Oleh Hidayyah AT Mizi
27 Jun 2023, 07:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi memberikan reaksi balas terhadap kolum Mana Sikana dalam Sinar Ahad tentang sajak merapu dalam media sosial.

Jika ahli-ahli BTS tidak diberikan galakan oleh Army, kumpulan ini tidak akan berkembang sehingga sekarang. Selain ruang latihan yang diisi dengan input yang baik, dorongan dan motivasi merupakan elemen penting untuk seseorang berkembang.

Ketika awal kemunculan mereka, setiap ahli BTS menerima layanan buruk, malah daripada krew produksi dan rakan selebriti. Dalam ketujuh-tujuh orang anak muda ini, bukan semuanya kacak. Ada yang mempunyai IQ tinggi, ada yang tidak pandai menyanyi, ada yang hanya ada rupa tiada bakat, ada yang hanya boleh menari, dan ada yang hanya tahu bermain alat muzik. Namun begitu, gabungan mereka menghidupkan kumpulan tersebut dan mencipta fan-based yang besar. Setelah beberapa tahun, BTS menjadi fenomena yang mendunia.

Begitulah “bakat” diserlahkan. Daripada tiada kepada ada. Daripada lemah menjadi hebat. Bukan terus-menerus diherdik dengan konotasi negatif. Sejujurnya, hal berkaitan sajak merapu ini—kepada siapakah kritikan ini ditujukan sebenarnya?

Persoalan ini timbul ketika penulis mencari konteks kritikan perihal penghasilan sajak merapu. Siapakah penulis yang dimaksudkan menulis sajak merapu? Siapa yang termasuk dalam golongan penulis sajak merapu? Adakah kritikan merujuk penulis baharu di media sosial sahaja? Bagaimana pula dengan penghasilan puisi daripada kalangan penulis yang berpuluh tahun menulis dan karyanya yang sudah banyak menembusi media tetapi tulisannya masih stagnant dan “biasa”?

Jadi, kepada siapa sebenarnya kritikan tersebut ditujukan dan apakah kriteria puisi merapu tersebut? Benarkah kenyataan yang mengatakan penulis baharu hanya menulis atas suka-suka, kurang disiplin dan tidak serius?

Mengapa penulis bertanya begini?

Jika konteks kritikan ditujukan kepada penulis-penulis pemula yang tidak lepas saringan editorial penerbitan, bukankah seharusnya kritikan ini kedengaran seperti ayam berkokok di laut? Kritikan ini tidak ditujukan kepada sasaran kumpulan yang betul.

Tidak kena. Seharusnya, mereka yang baru menulis sajak diraikan dengan semangat dan tunjuk ajar. Jika platform mereka menulis adalah di media sosial, maka media sosial ialah platform latihan yang membolehkan mereka menerima tunjuk ajar secara langsung daripada kumpulan penulis yang lebih tahu.

Jika ahli-ahli BTS tidak diberikan galakan oleh Army, kumpulan ini tidak akan berkembang sehingga sekarang. Selain ruang latihan yang diisi dengan input yang baik, dorongan dan motivasi merupakan elemen penting untuk seseorang berkembang.

Jika kesemua hal ini ditiadakan, bagaimana bakat boleh dikembangkan?

Penulis yang menulis puisi di media sosial bukanlah penulis yang tidak bersungguh-sungguh. Malah, penulis berpendapat sebaliknya. Mereka sangat bersungguh-sungguh menulis sehingga waktu senggang untuk bersembang dengan kenalan dalam platform media sosial pun diisi dengan menulis puisi. Bayangkan, nak bersembang dan bersosial pun, mereka mendahulukan puisi; sehingga ada sebahagian daripada mereka merutini dan menjadikan menulis puisi sebagai sebahagian daripada aturc ara menjalani kehidupan.

Di manakah “main-main”nya usaha penulis-penulis ini? Tidak seharusnya usaha sehebat ini dipertanggungjawabkan seolah-olah usaha tersebutlah yang menghancurkan dunia perpuisian negara.

Adakah penulis masih perlu berpaksikan pada cara generasi penulis lama berkembang untuk dikatakan sedang berkembang dengan baik? Bukankah seharusnya penulis masa kini dididik untuk berkembang seiring dengan dunia masa kini?

Salahkah penulis puisi menggunakan teknologi sedia ada untuk menajamkan kemahiran yang ada? Adakah mencari pengaruh tidak perlu sedangkan hal ini telah pun menjadi salah satu kriteria penerbit ketika menerbitkan sesebuah manuskrip? Adakah sikap disukai oleh orang ramai merupakan sikap buruk yang perlu dikecam sedangkan khalayak memilih untuk ambil tahu? Tidak bolehkah hal-hal yang tidak boleh dielak ini, disuaipadankan dan digabungkan dalam kehendak semasa dunia kesusasteraan kita?

Bukankah kesan kritikan negatif sangat menyedihkan? Dalam slogan dan ucapan yang berdegar-degar mahu lebih ramai anak muda meramahi puisi dan kesusasteraan—akhirnya usaha dan latihan berterusan dalam ruang peribadi ini dijadikan rujukan pukul rata dan racun kesusasteraan.

Adakah penulis masih perlu berpaksikan pada cara generasi penulis lama berkembang untuk dikatakan sedang berkembang dengan baik? Bukankah seharusnya penulis masa kini dididik untuk berkembang seiring dengan dunia masa kini?

Apakah sebenarnya yang mahu dikritik? Usaha penulis? Gerak kerja tidak efektif oleh badan berkaitan yang sepatutnya melahirkan penulis kontemporari atau salah dunia teknologi semasa?

Malangnya, daripada keempat-empat persoalan ini; hanya satu yang boleh dipertanggungjawabkan. Jadi, penulis akhirnya bertanya sendiri, adakah kritikan sebegini sebenarnya retorik yang dicetuskan kerana “marahkan nyamuk, kelambu dibakar”?

Penulis mengharapkan kritikan sebegini mendapat perhatian daripada pemain industri sastera dan golongan yang berkepentingan untuk menyediakan jalan keluar. Isu penulisan sajak yang lemah oleh kebanyakan penulis semasa ialah isu yang jelas.

Hal itu belum lagi untuk membincangkan pula isu penulis yang tidak begitu baik (mediocre) menghasilkan penulisan ringan (sepele) dan biasa. Belum lagi tentang sastera komersial melawan nilai sastera tinggi.

Rasanya, sudah cukuplah dengan sikap mengherdik para penulis sajak dengan mengatakan tulisan mereka merapu. Lebih baiklah kita raikan usaha mereka (baharu atau sudah lama) dengan menyediakan suatu pelan yang rinci sebagai jalan keluar terhadap permasalahan ini.

Hal yang diperlukan adalah untuk membincangkan cara menangani permasalahan sedia ada, bukan hanya menjelaskan isu yang sudah pun jelas di batang hidung.

Dan, sepanjang menuliskan hal ini, barulah penulis sedar, terlalu banyak persoalan yang tidak mempunyai jawapan. Entah bagaimana seharusnya “kita” menanggapi kritikan tanpa konteksnya yang jelas. Entah bagaimana caranya?

Kredit Foto: Patrick Tomasso/Unspalsh

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.