Oleh Karmila Azmi
16 Julai 2023, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karmila Azmi menulis belasungkawa sebagai penghormatan terhadap seorang pengarang novel moden penting era 1980-an.

Kundera juga katanya, bukan hanya seorang penulis atau pensyarah, sebaliknya juga figura politik. Justeru, tulisan Kundera sama ada novel, drama atau ulasan politik selalu mendapat perhatian di Czechoslovakia sehingga menyebabkan pertikaian.

Beberapa tahun lalu, portal berita The Guardian menanyakan soalan, sepenting manakah Milan Kundera? Hal ini tentu saja kerana saban tahun, Kundera merupakan calon kegemaran ramai, malah selalu sahaja namanya dipetik sebagai bakal pemenang Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan.

Namun hingga pada akhir hayatnya, Kundera tidak pun berkesempatan dinobatkan.

Kehidupan Kundera sebagai seorang pengarang besar sangat warna-warni, malah hingga ke tahap dilucutkan kerakyatan kerana pandangan dan pemikiran yang bertentangan dengan pemerintah komunis, Czechoslovakia.

Walau bagaimanapun, kasih sayangnya pada tanah airnya sedikit tidak berkurang, malah sebelum pemergiannya, Kundera meminta untuk disemadikan di wilayah kelahirannya, Brno, Republik Czech.

Ramai orang mungkin mengenali Kundera mengerusi novel The Unbearable Lightness of Being (1984) [] yang kemudiannya diadaptasi sebagai filem empat tahun selepas itu. Selain itu, novel itu juga menjadi sebab kerakyatannya ditarik.

Namun bibit pertentangan antara Kundera dengan pemerintah Czechoslovakia sebenarnya bermula dengan The Joke pada tahun 1967 dan Life is Elsewhere (1973). Kedua-dua naskhah itu ialah karya satira yang menyebabkan beliau disingkirkan daripada parti komunis tanah airnya.

CM MacCauley (2016) dalam Language, Memory, and Exile in the Writing of Milan Kundera; menyebutkan bahawa Kundera tiba di Perancis selepas membeli “dokumen” yang membolehkan beliau dan isterinya melarikan diri dari negara asalnya.

Kundera juga katanya, bukan hanya seorang penulis atau pensyarah, sebaliknya juga figura politik. Justeru, tulisan Kundera sama ada novel, drama atau ulasan politik selalu mendapat perhatian di Czechoslovakia sehingga menyebabkan pertikaian. Hal ini disebabkan kerana Kundera keras menentang kawalan Soviet, terutamanya selepas Pakatan Warsaw 1968 yang menyebabkan beliau melarikan diri.

Justeru ramai sarjana berpandangan, kebanyakan karya Kundera setelah itu sebenarnya merupakan cerminan pemikiran dan pengalaman hidupnya di Czechoslovakia. Jadi, apabila berlakunya revolusi yang dipanggil “Praque Spring”, Kundera selalu dirujuk sebagai tokoh sastera berpengaruh yang memungkinkan berlakunya perubahan itu.

Novel The Unbearable Lightness of Being sebenarnya ditulis ketika di Paris, sesudah beliau melarikan diri gara-gara bukunya diharamkan dan dipecat tugasnya sebagai pensyarah. Pada tahun 1981, beliau mendapat kerakyatan Perancis.

Dalam temu bual dengan Philip Roth pada 30 November 1980, Kundera berkata, sebagai seorang penulis, pengalaman tinggal di beberapa buah negara ialah hal yang penuh nikmat.

“Anda hanya boleh memahami dunia jika anda melihatnya dari beberapa sisi. Buku terbaharu saya, yang lahir di Perancis, terbentang dalam ruang geografi yang istimewa; peristiwa yang berlaku di Prague dilihat melalui mata Eropah Barat, manakala apa yang berlaku di Perancis dilihat melalui mata Prague. Ia adalah pertemuan dua dunia,” katanya.

Rabu lalu, Kundera pergi buat selama-lamanya selepas berhadapan dengan masalah kesihatan yang panjang pada usia 94 tahun, sesudah empat tahun mendapatkan kembali kerakyatan Republik Czech.

_________________________

Karmila Azmi penulis bebas dan penyelidik sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.