Oleh Awang Sariyan
1 September 2022, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Di ambang kemerdekaan
kepada-Mu daku merafak ihsan
dengan penuh kesyukuran
dan keinsafan akan kealpaan
memenuhi taklif yang kami ikrarkan.

Dikau kurniakan nikmat kemerdekaan
Dikau bebaskan watan daripada penjarahan
Kami alpa dan lagha teledor memburu habuan
Kami alpa dan lagha terkesima dek godaan kekuasaan
Kami kumandangkan slogan “hubbul watan”
namun di baliknya kami alpa akan perpaduan
perseteruan membarah zaman-berzaman
khaira ummah penghias bibir bagai barang jajaan
tali Dikau sering kami lepaskan
Erti hubungan antara mukmin sebagai anggota satu jasad
sering kami mungkiri dengan pelbagai kerja fasad.

Di ambang kemerdekaan
Kami bermunajat
Dikau jadikan kami umat yang taat
menjadikan siasah hanya sebagai alat
membentuk watan yang diredai sebagai matlamat
Bersihkan, ya Rabbi nurani kami
menerima amanah sebagai taklif
menolak bayangan sebagai tasrif
melunaskan hak bagi yang berhak
menghindari salah guna kuasa
menjauhi rasuah ibu aneka masalah
menjaga nusa daripada diinjak-injak maruahnya
memelihara segala pancang negara sedaya upaya
daripada diganggu-gugat oleh penderhaka durjana.

Di ambang kemerdekaan
Kami bermunajat
Dikau tuntun kami
di denai kehidupan yang Kauredai
Dikau tuntun kami
membela watan seikhlas hati
mengangkat watan ke mercu Rabbani
Baldatun tayyibatun warabbun ghafur demi Ilahi
membangun dalam acuan sendiri
mengambil kekuatan daripada tamadun sejagat yang bestari.

Diambang kemerdekaan
Kami bermunajat
Merdekakan kami, ya Rabb
daripada kefasadan, kemungkaran dan kepalsuan
Merdekakan kami daripada segala yang mazmumah
Merdekakan kami daripada tabii serakah
Merdekakan kami daripada kehampaan barakah
Merdekakan kami daripada tingkah khianat
Merdekakan kami daripada penjajahan fikrah
Merdekakan kami daripada yang songsang fitrah.

28 Ogos 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.