Oleh Asrar Ab Latif
18 Jun 2023, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putatan – Sesi pembentangan kertas kerja sempena Festival Puisi Esei Antarabangsa Kedua diundang khas dari negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Malaysia.

Dalam sesi pembentangan pertama dengan tajuk “Hala Tuju Sastera dan Puisi Esei 10 Tahun Mendatang”, Bapak Agus Sarjono (Indonesia), YBhg. Datuk Dr. Ramzah Dambul (Malaysia), Tuan Haji Hamzah Hamdani (Malaysia) dan YBrs. Dr. Ibu Yundini Husni (Indonesia), mengupas tentang sastera itu sendiri yang terdiri daripada tiga asas.

YBhg. Datuk Dr. Ramzah Dambul sedang membentangkan kertas kerja.

Tiga asas tersebut ialah “Gratifikasi” iaitu pemurnian emosi bukan hiburan semata-mata, “Pembudayaan Ilmu iaitu Sastera” digunakan ke arah menyebarkan ilmu dan “Advokasi” yang dimaksudkan sebagai agenda untuk menjadikan sastera sebagai agen kepada perubahan negara, khasnya dalam rantau Nusantara.

Prof. Datuk Dr. Ramzah Dambul mengujarkan bahawa elemen “Advokasi” masih kurang dipraktikkan dalam sastera sekarang. Selain itu, Tuan Haji Hamzah Hamdani pula menyatakan bahawa khalayak sastera di Semenanjung dan Sarawak masih terasa asing dengan konsep Puisi Esei tersebut.

Beliau bercadang bahawa kegiatan menerbitkan buku-buku puisi esei perlu lebih proaktif, memandangkan manusia sendiri yang mudah bosan dengan teks dan artikel panjang yang seterusnya mengurangkan penghayatan terhadap maksud sebenar dalam karya.

Dalam sesi pembentangan kedua dengan tajuk “Pengurusan Sastera dan Puisi Esei”, para pemakalahnya ialah YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan selaku Presiden Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), YM Tuan Haji Awang Suip selaku Pemangku Pengarah DBP Brunei dan Puan Noor Aina Abd. Hamid yang mewakili pengurusan DBP Cawangan Sabah.

Mengupas lanjut dalam sesi tersebut, kesemua pemakalah tersebut mengujarkan agar setiap badan bahasa dan sastera yang tertubuh terus giat mengadakan pelbagai aktiviti kesusasteraan.

Seterusnya, sesi pembentangan kertas kerja tiga dan empat membawa tajuk “Pengiktirafan Sastera dan Festival Puisi Esei” dan “Ekonomi, Sastera dan Festival Puisi Esei”.

Encik Saifullizan Yahya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP sedang membentangkan kertas kerjanya.

Encik Saifullizan Yahya selaku Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Puisi Esei dalam Perkembangan Puisi Moden di Malaysia”. Luah beliau,

Sejauh manakah Puisi Esei ini dihayati? Puisi Esei perlu dimasyarakatkan lagi untuk terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat

Tuan S. M. Zakir yang turut menjadi salah seorang pembentang bercerita tentang nilai ekonomi sastera yang juga berkaitan dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. PBAKL tersebut yang telah diadakan selama 10 hari tersebut dikunjungi seramai 1.6 juta orang dengan disertai oleh 256 pempamer yang memenuhi 814 reruai, maka tidak mustahil Festival Puisi Esei Antarabangsa juga akan berjaya seperti PBAKL jika digalakkan lagi dengan penglibatannya dalam aspek ekonomi sastera.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.