15 Jun 2023, 14:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Shoffi Sukamin meneliti kebenaran tentang cabaran teknologi dalam lestari kesusasteraan arus perdana.

Sebenarnya, kita harus akur pada ‘kesan domino’, bermula dengan subjek sastera dan bahasa di sekolah dan universiti yang tidak mendapat sambutan, kemudian badan yang berfungsi sebagai penyebar dan pendukung sastera negara yang kehilangan bakat dan pakar yang mampu membawa sastera ke puncak.

Benarkah media sosial telah membunuh kerancakan sastera tanah air? Benarkah penguncupan sastera tanah air hari ini disebabkan oleh kemajuan teknologi digital dan media sosial? Jika benar, bagaimanakah kita letakkan kayu ukurnya? Perbincangan ini tidak terlalu popular untuk dikatakan di ruangan umum tetapi sangat popular di lidah segolongan penulis mapan.

Sebenarnya, kita harus akur pada “kesan domino”, bermula dengan subjek sastera dan bahasa di sekolah dan universiti yang tidak mendapat sambutan, kemudian badan yang berfungsi sebagai penyebar dan pendukung sastera negara yang kehilangan bakat dan pakar yang mampu membawa sastera ke puncak, membawa ke era penulis-penulis baharu yang tidak mampu bersaing dengan penulis arus perdana dan telah memonopoli ruang-ruang penerbitan, sehingga penulis-penulis baharu hilang keyakinan dengan arus perdana, lalu akhirnya mula menerbitkan karya secara mandiri sehingga terbangunnya banyak syarikat penerbitan alternatif yang menerbitkan karya penulis baharu dan mampu menganjurkan pesta buku mereka sendiri. Tanpa bantuan dan suntikan dana daripada kerajaan.

Apakah yang mendorong penulis-penulis baharu untuk bernafas dan membuat fenomena? Ya. Media sosial dan kemajuan teknologi digital. Mereka beradaptasi dengan blog, Wattpad, Twitter, Facebook, dan semua jenis media sosial yang ada. Penggunaan Adobe Ilustrator, Photoshop dan terbaharu Canva, menjadikan tulisan-tulisan mereka lebih kreatif dan mudah diterima oleh semua orang yang memiliki akaun media sosial.

Perkembangan teknologi memberikan ruang dan peluang yang sangat luas kepada perkembangan genre sastera. Jadi, terpulang kepada syarikat, kelompok dan individu untuk beradaptasi dan mempromosikan karya-karya mereka. Hal ini dapat dilihat pada setiap tahun, penerbit-penerbit buku akan memperkenalkan penulis-penulis baharu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Mereka mempromosikan produk dengan menghasilkan petikan (quote) kreatif daripada karya-karya, memperkenalkan penulis dengan mengadakan siri meet and greet, menjalankan siaran langsung di gerai dengan hanya bermodalkan telefon bimbit dan mikrofon nirwayar yang dibeli di Shopee.

Hal ini kerana, mereka tahu, untuk menjadi kreatif, tidak memerlukan modal yang besar, yang penting ialah platform. Itulah yang mereka tidak dapat di arus perdana (dahulunya). Capaian kepada masyarakat, malah lebih luas lagi kerana akses yang mencakupi di seluruh pelosok dunia. Tambahan lagi, mereka sudah ada formula mereka yang tersendiri, seperti pemilihan waktu trafik yang paling aktif, pemilihan trafik mengikut peringkat usia, dan cakna dengan pasaran nic (niche market) mereka sendiri. Kebanyakan penerbit akan menghasilkan dua jenis produk. Satu produk populis (produk cari makan) untuk menarik pembaca baharu, satu lagi produk serius untuk pembaca matang dan dewasa. Hal ini kerana para penerbit tahu, pembaca baharu akan menjadi dewasa dalam jangka masa empat hingga lima tahun akan datang. Pembaca ini yang dahulunya membaca produk populis akan beranjak kepada produk serius, dan mereka menawarkan kedua-duanya. Seperti peribahasa Barat, “Hard times create strong men”.

Sementara itu, penerbit-penerbit kerajaan dan universiti masih terperangkap dengan wajah-wajah penulis mapan yang tidak lagi mahu beradaptasi dan paling parah apabila penulis-penulis ini tidak lagi mampu membawa persoalan yang sesuai dengan pembaca baharu pada masa kini, yang akhirnya membawa kepada kenyataan: “Media sosial telah membunuh sastera tanah air.” Akan tetapi, realiti menunjukkan sebaliknya, media sosial dan teknologilah yang menyelamatkan sastera kita hari ini. Jika tiada media sosial dan teknologi hari ini, kita masih dapat membaca karya-karya penulis yang membawa persoalan basi, seperti perjuangan anak petani hendak bersekolah, isu dadah dalam kalangan pelajar sekolah, kisah wanita yang teraniaya oleh kejumudan orang kampung, dan seumpamanya.

Sedangkan di Barat, mereka telah bercakap tentang Internet of Things, kecerdasan buatan, penerokaan angkasa, dan sebagainya. Adakah teknologi memangsakan sastera tanah air? Semestinya tidak. Jika ada genre seperti drama dan kritikan yang semakin hilang, itu bukanlah salah teknologi. Kita harus kembali pada kesan domino yang telah dinyatakan tadi. Kita telah kehilangan bakat dan minat sejak dari peringkat sekolah lagi. Sistem pendidikan, peranan badan yang bertanggungjawab dan platform yang sempit telah menjadi domino pertamanya.

Sepatutnya, kita harus selesaikan permasalahan ini di domino pertama dahulu. Seterusnya, kita akan lihat bagaimana generasi akan datang cuba membaiki semula dan membangunkan sastera sesuai dengan zaman dan garis masa mereka. Jangan kita melulu menyalahkan teknologi mereka yang membunuh sastera jika kita hari ini hanya duduk di rumah, menunggu pencen bulanan masuk ke akaun.

Kredit Foto: Stormseeker/Unsplash

_________________________

Mohd Shoffi Sukamin merupakan pegawai perancang bahasa di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.