Oleh Wan Nor Azriq
18 Januari 2023, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wan Nor Azriq mendedahkan masalah ekosistem sastera kita yang masih lagi berpusar dalam kincir angin yang sama.

Tiada desakan untuk membentuk identiti sastera Malaysia yang sebenar. Ketika Malaysia sedang beralih kepada pentadbiran kerajaan perpaduan, komuniti sastera masih bergerak di atas pulau yang terpisah-pisah. Tiada dialog dan pertukaran idea antara kelompok sastera Melayu, sastera Inggeris, sastera Tamil, dan sastera Mahua.

Tiada desakan dalam sastera Malaysia, sama ada dari segi kesatuan mahupun perjuangan penulisan. Kita boleh melihatnya dari lapisan paling tinggi hingga ke peringkat paling bawah. Persatuan penulis menjadi kubang menternak sarjana, birokrat, dan orang tua tidak berbakat. Persatuan negeri pula sibuk menobatkan ketua dan ahli masing-masing sebagai tokoh sasterawan. Genre novel masih terkandas di atas kepulauan Ogonshoto. Cerpenis muda menguncikan diri di rumah dan enggan bersuara, sementara para penyair lebih sibuk mengisi pentas persembahan berbanding meneroka bahasa baharu.

Tiada desakan untuk membentuk identiti sastera Malaysia yang sebenar. Ketika Malaysia sedang beralih kepada pentadbiran kerajaan perpaduan, komuniti sastera masih bergerak di atas pulau yang terpisah-pisah. Tiada dialog dan pertukaran idea antara kelompok sastera Melayu, sastera Inggeris, sastera Tamil, dan sastera Mahua. Itu kita belum mengambil kira karya-karya tentang Malaysia yang ditulis oleh pengarang luar negara. Sebagai contoh, novel Beyond the Sea (Kadalukku Appaal) oleh pengarang Tamil Nadu bernama P. Singaram. Teks ini merupakan rakaman penting mengenai budaya golongan Ceti dan suasana perang ketika awal abad ke-20 di Pulau Pinang. Kita beruntung buku ini dicetak semula oleh Areca Books. Bayangkan 50 tahun akan datang, adakah ia akan masih dibaca, atau hanya menjadi bahan kajian buat komuniti sastera Tamil?

Tiada desakan untuk menghadapi kesan perubahan iklim. Bencana alam berlaku sepanjang masa di negara ini, namun kita lebih cenderung menjadikannya isu politik berbanding melihat kebinasaan alam yang kita telah lakukan. Penyair menabur metafora pada bunga, daun, hujan, dan laut; namun mereka tidak mendengar derita nurani alam yang bisu. Latiff Mohidin sudah lama meramal dalam puisinya, kita sahaja yang enggan mendengar. Barangkali para penyair kita masih larut dalam buana imaginasi A. Samad Said: “Kepada setiap penyair gundah daun gugur pun sentiasa indah.”

Tetapi di mana letaknya keindahan pada daun yang sedang terbakar?

Hakikat sebenar ialah semua objek dan perkara di dunia ini saling berkaitan, termasuklah penggunaan telefon pintar. Jejak karbon penggunaan telefon pintar dunia dianggarkan sebanyak 47kg (CO2) sehari. Pandemik COVID-19 telah membuka mata pentadbir, pelabur, dan ahli perniagaan bahawa bencana berskala global mampu memberi kesan jangka panjang yang parah, terutama sekali kepada sektor ekonomi. Maka pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) kini menjadi keutamaan syarikat korporat dan perbankan, termasuklah Malaysia. Namun kesedaran terhadap ESG di negara ini masih rendah. Rangkaian Pembangunan Lestari (SDSN) telah meletakkan Malaysia pada kedudukan 65 daripada 193 pada Indeks SDG 2021.

ESG bukan lagi adicita golongan liberal berpendidikan Oxford dan Yale. ESG kini merupakan medan wacana masyarakat global. Sekiranya penulis terus-menerus berkarya untuk membina jambatan emas ke Gunung Ledang, maka mereka akan ketinggalan dan tidak berpijak di bumi sendiri yang sedang dimakan bencana.

Tiada desakan untuk mencipta dan melakukan inovasi dalam penulisan. Saya pernah melawat tingkat lima sebuah menara korporat yang dikosongkan semata-mata untuk mengumpul barang buangan dan kitar semula. Terdapat timbunan kerusi sandar, bangku kayu, papan kekunci, almari, sofa, bungkusan kertas A4, mesin fotostat, banting, pasu bunga, dan ratusan jenis fail yang boleh mengisi rak sebuah perpustakaan, dan di celah barang-barang terbuang inilah pekerja berbangsa Indonesia dan Nepal melepaskan lelah sambil menghisap rokok dan menyeduh kopi panas.

