20 Jun 2023, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pegawai BPS, Puan Fathenwan Wan Mohd Nor (dua dari kiri) dan Puan Muzdalifah Izzati Mansor (kanan sekali) sedang mendengar cerita-cerita rakyat asli suku kaum Bateq.

Gua Musang – Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan lagi kerjasama dalam pendokumentasian dan rakaman cerita rakyat Orang Asli Suku Kaum Bateq bersama-sama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) di Daerah Gua Musang, Kelantan.

Pasukan penyelidik BPS merakamkan gambar kenang-kenangan dengan orang asli suku kaum Bateq di Kampung Pasir Linggi.

Kajian lapangan yang berdasarkan kepada penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat ini dilaksanakan pada 14 dan 15 Jun lalu dengan melibatkan tiga buah perkampungan Orang Asli Suku Kaum Bateq, iaitu Kampung Pasir Linggi, Kampung Machang dan Kampung Aring 5.

Tujuan utama projek penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat orang asli Bateq adalah untuk memulihara khazanah warisan sastera lisan orang asli Bateq yang kemudiannya akan didokumentasikan dalam bentuk buku cerita rakyat Orang Asli bagi bacaan umum serta rujukan para pengkaji.

Projek penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat Orang Asli Suku Kaum Bateq Siri Ke-4 ini merupakan siri terakhir yang berfokuskan kepada suku kaum Bateq. Pegawai penyelidik BPS yang terlibat, iaitu Puan Fathenwan Wan Mohd Nor, Encik Hadi Roslan, Puan Nor Adilah Abu Bakar, dan Puan Muzdalifah Izzati Mansor menyantuni penutur-penutur orang asli di ketiga-tiga buah kampung tersebut dengan diiringi pegawai JAKOA Daerah Gua Musang, iaitu Encik Mohd Zamri Ismail dan Encik Muhd Nor Shahrie Hussin.

Salah seorang orang asli suku kaum Bateq di Kampung Machang sedang menuturkan cerita rakyat.

Sebelum ini, BPS berhasil merakamkan cerita-cerita rakyat suku kaum Bateq yang majoritinya berada di Pahang dan sebahagiannya kini turut berada di Kelantan. Keunikan cerita yang berjaya dirakam oleh para penyelidik adalah berkonsepkan animisme, iaitu kepercayaan terhadap semangat, roh dan alam sekeliling.

Walaupun rata-rata penduduk di ketiga-tiga kampung ini sudah menganut agama Islam, namun mereka masih berpegang dengan kepercayaan animisme sebagai peringatan dan kesejahteraan hidup bersama.

Ujar Ab Ghani Jaafar, salah seorang penutur tersebut,

Kami masih berpegang dengan cerita-cerita nenek moyang dahulu terutamanya cerita celau, dos dan bat. Cerita celau selalu dikaitkan dengan perkara sial atau celaka seperti perkara buruk yang akan berlaku kepada seluruh penduduk kampung sekiranya seseorang itu melanggar pantang larang yang pernah diceritakan nenek moyang mereka. Sebagai contoh, binatang yang selalu membawa celau kepada suku kaum Bateq ialah beruk, kera dan biawak.

Tambahnya lagi,

Jika celau terjadi, kebiasaannya akan berlaku awan mendung, hujan serta ribut dan pernah juga berlaku runtuhan tanah di sekitar kampung.

Dalam pada itu, bagi suku kaum Bateq, cerita-cerita binatang sememangnya lekat dalam ingatan mereka. Harun Ismail, penghulu di Kampung Pasir Linggi berkata,

Cerita binatang seperti gajah, kancil dan harimau ialah cerita binatang yang selalu didengar dan sudah biasa diceritakan. Tetapi, masyarakat luar tidak mengetahui bahawa cerita binatang yang paling menarik ialah kisah tenggiling dan gajah. Malah, kebanyakan penduduk suku kaum Bateq di Kampung Pasir Linggi ini rata-ratanya mengetahui kisah yang terjadi antara gajah dan tenggiling.

Pada hakikatnya, cerita-cerita yang disampaikan mengandungi nilai dan pengajaran yang tersirat. Dalam menyampaikan hiburan buat pendengar khususnya kanak-kanak, cerita-cerita rakyat ini perlu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi agar terus kekal diwarisi pada masa akan datang dan tidak hilang ditelan zaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.