18 Julai 2023, 12:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Annur Halimah Hakim memberikan pandangan tentang sifat beradab dalam penulisan dan persoalan “sajak merepek”.

Alhamdulillah. Dunia sastera setiap bulan dilihat ada sahaja penerbitan buku antologi baharu. Hal ini bermakna, setiap hari, ada sahaja proses pembacaan dan penulisan.

Mutakhir ini, ada suara yang tidak berpuas hati tentang perkembangan penulisan sajak yang bercambah bagai cendawan di medsos. Bagi saya, hal ini merupakan satu fenomena. Di mana-mana sahaja khalayak bercakap tentang sajak. Mereka menulis sajak berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Kerja menulis sajak bukan perkara mudah. Penulisnya wajib membaca dan memahami bait dan stanza yang membawa banyak makna. Malah, kajian dan penyemakan perlu dilakukan sebelum selesai menulis sesebuah sajak bagi mengelakkan unsur pembohongan.

Contohnya, jika kita menulis sajak tentang hutan, kita mesti tahu nama-nama pokok yang terdapat di belantara, mengikut geografi lokasinya. Dari mana kita nak dapatkan sumbernya? Tentulah dari Jabatan Perhutanan. Akan tetapi, zaman sekarang, semua maklumat ini ada di hujung jari. Tekan saja carian di Google, keluarlah segala maklumat. Apakah sifat pokok? Apakah manfaatnya kepada manusia? Adakah sifat pokok yang bersamaan atau bertentangan dengan sifat manusia? Semua itu dapat diteliti.

Memang, banyak perkara yang perlu diteliti sebelum terhasilnya sesebuah karya. Begitu juga dalam penulisan novel. Jika ayat al-Quran dijadikan sebagai dalil, ayat itu mesti bertepatan dengan makna dan plot sesebuah cerita, selain watak dan pengisian cerita.

Sememangnya, tiada jalan pintas untuk berjaya. Tiada juga satu perkara yang mustahil. Hal yang pasti, teguran yang kita dengar, kita terima lalu perbaiki mutu penulisan. Jika kita seorang tokoh dalam bidang penulisan, bantulah golongan pemula atau sesiapa sahaja yang berminat menulis. Kita tegur secara berhemah. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berserak. Jangan pula serabutkan minda penulis sajak. Jangan sampai “sampahkan” hasil tulisan seseorang.

Boleh jadi kita benci atau sakit hati dengan lambakan puisi yang ada sekarang, namun hal ini ada banyak hikmahnya. Contohnya, sajak-sajak saya sebelum ini yang berbentuk keagamaan menarik minat ramai sahabat untuk memeluk lslam.

Dalam sesebuah perjuangan, kita bersyukur dianugerahkan dengan para pemimpin yang meminati sastera dan sering memberikan kata semangat. Kegiatan sastera juga kini rancak di setiap negeri. Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) sendiri sudah menganjurkan pelbagai bengkel dan program sastera untuk penyertaan penulis. Di sini juga platform bagi para penulis menimba ilmu, selain mencari tokoh-tokoh sastera dan berguru secara seorang ke seorang (one-to-one).

Alhamdulillah. Dunia sastera setiap bulan dilihat ada sahaja penerbitan buku antologi baharu. Hal ini bermakna, setiap hari, ada sahaja proses pembacaan dan penulisan. Justeru, hasrat untuk melahirkan masyarakat membaca sebenarnya sudah tercapai.

Hal yang boleh dilakukan sekarang ialah, kita perlu cari jalan untuk mulakan aktiviti sastera yang tertumpu di satu-satu desa, taman perumahan, kampung, atau pada peringkat sekolah rendah dengan menganjurkan sayembara menulis sajak. Kita berilah hadiah sebagai menghargai usaha mereka. Perkenalkan generasi muda dengan kaedah menarik untuk menulis sajak, selain menjadikan penulisan sajak sebagai hobi yang mempunyai peluang sumber pendapatan.

Hidup ini ialah proses belajar kata guru sastera saya, Cikgu Sharif Shaary yang banyak membimbing saya sejak tahun 1986 sehingga hari ini. Beberapa lagi guru sastera saya, termasuk Almarhum Ustaz Azizi Haji Abdullah, Nahmar Jamil dan ramai lagi, sekalipun tidak pernah mengkritik hasil karya seseorang. Jika ada teguran, para anak murid ini akan dipanggil dan mereka bercakaplah, dari hati ke hati.

Seseorang yang mempunyai permintaan tinggi dalam bidang sastera seharusnya bijak mengemudi emosi supaya tulisan tidak bercampur aduk dengan emosi. Siapa pun kita, kita ialah hamba Allah yang kerdil dan naif. Kita lemah. Karya kita pun belum mencapai tahap “laku keras”.

Justeru, adillah dalam teguran dan janganlah sampai menguburkan minat dan cita-cita seseorang untuk menulis. Jadilah pemberi yang sentiasa menyokong dan menghulur input positif kepada penulis. Jangan beri aura negatif. Nanti terbantut perkembangan penulisan seseorang.

Maafkan saya. Saya menulis sekadar memberi pendapat untuk saya dan peminat sastera yang gemar menulis sajak. Tulislah setiap hari. Jadikan rawatan. Rajinkan diri membaca sebuah buku sehari. Segarkan minda dengan ayat-ayat yang baharu dan istilah sastera yang puitis. Sajak kabur yang mempunyai banyak makna atau sajak polos pun tetap ada falsafahnya. Kecuali sajak yang merosakkan akidah. Sejujurnya, saya sendiri tak pernah jumpa sajak halusinasi atau sajak merepek.

Kredit Gambar: Catherine Kay Greenup/Unsplash

_________________________

Annur Halimah Hakim dari Pulau Pinang, sudah terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1986. Karyanya sudah banyak tersiar di media cetak dan elektronik. Beliau menulis sajak, anekdot dan cerpen.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.