Kekosongan saya rasa pada hari itu mengingatkan saya pada karya Édouard Levé dan Bohumil Hrabal, tetapi itu tulisan dalam bahasa asing. Kenapa saya tidak boleh marah, menangis, dan merawat luka melalui bahasa saya sendiri? Kerana belum ada orang menulisnya dalam bahasa saya sendiri. Belum ada penyair dan novelis yang berminat untuk mencipta pengucapan baharu yang menggambarkan hubungan asing antara manusia, ruang, objek, dan alam. Kita hanya fikir tentang konflik hidup. Kita hanya terhibur dengan drama dan “air mata berpelukan”. Kita hanya melihat dunia sebagai seorang manusia yang sentiasa menyesal dan takut melakukan dosa.

Édouard Levé (1965-2007).
Bohumil Hrabal (1914-1997).

Di Indonesia, pernah pada suatu masa penyair muda yang menulis ikut gaya Afrizal Malna dilabel sebagai Afrizalian. Alasannya kerana mereka memasukkan gelanggang bola keranjang, bantal, mikrofon, peti ais, dan jentolak ke dalam puisi mereka. Tetapi itulah realiti masyarakat kota Jakarta pada penghujung era Orde Baru (malah sekarang) sehingga penyair perlu mengimport benda ke dalam kata-kata. Itu yang saya ingin lihat dalam puisi Malaysia. Bukannya lebih ramai Afrizalian (walaupun bagus juga kalau ada yang berani pergi ke arah itu), tetapi keberanian untuk mengimport kata-kata baharu dan semasa ke dalam puisi. Bukannya perah hujan, bulan, dan bintang sehingga berdarah air mata.

Renung-renungkanlah pendapat Afrizal tentang benda:

Nah, dulu saya menggunakan banyak benda, kerana menurut saya benda-benda itu jauh lebih berbicara daripada kata-kata. Ia jauh lebih punya biografi daripada kata-kata.

Justeru, kita sampai ke desakan paling penting iaitu desakan untuk merawat. Lupakan sastera untuk masyarakat, kerana ada banyak perkara yang lebih penting dan mendesak daripada masalah dalaman masyarakat kita. Yang mengejar kuasa akan terus mengejar kuasa, yang mengejar harta akan terus mengejar harta, dan yang mengejar clout akan terus mengejar clout. Realiti ini akan terus berputar, tidak kira siapa atau bangsa mana yang memerintah negara. Kalau penulis pun terikut-ikut dan taasub dengan permainan roda itu, maka mereka tanpa sedar akan membentuk sikap curiga dan waswas terhadap semua benda, sepertimana yang berlaku dalam dunia media sosial.

Bagi setiap seribu pembenci Syamsul Yusuf, pasti ada dua ribu lagi yang ikut memujanya. Tiada kebenaran tuntas. Sesiapa boleh menjadi penegak keadilan dan sesiapa boleh menjadi penyebar berita palsu. Warga maya tidak dapat membezakan kebenaran dan fiksyen apabila setiap saat mereka lemas dalam arus data dan berita sohor kini. Maka, di saat manusia menjadi semakin skeptik dan sinis, adakah seni dan sastera harus ikut menambah cuka kebencian? Belum cukup lagikah drama kahwin paksa di TV3 dan pertengkaran pasangan LGBT di Netflix sehingga watak-watak dalam novel pun kita ingin meraung dan minta perhatian?

Kita sudah melihat dalam keputusan pilihan raya lalu, apabila berlakunya korupsi dan penyalahgunaan kuasa, masyarakat akan bertindak untuk mengubah kerajaan. Masyarakat tidak menunggu sastera untuk mula melawan. Puisi bukan peluru mahupun kertas undi. Cerpen tentang ayam berwajah Hang Tuah tidak akan tolong menurunkan harga ayam di pasaran.

Namun sastera yang terindah sentiasa merawat kedukaan dalam diri manusia. Kedukaan memusnahkan alam, kedukaan berbelanja secara melampau, kedukaan terhadap persekitaran tempat tinggal, kedukaan terhadap keluarga, dan kedukaan kerana merosakkan tubuh badan sendiri. Kedukaan menghadapi kebenaran yang pasti berlaku iaitu kematian. Bak kata ahli falsafah Yunani, Epicurus:

Manusia boleh mendapatkan perlindungan untuk semua benda di dunia ini, akan tetapi, apabila menghadapi kematian, manusia hanya hidup dalam kota tanpa dinding.

_________________________

Wan Nor Azriq suka menjelajahi buku dan jalan raya, selain sekali-sekala singgah berkomentar di blog peribadinya, Kritikus Sastera. Buku mutakhir beliau ialah kumpulan cerpen Mana Dadu Darjeeling (Kata-Pilar Books, 2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.