahu mengenang 10 tahun keberangkatan arwah ke barzakh, biarlah saya tinggalkan kalian dengan sajak tersebut yang sangat mengharu hati. Sajak Rahimidin yang meramalkan pemergiannya sendiri ke alam abadi:

……….kalau aku berangkat dahulu
……….seperti Amir atau Chairil
……….dalam muda usia
……….ditinggalnya haruman sajak
……….dan ia ghaib ke tanah bonda
……….aku pun dengan jasad yang sakit
……….seakan tertunda ingin berangkat.

……….kalau benar aku dijemput dahulu
……….jangan kau kesalkan perpisahan
……….kerana ia telah ditetapkan.

……….keluarga, sahabat dan kekasih
……….tak perlulah anda bersedih:
……….kalau Amir meninggalkan Tahura
……….kalau Chairil meninggalkan Evawani
……….aku seorang biarlah jauh dari kenangan.

……….dan untuk saat akhirku ini
……….aku cuma ingin dekat dengan-Mu,
……….Sayang!

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi