Oleh Rasoul Manan
23 September 2023, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “September, Pesan Keramat Pahlawan” nukilan Ami Masra telah membawa tuah kepada Anas Muhammad Farihin apabila dinobatkan sebagai pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Hari Malaysia Sektor Korporat Kumpulan UMW Holdings Berhad di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Beliau yang merupakan kakitangan di Maybank Islamik berasa gembira dengan kejayaan ini. Beliau berkata;

Sejujurnya ini percubaan pertama kali dalam pertandingan dan sudah tentu akan memberikan sehabis baik ketika beraksi.

Beliau mendedikasikan kejayaan ini buat keluarga dan rakan sekerja yang tidak putus-putus mendorong serta memberi galakan dalam menaikkan semangat ketika beraksi.

Anas Muhammad Farihin menjulang trofi kemenangan setelah mendapat tempat pertama dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Malaysia Sektor Korporat Kumpulan UMW Holdings Berhad.

Begitu juga dengan seorang lagi pemenang, iaitu Muhammad Norazizi Samsudain. Beliau yang mewakili negeri Sabah telah membawa sajak “Kemerdekaan Ini” karya R.Hamkama berjaya memenangi Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia ke-4.

Beliau menyatakan apabila mewakili negeri Sabah sudah tentu terasa bebannya apatah lagi, negeri Sabah baru sahaja memenangi Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsan (SDPK) Ke-37. Ujar beliau;

Doa daripada ahli keluarga, nasihat dan tunjuk ajar guru-guru,  serta dorongan daripada kumpulan di selatan, banyak membantu dalam menambahbaik teknik dan skill ketika berdeklamasi.

Oleh itu, selepas ini beliau akan terus memasuki pertandingan yang diadakan dalam menyemarakkan aktiviti sastera khususnya puisi.

Muhammad Norazizi Samsudain. Beliau yang mewakili negeri Sabah telah membawa sajak “Kemerdekaan Ini” karya R.Hamkama berjaya memenangi Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia ke-4.

Sayembara yang telah diadakan tersebut merupakan hasil program kerjasama antara DBP dengan Kumpulan UMW Holdings Berhad dan Persatuan PEMUISI.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan.

Turut hadir dalam majlis yang sama ialah YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara Dato’ Zurinah Hassan, dan YBhg. Datuk Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden PEMUISI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.