27 Jun 2023, 06:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri memberikan reaksi balas terhadap kolum Mana Sikana dalam Sinar Ahad tentang sajak merapu dalam media sosial.

Tidak ada manusia yang lahir terus berlari. Kita berproses dengan meniarap, mengesot, merangkak, berjalan, dan kemudiannya berlari. Walaupun perbandingan ini sudah klise, namun begitu jelas untuk menerangkan langkah-langkah manusia berproses.

Sajak merapu di mana silapnya?

Tak ada!

Tak ada silapnya sajak merapu yang wujud di mana-mana saja, termasuk di dinding media sosial.

Mari kita tanya dan jawab dengan jujur soalan ini. Tak wujudkah sajak merapu penulis-penulis mapan sewaktu mereka pemula dulu? Tak wujudkah sajak merapu penerima Anugerah SEA Write bahkan Sasterawan Negara sewaktu mereka pemula dulu? Jawapannya tentu sekali wujud, cuma mereka tidak menempatkannya di dinding-dinding media sosial kerana platform itu belum wujud pada zaman mereka. Mereka simpan di dalam buku atau fail untuk diedit lagi, dan mungkin juga mereka keronyok atau koyak dan buang ke dalam tong sampah.

Tidak ada manusia yang lahir terus berlari. Kita berproses dengan meniarap, mengesot, merangkak, berjalan, dan kemudiannya berlari. Walaupun perbandingan ini sudah klise, namun begitu jelas untuk menerangkan langkah-langkah manusia berproses. Oleh sebab penulis sajak juga manusia, maka sudah tentu mereka juga perlu berproses. Sedangkan AI pun perlukan pangkalan data raksasa barulah ia mampu menyesuaikan algoritma arahan sebelum mampu menulis “sajak robot”, inikan pula manusia. Tentu saja manusia memerlukan input-input yang berupa ilmu dan pengalaman untuk membolehkan mereka menghasilkan karya sajak yang baik, indah dan berseni.

Cuma platform mereka berekspresi kini tidak lagi di atas kertas seperti pada zaman prasosial media. Boleh dikatakan sebilangan besar penulis sajak menulis pada telefon pintar atau terus di komputer riba atau di atas meja mereka. Sungguh langka, pada zaman ini jika ada yang masih menulis sajak di atas kertas.

Resam manusia akan berasa teruja atau “ciwi” dengan karya sendiri. Lebih-lebih lagi para pemula. Rasa tidak sabar untuk berkongsi sajak baharu dengan rakan di medsos meluap-luap dan tidak boleh dibendung lagi. Mereka ini kadang-kadang lupa untuk membuat edit kendiri. Sebilangan besar pula langsung tidak mampu melakukan edit kendiri kerana tiada pengetahuan asas tentang cara yang betul menulis sajak. Apa-apa yang ditulis di telefon pintar tadi, terus saja dikongsi di medsos dek keterujaan akut mereka dalam berkongsi karya.

Sebagai pelestari dan pencinta sastera, kita akan dan telah membuat salah terbesar jika kita asyik menjatuhkan semangat penulis pemula dengan stigma “sajak merapu” dan yang sama kategori dengannya. Kita sepatutnya menggalakkan para pemula agar mereka berani menulis dan berkongsi sajak mereka. Kita sepatutnya menggalakkan mereka berkongsi sajak di media sosial kerana kita (dan mereka) tahu bahawa kualiti sajak mereka belum boleh diterima di dada akhbar dan majalah perdana.

Seperti yang kita sedia maklum, menulis sajak memerlukan momentum. Jika kita menunggu untuk mahir dalam semua aspek baru hendak menulis, mungkin kita sudah menjadi tua dan masih belum berani menulis kerana merasakan bahawa ilmu kita belum lengkap dan belum layak menulis. Jika kita anggap selagi belum cukup ilmu, tidak boleh menulis, maka kita membunuh momentum dan minat mereka terhadap penulisan sajak secara khusus dan sastera secara umumnya.

Apakah yang perlu kita buat sebagai pelestari dan pencinta sastera terhadap fenomena “sajak merapu” di media sosial ini? Kita bimbing mereka agar mereka tahu teori dan konvensi yang betul untuk menulis sajak. Kita raikan keterujaan mereka dengan memberikan komen-komen objektif terhadap sajak mereka. Komen-komen subjektif harus dielakkan kerana mereka belum faham sepenuhnya tentang teori dan konvensi. Komen-komen yang membunuh harus dihentikan kerana hal ini akan membunuh minat dan momentum keterujaan menulis mereka.

Dengan cara memberi teguran dan bimbingan yang objektif, para pemula tidak akan terbantut minat dan keterujaan terhadap penulisan sajak. Mereka juga akan hormat kepada para senior kerana membuat teguran secara beradab. Oleh sebab hormat itu perlu diberi oleh orang lain, maka jika kita ingin dihormati, kita sepatutnya juga memberi hormat. Inilah situasi yang meraikan menang-menang (win-win situation).

Dengan cara melabel karya pemula sebagai penulis sajak merapu, kita tidak akan mencapai apa-apa perkembangan positif atau penambahan nilai baik pada ranah sastera sekangkang kera kita ini. Sebaliknya, kita harus meraikan keterujaan pemula menulis sajak dengan memberikan suntikan motivasi melalui teguran dan bimbingan secara objektif, langkah demi langkah. Hal yang paling penting ialah, jangan kita membantutkan momentum keterujaan mereka dengan label-label yang tidak menguntungkan sesiapapun, baik pemula ataupun para senior.

Kredit Foto: Alejandro Escamilla/Unsplash

_________________________

Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.