Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Sebuah taklimat berkenaan penulisan Antologi Puisi Kemerdekaan sempena Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-37 bagi tahun 2023 telah dianjurkan oleh GAPENA pada 13 Januari lepas. Sesi taklimat dalam talian tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh Cik Nurul Nabilah selaku moderator, dan pengisian taklimat disampaikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, yang juga merupakan Timbalan Presiden GAPENA dan Pengarah SDPK Ke-37, bagi tahun 2023.
Lembaran taklimat tersebut dibuka dengan penerangan berkaitan syarat-syarat sayembara berkenaan. Menurut Dr. Mohamad Saleeh Rahamad,
Pada kali ini kami masih lagi melanjutkan kaedah penulisan puisi untuk diantologikan. Disebabkan puisi ini merupakan puisi pentas, bukan puisi yang dibaca berseorangan, maka kami telah menetapkan syaratnya agar sesuai untuk menjadi bahan deklamasi. Kalau kita menulis puisi ikutkan perasaan, kadang-kadang hanya sesuai dibaca di dalam bilik sahaja, bukan untuk dilantunkan di tengah pentas ataupun di hadapan khalayak.
Inti pati syarat penyertaan yang telah ditetapkan adalah seperti berikut;
Tambah beliau lagi, sayembara tersebut membawa harapan untuk melihat kemunculan nama-nama baharu dalam penulisan sajak. Ujarnya tentang hal berkenaan,
Kalau kami menggunakan sajak-sajak lama memang boleh, tetapi mereka sudah lama dalam dunia persuratan. Bagaimana kita hendak membangunkan dan membugar potensi bakat baharu? Matlamat kami adalah untuk menjadikan sastera ini milik semua dan penulis baharu dapat memperlihatkan bakat mereka, tidaklah hanya bergantung kepada sajak-sajak terdahulu sahaja.
Berkenaan isu plagiat, beliau menjelaskan bahawa unsur plagiarisme tidak boleh berlaku. “Perbuatan plagiarisme ini sudah berlaku terlalu kerap akhir-akhir ini dan menjadi suatu virus dalam dunia persuratan. Kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku,“ ujarnya lagi.
Berkenaan dengan hak cipta karya, beliau menyatakan bahawa hak cipta karya masih merupakan milik penulis, tetapi hak terbit dengan sendirinya automatik menjadi hak GAPENA. GAPENA berhak untuk menerbitkannya. Selain itu, GAPENA juga akan memberikan sagu hati terhadap setiap karya yang terpilih untuk dimasukkan dalam antologi.
Di hujung taklimat, beliau sempat menyatakan harapan kepada mereka yang berminat untuk menyertai projek penulisan antologi tersebut.
Buat dan sunting sehabis baik. Boleh minta nasihat kawan yang sudah mahir tetapi akhirnya keputusan memilih di tangan penyelenggara ataupun urusetia.