Oleh Asrar Ab Latif
18 Jun 2023, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putatan – Festival Puisi Esei Antarabangsa Kedua 2023 (FPEA 2023) telah melabuhkan tirainya pada malam tadi. Lebih daripada 20 tokoh ilmuan sastera dan budaya dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand telah berkongsi idea dalam melontarkan cadangan berkaitan dengan kesusasteraan dan kebudayaan.

“Kita telah berkampung selama dua hari. Pelbagai input dan pemikiran kita dapat daripada pelbagai negara untuk menjadikan bidang bahasa, budaya dan sastera sebagai jati diri negara kita”, ujar YBhg. Datuk Jasni Matlani dalam ucapan sambutan, malam tadi.

YBhg. Datuk Jasni Matlani sedang menyampaikan ucapan.

Selanjutnya, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana telah mendanai program ini serta berharap agar sumbangan dana tersebut diteruskan pada tahun yang akan datang.

Dalam ucapan sambutan II, Bapak Rafail Walangitan selaku Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu pula berkata,

FPEA ialah satu program kolaboratif yang menjadi sebahagian daripada hubungan diplomatik dalam negara serumpun ASEAN.

Beliau juga menyatakan hasrat agar hubungan Indonesia dan Malaysia semakin erat tanpa mengenal batas negara dengan sastera dan bahasa yang menjadi jambatan hubungan diplomatik tersebut.

YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan sedang menyampaikan ucapan penutupan program.

Turut hadir dalam majlis penutupan tersebut ialah YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Sabah. Jelasnya ketika memberi ucapan perasmian penutupan FPEA,

Penganjuran festival ini saya yakin mampu memberi impak dari segi ekonomi dan pelancongan, terutamanya melibatkan pelancongan ilmu dan budaya. Saya yakin FPEA akan terus berkembang seiring dengan hasrat BAHASA untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai dataran budaya dan sastera. Melihat kesungguhan dan usaha yang ditonjolkan oleh BAHASA, saya percaya FPEA akan menjadi produk pelancongan Negeri Sabah suatu masa nanti.

Beliau juga turut berbesar hati melancarkan sebuah buku kumpulan puisi bertajuk Kenapa Pulau Kami Begitu Sunyi karya Jasni Matlani.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.