Oleh M. Emir
13 Julai 2023, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

M. Emir memberikan pandangan terhadap reaksi “sajak merapu” dari sudut pandangan pengkaryaan berbentuk eksperimental.

Tidak ada betul atau salah dalam puisi selagi ada mekanisme kawalannya, iaitu ilmu untuk menguasai sesebuah puisi.

Kesunyian akan sentiasa menguasai sebuah ruang apabila tiada yang berani mencuba untuk bercakappuisi atau bertari mengikut rentak puisi. Kita akan berasa terkongkong dengan makhluk bernama sepi apabila tidak berlakunya perbualan dan percakapan yang terapung-apung, seperti belon yang di dalamnya diisi helium. Akan tetapi, kita tidak menyedari yang kita ayam jantan tanpa suara dalam sastera apabila tidak mahu mencuba sesuatu yang baharu. Tidak mahu berkokok. Tidak mahu terbang.

Tidak mahu bukan bererti tidak tahu. Jadi, selaku pendebat terbaik negeri Pahang, saya pasti ada indikator untuk diperdebatkan dalam wahana ini.

Bayangkan sajak ialah sebuah dunia: di dalamnya ada manusia yang pakai kopiah, singlet dan macam-macam aneka ragam lagi. Ketiga-tiga manusia ini tidak ada kemahiran untuk berani meletakkan kebisingan terhadap kesunyian. Mereka tahu cara untuk menanganinya. Pasti kesunyian akan menguasai. Bayangkan, sajak ialah sebuah seni. Janganlah kita menjadi diktator dalam seni yang memaksa untuk mengikut satu cara sahaja.

Dengan ini, akan timbul satu lagi pemikiran yang menyatakan bahawa puisi eksperimental adalah merapu. Hal ini kerana, kita dikurung dalam penjara pemikiran yang mengunci akal kita yang cerdas. Jadi, sajak daripada pelanggar arus konvensional akan dikecam seolah-olah mereka membuat kesalahan besar, walhal itu bukan kesalahan seperti makan menggunakan sudip elektrik berwarna merah jambu bercorak bunga mawar di belakang rumah kepunyaan mak cik tua bernama Shazlinda yang mempunyai hobi aneh, iaitu main guli sewaktu saya mahu bermain olahraga.

Sememangnya, tidak salah untuk menjadi antikesunyian kerana lumrah seorang manusia ialah mahukan hiburan. Bagi saya, dalam konteks merapu, puisi eksperimental tidak wajar dipakaikan dengan mahkota gelaran “merapu” di atas jemalanya.

Dalam dunia yang menikam kita dengan kesunyian dari empat arah, kita perlu menjadi perwira bising (atau setidaknya menyokong kebisingan) dengan tidak mengecam karya eksperimental dan avant-garde. Media arus perdana tidak seharusnya terus menikam-nikam penulis dengan kesunyian dari empat arah dan penulis pula perlulah mengelak daripada menjadi mayat obor-obor yang sepi di Lautan Pasifik. Kita mesti ada rantai ekosistem yang baik untuk saling membantu antara satu sama lain.

Maaf, perenggan seterusnya akan lebih pedas ketimbang Maggi Ghost Pepper.

Banyak cara untuk mencurahkan ruang hati yang pincang yang amat sofistikated di atas kertas sunyi. Eksperimental ialah salah satu caranya. Saya bagi satu contoh mikrofiksyen tentang seorang yang membenci ketua pengawas di sekolahnya yang mengamalkan kronisme.

Konvensional atau cara sunyi:

Field Marshal Uniform putih ialah seorang pelajar bernama A. Dia membenci Linda yang menjawat jawatan ketua pelajar di sekolahnya. Apabila manusia itu mengamalkan kronisme, dia seolah-olah melayang antara dua angin yang bertiup.

Avant-garde atau cara bising:

FFFFFIIIIIEELLDDDD MARSHALLLLLLLL Uniform PUTIH!! – A – LINDA – KETUA PELAJAR – SEKOLAH – KRONISME – DUA ANGIN.

Adakah mahu dikatakan cara kedua adalah merapu seolah-olah manusia yang mengecas komputer ribanya namun terlupa memasang suis? Tidak sama sekali! Mereka yang menyatakan bahawa seni merupakan sesuatu yang ada cara khusus untuk melaksanakannya amat berdosa besar dalam sastera. Tidak ada betul atau salah dalam puisi selagi ada mekanisme kawalannya, iaitu ilmu untuk menguasai sesebuah puisi. Ilmu untuk mengisi kesunyian dengan suara yang merdu, sama ada dengan teknik eksperimental yang berkesan atau bukan. Ramai yang memfitnah karya eksperimental sebagai sebuah karya yang tiada nilai dan merapu, sedangkan mereka tidak pernah menghuni pemikiran sang penulis.

Mereka tidak gemar mendefinisikan idea penulis. Mereka lebih gemar menjadi netizen yang mengutuk-ngutuk karya yang menari dengan cara yang tidak disukainya.

Bayangkan, penulis yang sudah bersusah payah mengeluarkan sastera daripada penjara dianggap sebagai penulis yang menjadikan karya itu merapu. Sepatutnya penulis sebegini diberikan sumbangan. Eksperimental bukanlah karya merapu, malah wajar diberikan tempat di hati rakyat, kerana pemikirannya ada tetapi senyap, propagandanya ada tetapi senyap dan ideologinya ada tetapi senyap – ditafsirkan dengan cara paling sofistikated pada sehelai kertas.

Maka, marilah sama-sama kita mencari kayu jati, membina rumah dalam hati buat karya eksperimental – dan menyanggah hujah radikal yang menyatakan bahawa puisi eksperimental itu merapu. Mereka yang menyatakan eksperimental itu merapulah sebenarnya yang merapu, seperti menyatakan ikan kerapu boleh terbang dan singgah di atas bumbung rumah penulis bernama Iman Ismail dan tiba-tiba menjadi watak utama dalam cerpennya.

Realitinya, sesiapa yang melakukan eksperimental ialah seseorang yang mahukan perubahan, seperti semut yang menyusun tubuhnya menjadi seekor dinosaur.

Kredit Foto: Jared Murray/Unsplash

_________________________

M. Emir merupakan penulis yang berasal dari Kuantan, Pahang. Beliau telah menghasilkan beberapa buah puisi eceran yang tersiar dalam Tukang Puisi dan Selangorkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.