Oleh Mamu MK Hasny
10 Jun 2023, 10:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mamu MK Hasny teruja dengan persembahan inovatif dua tokoh daripada dua latar seni yang berbeza pada satu pentas yang sama.

Kedua-duanya mempunyai latar belakang yang berbeza tapi mempunyai satu matlamat. Siapa yang dapat menjadi “juara” dalam pertarungan kata-kata.

Menggelegar suara Asrizal Nur, penyair Indonesia di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023. Beliau membaca puisi dalam program Tarung Puisi, “melawan” maestro syair Nusantara, Roslan Madun. Tak hairanlah suaranya menggelegar. Orang teater sememangnya sebegitu kemampuannya!

Malam itu Roslan Madun juga tidak kalah berpencak. Beliau sudah terkenal (selain kini berjinak-jinak dengan lakonan filem!) sebagai pendendang lagu rakyat asli, terutamanya syair dan gurindam. Siapa yang tak kenal penyanyi lagu Lemak Manis itu yang telah tersebar luas di platform Tik Tok? Lagu-lagu beliau banyak digunakan sebagai lagu latar bagi pelbagai kandungan digital, baik yang tua atau muda.

Beliau juga seorang pemuisi, tapi bukanlah penyair seperti Asrizal, yang juga seorang pemain teater yang aktif di Indonesia.

Kedua-duanya mempunyai latar belakang yang berbeza tapi mempunyai satu matlamat. Siapa yang dapat menjadi “juara” dalam pertarungan kata-kata.

Idea ini sangat bagus kerana menemukan dua genre dan latar profil yang amat berbeza di satu pentas persembahan, malah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada audiens.

Sememangnya, para audiens diperdengarkan dengan getaran suara penyair antarabangsa yang memukau daripada Arizal Nur. Beliau membaca puisi yang diiringi dengan visual yang berkaitan dengan puisinya, suatu hal yang biasa bagi penyair Indonesia ini, tapi sesatu yang baharu bagi peminat puisi di Malaysia.

Tarung Puisi ini sebenarnya bukanlah satu pertandingan. Perkataan “tarung” cuma satu gimik penganjur untuk menarik minat penonton menyaksikan dua tokoh budayawan ini berentap melakukan persembahan.

Acara malam itu membayang-bayang sebagai gelanggang tarung, yang rasmi dibuka oleh Dr. Saleeh Rahmad, Presiden PENA dan dihadiri bersama oleh Mohd Khair Ngadiron selaku pengerusi penganjur PBAKL 2023.

Audiens yang hadir pula rata-ratanya penggemar puisi dan syair, selain turut disaksikan oleh para pengunjung yang masih berlegar-legar di gerai PBAKL 2023 malam itu.

Asrizal Nur (kiri) bersebelah-menyebelah dengan Roslan Madun, Tarung Puisi menjadi sekalung suara menyemarakkan seni puisi.

Asrizal Nur memulakan puisinya dengan suara yang tajam dan mengaum, memenuhi setiap ruang PBAKL malam itu. Penyampaiannya amat menggegar rasa audiens yang mendengar (dan melihat) persembahannya. Mereka seakan-akan terpukau dengan lantunan suaranya.

Roslan Madun pula menampilkan keupayaannya dengan mendendangkan syair yang diselang-seli dengan nyanyian dan juga beberapa buah puisi. Tenaga beliau membuat persembahan berterusan di pentas amat mengagumkan. Dalam usia 71 tahun, beliau masih mampu bertahan membuat persembahan (dan tidak duduk diam), dengan kelunakan suaranya yang terserlah hingga ke akhir acara persembahan. Walaupun puisi bukan makanannya kerana beliau lebih sebagai pendendang syair dan lagu, beliau tetap tegas berpencak.

Tahniah kepada penganjur acara dan PBAKL kerana berjaya menonjolkan satu persembahan yang baharu untuk penonton sastera. Gabungan idea untuk menikmati puisi moden dan tradisional dalam satu persembahan tampaknya memberikan suatu nikmat yang amat segar, walaupun programnya mengambil masa hampir dua jam.

Pentas malam itu bukan mencari siapa pemenang dalam pertarungan, tapi menyemai kasih sayang dan rasa cakna kepada dunia kesusasteraan, selain mencari titik kebersamaan dalam kepelbagaian persembahan. Karyawan serumpun benar-benar “akrab”, bersama-sama mengembangkan akar bahasa Nusantara pada malam itu.

Kredit Foto: Rasdi Daud

_________________________

Mamu MK Hasny seorang penyair. Antara kumpulan puisinya termasuk dan Kutulis Cinta dengan Dakwat Hujan (ITBM, 2017) dan Matahari Tersenyumlah Selepas Hujan Berhenti Kerana Aku Ingin Melihat Pelangi (Studio Ana-anai, 2019).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.