Oleh Azrin Eddy
Diterbitkan pada 21 Jun 2023, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-67, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah melaksanakan program Secangkir Kopi Siri 2/2023 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, pada tengah hari semalam.

Program ini merupakan hasil kerjasama DBPCS dengan Badan Bahasa dan Sastera (BAHASA) untuk mempergiat aktiviti bicara buku di samping mempromosikan buku baharu terbitan DBP.

Sebanyak 70 orang peserta yang terdiri daripada persatuan-persatuan penulis seperti BAHASA, Ikatan Penulis Sabah (IPS), Persatuan Penulis Momogun Malaysia (MOMOGUNSIA) dan mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah hadir bagi memeriahkan lagi program ini.

Datuk Jasni Matlani sedang mengupas buku Amil Jaya: Penulis Versatil.

Bersempena dengan tema “Nama dari Suatu Sejarah”, buku Amil Jaya: Penulis Versatil dibawa ke pentas diskusi Secangkir Kopi pada kali ini. Amil Jaya ataupun lebih dikenali sebagai Ismail Abbas merupakan penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah yang pertama dan penerima pertama dari Sabah untuk Anugerah SEA Write Award.

Buku ini merupakan hasil karya 13 orang penulis yang mengupas karya-karya Amil Jaya daripada pelbagai sudut pandangan, iaitu nilai-nilai kemasyarakatan, ekologi dan sosial, pengurusan konflik, agama dan adat, politik, unsur Islam dan pandangan historisme.

Tiga orang penulis buku ini diundang untuk membuat perkongsian, iaitu Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani, Penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah ketiga, Tuan Haji Sukor Usin (Hasyuda Abadi) serta Dr. Siti Aidah Haji Lukin@Lokin dan Encik Mohd Farik Haji Madun sebagai moderator.

Amil Jaya merupakan sasterawan yang banyak menonjolkan budaya tempatan dan adat resam Sabah melalui hasil karya beliau seperti dalam novel Bagaton yang banyak dikupas dalam buku Amil Jaya: Penulis Versatil.

Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang panel, Hasyuda Abadi.

Novel Cerah karya Amil Jaya juga banyak menjadi panduan kepada penulis-penulis Sabah dan mendapat perhatian ramai peneliti sastera tanah air termasuklah panel pembicara.

Datuk Jasni Matlani beranggapan bahawa buku Amil Jaya: Penulis Versatil ini merupakan salah satu usaha penggiat sastera di Sabah untuk memastikan karya Amil Jaya kekal relevan dan menjadi rujukan penulis-penulis muda untuk berkarya.

Program ini turut dilihat sebagai pendekatan kepada penulis muda untuk menimba pengetahuan dan pengalaman daripada penulis mapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi