Oleh Asrar Ab Latif
16 Jun 2023, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putatan – “Sejarah lebih mudah diingati jika dikisahkan melalui sastera”, demikian ujar Bapak Denny JA yang merupakan pengasas Puisi Esei di Indonesia dalam ucapannya yang disampaikan oleh Ibu Fatin Hamama selaku Sekretariat Komuniti Puisi Esei ASEAN sempena Majlis Pelancaran Festival Puisi Esei Antarabangsa Kedua di SMK Putatan, Sabah pagi tadi.

Ibu Fatin Hamama mewakili Denny JA menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Puisi Esei Antarabangsa Kedua di Putatan, Sabah pada pagi tadi.

Ibu Fatin Hamama merupakan penyair kelahiran Padang Panjang, Indonesia antara tokoh besar yang terlibat dalam festival kali ini.

Festival ini merupakan kesinambungan penganjuran yang lepas. Datuk Jasni Matlani selaku Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharap festival ini terus dijayakan kerana dapat mengembang dan bertukar idea berkenaan sastera malah dapat mempromosikan budaya dan tradisi masyarakat Sabah ke mata dunia.

Datuk Jasni Matlani, Presiden BAHASA menyampaikan hasrat dan harapan agar Festival Puisi Esei akan terus diadakan kelak.

Mewakili Ketua Pengarah DBP, Puan Aminah Awang Besar, Pengarah DBP Cawangan Sabah menjelaskan;

DBP sentiasa membuka pintu kepada semua pihak yang ingin bersinergi dalam menjayakan majlis seperti ini. Kerjasama sebegini dapat membantu pihak DBP mengembangkan sastera dan menerbitkan produk yang berkualiti.

Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Besar menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Festival Puisi Esei Antarabangsa Kedua.

Beliau seterusnya menyempurnakan gimik pelancaran, iaitu dengan melepaskan burung Merbok, simbolik bahawa pemikiran penulis atau penyair yang terbang bebas berfikir.

Festival Puisi Esei Antarabangsa yang kedua ini akan disertai oleh negara seperti Brunei, Thailand dan Indonesia. Festival ini berlangsung selama dua hari, bermula pada 16 hingga 17 Jun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.